Solat Ketika Banjir Panduan Solat Fiqh Ibadah Musim Banjir
Bagaimanakah cara solat ketika banjir yang betul?
Banjir adalah salah satu bencana alam yang sering melanda pelbagai kawasan, terutamanya di musim tengkujuh. Ketika air mulai melimpah dan kehidupan harian terganggu, umat Islam tetap diingatkan untuk menjaga kewajipan utama mereka, iaitu menunaikan solat.
Walaupun dalam situasi genting, ibadah solat tidak seharusnya diabaikan kerana ia adalah tiang agama yang menjadi penghujung langsung antara hambda dengan penciptanya. Namun begitu, melaksanakan solat dalam keadaan darurat seperti banjir memerlukan kefahaman tentang hukum-hakam Islam yang fleksibel dan penuh hikmah.
Artikel ini akan membincangkan kepentingan menjaga solat ketika banjir panduan pelaksanaan, serta solusi untuk situasi-situasi tertentu, supaya setiap Muslim dapat menunaikan tanggungjawab ini dengan sempurna walau dalam apa jua keadaan.
Baca juga:
Doa Ketika Hujan Lebat & Banjir – JAKIM
Semakan Info Banjir Terkini & Amaran Di Malaysia
Senarai Barang Persediaan Banjir – Wajib Ada Dalam Beg Kecemasan
Panduan Solat Ketika Banjir
Solat adalah ibadah wajib yang menjadi tiang agama dalam kehidupan seorang Muslim. Ia merupakan perintah Allah SWT yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam lima kali sehari, bermula dari solat Subuh sehingga solat Isyak.
Terdapat banyak ayat Al-Quran dan juga hadis Nabi SAW tentang pensyariatan solat. Antara dalil pensyariatan solat berdasarkan al-Quran adalah seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 43:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
Hukum menunaikan solat ketika banjir adalah wajib. Bahkan mangsa banjir juga tidak dibolehkan untuk melakukan solat jamak semasa banjir.
Menurut Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan (Al-Kafi Li Al-Fatawi #181: Jamak Solat Ketika Banjir), mangsa banjir biasanya ditempatkan di dalam penempatan sementara seperti dewan, sekolah, dan sebagainya.
Mangsa banjir yang dikumpulkan di sana sudah membolehkan mereka untuk melaksanakan solat berjemaah pada setiap fardhu solat. Sungguhpun dibolehkan solat jamak ketika hujan berpandukan hujah dari mazhab Syafie (Al-Umm, 1/95 ; Al-Majmu’, 4/378), masih terdapat syarat-syarat yang perlu anda perhatikan dengan terperinci seperti:
Jamak taqdim mesti dimulakan dengan solat yang pertama (Zohor atau Maghrib), dengan niat jamak dilakukan selewat-lewatnya sebelum salam solat pertama. (Al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 1/484 – 485)
Solat kedua (Asar atau Isyak) mesti dilakukan secara berjemaah di masjid, tetapi solat pertama boleh dilakukan secara bersendirian. Semua jemaah boleh jamak jika imam mengisytiharkan, walaupun mereka tinggal dekat masjid, sebagaimana dilakukan Nabi SAW. (Mughni al-Muhtaj, 1/274; Al-Hawi, 4/494; Al-Majmu’ 4/258)
Jamak hanya sah di masjid atau surau yang jauh sehingga hujan memberi kesan kepada mereka yang hadir. Rumah berdekatan masjid tidak dibolehkan untuk jamak. (Al-Umm, 1/95)
Jamak hanya dibolehkan jika hujan membasahi pakaian. Hujan ringan yang tidak membasahi pakaian, atau salji, tidak membolehkan jamak. (Al-Majmu’, 4/378)
Hukum Solat Jumaat Ketika Banjir
Berdsarkan pandangan dari Mufti Negeri Terengganu, hukum solat jumaat ketika banjir adalah tidak wajib.
Ini selaras dengan fatwa daripada Darul Ifta’ Mesir yang menyatakan seperti berikut:
إن الشرع الشريف قد أجاز الصلاة فى البيوت فى حالة الكوارث الطبيعية كالسيول والعواصف
“Sesungguhnya syarak yang mulia telah mengharuskan solat (Jumaat) di rumah (ertinya solat zohor di rumah) ketika musibah semulajadi seperti banjir dan ribut.”
Hukum Solat Di Dalam Air
Hukum solat ketika banjir di dalam air adalah sah sekiranya sudah dipastikan tiada tempat kering untuk mendirikan solat dan kesemua rukun dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Mangsa banjir turut diberikan kelonggaran untuk solat berdiri, tidak perlu melakukan perbuatan rukuk, sujud dan duduk antara dua sujud sekiranya bimbang masuk air. Bagi perbuatan ini, cukup sekadar menundukkan badan mengikut kemampuan.
Andai bimbang mudarat jika berada di dalam air, boleh solat dalam keadaan berdiri saja.
Sujud dibuat dengan menundukkan badan sekadar termampu.
— YAZID HAMKA (@yazid_hamka_) November 24, 2024
Hukum Berwuduk Dengan Air Banjir
Berwuduk adalah salah satu syarat sah solat dan merupakan cara untuk membersihkan diri daripada hadas kecil. Ia melibatkan penggunaan air suci untuk membasuh anggota tertentu seperti muka, tangan, kepala, dan kaki.
Perintah berwuduk disebut dalam surah Al-Maidah, ayat 6:
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah wajahmu dan kedua tanganmu hingga ke siku, sapulah kepalamu dan (basuhlah) kedua kakimu hingga kedua mata kaki…”
Adapun ketika banjir, hukum mangsa banjir menggunakan air banjir sebagai alat untuk mensucikan diri adalah dibolehkan.
Hal ini dinyatakan oleh Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan (Isu Berwuduk Dengan Air Banjir). Kata al-Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili:
“Sekiranya air berubah pada warna, bau, dan rasanya sama ada disebabkan oleh lamanya menetap, disebabkan debu tanah, lumut, tanah kibrit (sulfur), dan kesemua yang susah untuk dipelihara darinya, maka ia kekal suci lagi menyucikan.
Tetapi jika air tersebut telah digunakan untuk berwuduk, mandi, serta menghilangkan najis maka ia tidak lagi suci. – Rujuk al-Muktamad fi Fiqh al Syafie (1/38).
Hukum Memberi Zakat Kepada Mangsa Banjir
Kredit: Lembaga Zakat Selangor
Berdasarkan Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan (Irsyad Hukum Ke-14: Hukum Memberi Zakat Kepada Mangsa Bencana Alam Seperti Banjir dan Lain-Lain), hukum memberi zakat kepada kepada golongan yang terkena mudarat atau bencana samada banjir besar, puting beliung, tanah runtuh, gempa bumi dan lain-lain yang menyebabkan rumah mereka musnah, tanaman mereka binasa, dan tidak ada lagi apa-apa yang mereka miliki adalah harus.
Mereka ini juga akan dikategorikan sebagai golongan Al-Gharimin. Golongan Al-Gharimin yang berhak mendapatkan zakat beserta syarat-syarat yang ditetapkan itu terdapat beberapa kategori, iaitu:
Mereka yang berhutang demi kemaslahatan diri sendiri/keluarga.
Mereka yang berhutang demi kemaslahatan orang yang lain.
Individu yang menjamin orang yang berhutang.
Individu yang ditimpa bencana yang menyebabkan kemusnahan harta benda dan sebagainya.
Dalam urusan membahagikan zakat, Baitulmal perlu mengenalpasti golongan yang benar-benar terdesak dan memerlukan bantuan dengan membuat anggaran kerosakan yang ditanggung dan juga keperluan yang dihajatinya.
Jika bantuan diberi dalam kuantiti banyak sekaligus, dibimbangi hanya sebahagian yang menerimanya, manakala yang lain tidak mendapat apa-apa, menyebabkan ketidakpuasan hati di kalangan mangsa bencana.
Cara Melupuskan Al-Quran Rosak Kerana Banjir
Berdasarkan pandangan dari Mufti Wilayah Persekutuan (Irsyad Hukum Ke-17: Kaedah Pelupusan Al-Quran Yang Rosak Akibat Banjir), cara melupuskan Al-Quran rosak kerana banjir boleh dibahagikan kepada beberapa kaedah.
Pertama : Mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat hendaklah digali tanah dan ditanam di dalamnya.
Kedua : Mazhab Maliki dan Syafi’i berpendapat, hendaklah dibakar.
Dari dua kaedah ini, Mufti Wilayah Persekutuan lebih cenderung kepada hujahan mazhab Syafi’i dan Maliki yang memilih dengan cara membakar.
Perbuatan sahabat seperti Saidna Uthman yang merupakan ijtihad daripadanya dan juga selepas itu tidak diingkari oleh mana-mana sahabat menjadi hujah yang kuat kepada perbuatan tersebut untuk mengharuskan pembakarannya.
Ini kerana ianya memang rosak disebabkan banjir dan alangkah baiknya selepas itu, debu yang berbaki, ditanam kerana mengambil pendapat yang pertama dari mazhab Hanafi dan juga Hanbali.
Kini terdapat alat moden untuk menghancurkan kertas menjadi serpihan halus sebelum dibakar dan ditanam, memastikan pemuliaan al-Qur’an dan mencegah penghinaan. Kaedah ini juga sesuai digunakan untuk melupuskan nama-nama Allah, kitab hadith, dan kitab agama yang mengandungi nama Allah, sama seperti pelupusan mushaf.
Hukum Solat Dalam Berpakaian Lumpur
Apabila berlaku banjir, agak sukar untuk kita mengelak pakaian dari terkena lumpur atau air banjir. Bahkan ada kalanya, mangsa atau sukarelawan yang terlibat tidak sempat untuk menukar pakaian dan solat dengan pakaian yang sama.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan (#162 Solat Dengan Pakaian Berlumpur dan Dibasahi Dengan Air Banjir), hukum solat dengan pakaian yang berlumpur dan basah disebabkan oleh air banjir adalah sah selagi mana pakaian tersebut tidak ada tanda yang jelas terkena najis kerana hukum asal sesuatu itu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.
Diharapkan dengan perkongsian tentang panduan solat ketika banjir dan fiqh berkaitan ibadah semasa banjir yang kami kongsikan ini dapat memberikan anda pengetahuan dan ilmu yang bermanfaat.
Kesimpulannya, banjir adalah ujian besar yang menguji kesabaran, ketabahan, dan keimanan seseorang. Dalam situasi genting ini, menjaga solat bukan sahaja menjadi kewajipan, tetapi juga sumber kekuatan rohani untuk menghadapi cabaran.
Semoga kita semua diberi kekuatan untuk istiqamah menjaga solat dalam apa jua keadaan dan diberi rahmat oleh Allah SWT dalam setiap langkah kehidupan kita, terutamanya di saat-saat sukar seperti bencana banjir.
Sumber:
Al-Kafi Li Al-Fatawi #181: Jamak Solat Ketika Banjir
Mufti Negeri Terengganu
#162 Solat Dengan Pakaian Berlumpur dan Dibasahi Dengan Air Banjir
Irsyad Hukum Ke-17: Kaedah Pelupusan Al-Quran Yang Rosak Akibat Banjir
Irsyad Hukum Ke-14: Hukum Memberi Zakat Kepada Mangsa Bencana Alam Seperti Banjir dan Lain-Lain
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/solat-ketika-banjir/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=solat-ketika-banjir