Sop Prn Johor Hampir Selesai Kata Khairy
BERNAMA 
 KKM masih meneliti SOP PRN  Johor dari segi penilaian risiko memandangkan pilihan raya itu akan  dilaksanakan dalam persekitaran berbeza berbanding PRN Melaka dan  Sarawak. 

Petugas kesihatan melakukan sanitasi ketika pembuangan undi sewaktu Pilihan Raya Negeri Melaka 20 November lalu.      Prosedur operasi standard  (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini berada di fasa akhir  penelitian kementerian kesihatan (KKM) sebelum dibawa ke Suruhanjaya  Pilihan Raya (SPR).
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementeriannya masih  meneliti SOP PRN Johor dari segi penilaian risiko memandangkan pilihan  raya itu akan dilaksanakan dalam persekitaran berbeza berbanding PRN  Melaka dan Sarawak sebelum ini susulan penularan varian Omicron dalam  negara.
“Apa yang kita tahu adalah SOP bagi PRN Melaka berjaya, tiada  kenaikan ketara pada angka kes, dan begitu juga dengan SOP bagi PRN  Sarawak.
  “Tetapi  SOP PRN Johor lain sedikit kerana kini kita ada penularan wabak varian  Omicron,” katanya pada sidang media pelancaran Program Imunisasi  Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) di Hospital Tunku Azizah hari ini. 
Dalam pada itu, Khairy berkata adalah tidak mustahil untuk angka kes Covid-19 naik ekoran PRN Johor tidak lama lagi.
“Dengan adanya Omicron, untuk mengatakan tidak akan ada peningkatan  ketara pada jumlah kes, saya tidak boleh jamin. Tapi apa yang kita lihat  di Johor ini, keseriusan kes dan kemasukan ke hospital tidak akan  meningkat dengan mendadak tetapi akan ada kenaikan kes,” katanya. 
Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai SOP bagi ibadah umrah yang  kembali dibenarkan bermula 8 Februari ini, beliau berkata prosedur itu  kini sedang dimuktamadkan dan akan dibentang dalam masa terdekat. 
“SOP bagi umrah, Pengarah Kawalan Penyakit KKM Dr Norhayati (Rusli)  sedang muktamadkan, hari ini atau esok beliau akan bentangkan kepada  saya,” katanya. 
Kerajaan sebelum ini mengumumkan umat Islam di negara ini boleh  kembali mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Februari ini selepas  ditangguhkan sementara pada 8 Januari lepas berikutan peningkatan varian  Omicron Covid-19 dalam kalangan jemaah
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/02/sop-prn-johor-hampir-selesai-kata-khairy.html