Solidariti Nasi Goreng Indonesia Jangan Lepaskan Anjing Tersepit
Wartawan cabuk pun, jangalah main cedok saja berita dari media sosial dan tulis macam mewakili suara seluruh rakyat Malaysia!
Penuh laporan berita hari ini, kononnya rakyat Malaysia bersolidariti dengan para pemandu Grab dan Gojek di Indonesia dengan membuat pesanan jarak jauh untuk ‘belanja’ mereka makan nasi goreng. Berita yang dicedok dari Thread berkenaan yang memaparkan beberapa tangkap layar pesanan dan sembang dalam aplikasi Grab dijadikan berita penuh sensasi. Kononnya betapa pemurah dan memahaminya rakyat Malaysia dengan kemelut yang sedang berlaku di Indonesia.
Pertama sekali, semua perlu faham. Apa yang sedang berlaku di Indonesia sekarang adalah kemelut politik. Segala yang berlaku adalah dilakukan dengan penuh kesedaran dan pilihan mereka. Ia bukanlah bencana alam, kepungan oleh penjajahan, disekat akses dan sumber dari kuasa asing mahupun sebuah kemalangan. Ia adalah hal ehwal dalaman di antara pihak pemerintah dan rakyat warga mereka sendiri.
Demonstrasi yang diadakan secara berhimpun, dengan pantas bertukar menjadi rusuhan dan keganasan. Ia disertai oleh segenap lapisan masyarakat malah ada beberapa kumpulan dipacu dan diketuai oleh artis, selebriti dan hartawan. Saya tertonton satu video di YoutTube yang mana kumpulan perusuh sedang diketuai oleh Lucinta Luna, selebriti transgender Indonesia.
Indonesia juga merupakan sebuah negara yang sah dan berdaulat (sovereign nation). Bersolidariti dengan para perusuh bermakna anda secara jelas dan langsung menyatakan secara terbuka, anda sedang masuk campur urusan sensitif negara asing. Sebuah media negara yang menyatakan mereka bersolidariti bersama perusuh dan penentang kerajaan, samalah ertinya seperti itu pendirian yang turut dipegang oleh kerajaan negara media tersebut. Dalam erti kata mudah, kerajaan Malaysia sekarang sedang bersolidariti bersama perusuh untuk membubarkan parlimen Indonesia. Bayangkan jika media Singapura menyatakan solidariti bersama perusuh BERSIH yang membakar kereta polis dulu, apa rasa anda?
Rusuhan berlarutan di Indonesia telah mengorbankan sekurang-kurangnya 6 jiwa mengikut laporan rasmi. 4 daripada angka ini merupakan korban rusuhan di dewan DPR Kota Makassar. 2 orang meninggal kerana terjun dari tingkat 4, seorang penjawat awam dewan dan seorang pengawal keselamatan. Seorang jurufoto dewan lelaki meninggal ketika proses menyelamat dan seorang wanita lagi meninggal kerana terperangkap dalam kebakaran. Mayat mangsa yang rentung hanya dapat diselamatkan setelah kebakaran padam.

Sebuah hentian bas di Senen, hancur musnah dibakar api oleh perusuh.
Kemarahan rakyat Indonesia terhadap ahli DPR malahan tidak sampai kepada sasaran pun. Tiada satu pun ahli DPR yang dapat diserbu oleh para perusuh. Hanya rumah dan harta benda mereka sahaja yang jadi sasaran diceroboh dan dijarah segala isinya. Ironi sekali apabila perusuh melaungkan slogan anti penjarahan, tapi sebaliknya tetap juga menjarah apabila mendapat peluang. Lebih teruk lagi, kucing dan coli isteri ahli DPR pun turut dicuri!
Selain itu, bangunan, kediaman dan perniagaan yang berjiran dengan rumah ahli DPR juga turut menjadi mangsa. Rumah mereka turut dicerobohi dan harta benda mereka dicuri dan dirompak walaupun mereka bukan ahli DPR, hanya sekadar berjiran. Fasilti awam, kedai runcit, pasaraya dan hotel turut menjadi korban. 7 pondok tol dimusnahkan, puluhan stesen bas dibakar, stesen LRT, lampu jalan turut dirosakkan atau besinya dicuri. Kedai kecil milik warga dipecahkan dan barangan jualan dicuri termasuk basikal lipat. Pasaraya juga diserbu dan beberapa pasaraya terpaksa ditutup awal. Butik-butik mewah juga terpaksa mengosongkan barang dagangan mereka bagi mengelakkan risiko looting.

Perusuh mencuri basikal lipat dari kedai warga awam di Jakarta.
Tak ada yang selamat, kerusi pun dicuri. Janji BESI.
Gerai makan banyak yang musnah sepenuhnya. Jika tidak musnah pun, ramai masih lagi tidak mahu kembali berniaga kerana risaukan keselamatan harta dan diri mereka. Jadi, jika anda tempah nasi goreng, siapa yang nak masak nasi goreng tadi? Pesanan di Grab tidak akan ditutup melainkan pemilik kedai sendiri yang tutup. Jika ada pesanan walau kedai ditutup, wah, seronok juga berniaga! Sekali lagi saya tekankan, mereka bukannya dikepung, tidak boleh bergerak, tiada sumber makanan, ataupun dilanda bencana alam. Mereka memilih untuk berada dalam keadaan sekarang, maka mereka perlu bertanggungjawab dengan semua kesan dan akibat pilihan mereka.
Pemandu Gojek dan Grab mereka pun berlaku tidak adil sesama mereka. Video tular sejak beberapa hari lalu menunjukkan seorang pemandu Gojek ditahan oleh seorang pemandu Gojek yang lain kerana tidak menyertai demonstrasi. Pemandu Gojek yang sedang membawa penumpang itu dipaksa menurunkan penumpang untuk menyertai demonstrasi mencari keadilan kejadian seorang pemandu Gojek yang digilis maut oleh kenderaan perisai polis anti rusuhan (BRIMOB) beberapa hari sebelum hari kejadian rusuhan besar.
Mana dia para jutawan dan selebriti yang begitu ligat memacu para perusuh tempoh hari? Bersolidariti lah dengan para kumpulan dan warga anda sendiri. Populasi jutawan Indonesia juga jauh lebih ramai berbanding populasi jutawan Malaysia. Ahli DPR yang diburu, masih lagi jadi ahli DPR, menerima gaji dan elaun. Hanya sekadar di’nonaktif’ (digantung) saja, bukan dibuang. Seronok betul dapat cuti panjang di saat sudahpun berada di luar negara kerana lari dari perusuh, boleh kemaskini status media sosial dan muat naik video. Mereka ini jauh lebih afdhol untuk bersolidariti dengan rakyat sendiri, bukan kita.
Pelakon popular Indonesia, Reza Rahadian ikut protes di DPR Senayan
Prabowo sendiri dalam kenyataan rasmi mengatakan tidak akan tunduk kepada tuntutan para perusuh yang disifatkan beliau sebagai mafia. Prabowo malah mengarahkan pasukan keselamatan untuk mengambil langkah apa pun secara setegas-tegasnya untuk mengawal rusuhan dan penjarahan. Tiada ahli DPR yang diumumkan akan dipecat pun. Walaupun ahli DPR yang paling dibenci rakyat.

Setegas-tegasnya ya…
Saya tidak lupa bagaimana timbal balas rakyat mereka terhadap kita walau sudah sebegitu banyaknya bantuan disalurkan atas dasar persabahatan. Bukannya kita minta dibalas, cukup sekadar menghargai. Bila media asing datang buat dokumentari, dikutuknya kita kata bantu sikit, orang putihlah yang paling bagus dan mulia. Media mereka pun turut jadi batu api, sangat suka menyebarkan berita palsu untuk menghina Malaysia. Rakyat pun sama, mudah dipancing provokasi dan bertindak secara emosi. Sampaikan kedutaan Malaysia dibaling tahi, bendera Malaysia dibakar dan dipijak. Walhal, kemarahan mereka banyak yang tidak berasas kerana laporan media mereka yang tulis berita merapu. Tiada satu pun media Indonesia yang melaporkan kejadian jijik ini.
Apa yang kita boleh buat? Doakan saja agar situasi negara mereka aman dan semakin baik. Doakan agar tiada lagi korban dan kerosakan berlaku di negara mereka. Jangan masuk campur urusan kenegaraan mereka. Sebarang bantuan kewangan dan fizikal boleh dilihat sebagai intervensi asing. Kalau kerajaan Indonesia mahu, mereka boleh suruh Bank Negara Malaysia siasat ‘sumbangan’ anda sebagai aktiviti keganasa dan penajaan intervensi asing untuk menggulingkan kerajaan. Berbaloi ke kena tahan bawah AMLA sebab nak perasan diri terpaling simpati dan wira dengan derma nasi goreng?
Lihat sajalah komen-komen warga mereka di Facebook page media kita yang melaporkan berita ‘solidariti’ ini. Diberi bantuan pun diejek-ejek. Bagi sikit, kutuk kata tak cukup. Bagi banyak, kutuk kata nak menunjuk. Bagi lebih, kutuk lagi kata mereka tak pernah minta pun!

Dari buat benda tak ada faedah tu, baiklah tempah nasi goreng untuk orang kita sendiri. Jiran-jiran dekat kita pun ramai yang kelaparan! Nak beli barang MyKasih, SYSTEM DOWN!!!!
The post Solidariti Nasi Goreng Indonesia? Jangan Lepaskan Anjing Tersepit! appeared first on OMGHACKERS.COM.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/solidariti-nasi-goreng-indonesia-jangan-lepaskan-anjing-tersepit/