Situasi Lebih Parah Jika Pihak Cetus Provokasi Dibiar Bebas
Oleh Athirah Huda Zalhe  KDN jangan berat sebelah laksana 'rule of law' isu perguna 3R: Isma

BANGI – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu  sederhana mendesak kerajaan supaya bertindak tegas dalam menangani pihak  yang selalu mencetuskan provokasi, termasuk bersikap adil dalam  melaksanakan ‘rule of law’ ke atas mereka.
Amir  Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman meluahkan rasa kesal apabila  terlalu banyak insiden yang menyakitkan hati masyarakat, khususnya orang  Melayu kebelakangan ini, tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa.
Beliau  berkata, sikap ‘acuh tak acuh’ itu menyebabkan kebanyakan orang Melayu  yang menjadi mangsa provokasi pihak terbabit berasa marah serta perasaan  tidak puas hati juga semakin membara.
“Ini  akan jadi lebih parah apabila pihak berkuasa dan kerajaan dilihat lebih  tegas terhadap salah laku pihak yang diprovok, dan membiarkan pihak  yang mulakan provokasi tanpa sebarang tindakan undang-undang.
“Adakah  sebenarnya kerajaan tidak sedar terhadap apa yang sedang berlaku dalam  kalangan masyarakat atau bertindak berat sebelah atas dorongan politik,”  katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Sebelum  ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran akan  mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang giat menggunakan isu  bangsa, agama dan raja (3R), yang boleh mencetuskan sentimen kebencian  antara kaum.
Justeru, beliau  memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap pihak berkaitan  menerusi segala undang-undang sedia ada termasuk Akta Hasutan 1948  kerana ia menunjukkan sesuatu yang tidak baik terhadap keamanan dan  keselamatan negara.
“Akta  Hasutan selagi ia belum dimansuhkan, ia masih dikuatkuasakan. Soal sama  ada ada yang setuju atau tidak, itu soal lain. Saya fikir semua orang  setuju kerana yang penting soal keamanan dan keselamatan negara tidak  boleh dikompromi,” kata Muhyiddin.
Walaupun  menyambut baik ketegasan Muhyiddin itu, Ustaz Abdullah Zaik  bagaimanapun mengingatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya tidak  bersikap berat sebelah terhadap amarannya itu.
“Saya  nak ingatkan kepada KDN bahawa sikap berat sebelah atau tindakan  terpilih kepada pihak tertentu dalam melaksanakan rule of law akan  menyebabkan rakyat bertindak sendiri, bahkan situasi akan menjadi lebih  parah,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/08/situasi-lebih-parah-jika-pihak-cetus.html