Singapura Mohon Penerima Vaksin Covid 19 Elak Aktiviti Berat Selama Seminggu
Bernama
 Kementerian menyatakan Jawatankuasa Pakar Vaksinasi Covid-19 Singapura akan memantau hasil penyelidikan. 

 Remaja dan belia berumur  kurang 30 tahun disarankan menghindari aktiviti fizikal dalam tempoh  tujuh hari selepas menerima vaksin Covid-19, sebagai langkah pencegahan  lanjut, kata kementerian kesihatan Singapura.
Menurut kementerian, pada 3 Julai pihaknya dimaklumkan oleh Hospital  Khoo Teck Puat (KTPH) mengenai kes seorang remaja tempatan berusia 16  tahun yang dirawat di jabatan kecemasan hospital itu selepas pengsan di  rumah pada pagi yang sama.
“Pesakit kemudian dipindahkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH)  pada tengah hari dan dilaporkan kritikal di unit rawatan rapi,” kata  kementerian dalam satu kenyataan hari ini.
  Kementerian menyatakan, remaja itu telah menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech (Comirnaty) pada 27 Jun.
“Dia dinilai oleh petugas kesihatan terlatih dan didapati sesuai  untuk vaksinasi Covid-19, dipantau di lokasi sekitar 30 minit selepas  suntikan dan dalam keadaan yang baik.
“Dia juga sihat sepanjang lima hari setelah vaksinasi. Sebelum  pengsan, remaja itu melakukan aktiviti angkat berat di gimnasium.  Kementerian dimaklumkan dia mengangkat beban yang sangat berat, melebihi  berat badannya.”
Kementerian merujuk bahawa diagnosis awal keadaannya adalah serangan jantung yang berlaku di luar hospital.
“Ujian klinikal dan makmal sedang dijalankan untuk mengetahui  puncanya,” menurut kenyataan itu, sambil menambah kementerian juga akan  bekerjasama dengan pasukan perubatan di NUH untuk menentukan sama ada ia  berkaitan dengan vaksinasi Covid-19.
“Ini termasuk penelitian menyeluruh sama ada membabitkan miokarditis  parah akut, iaitu keradangan otot jantung yang teruk yang mempengaruhi  fungsi jantung, sebagai kemungkinan diagnosis,” menurut kementerian itu  lagi.
Kementerian menyatakan Jawatankuasa Pakar Vaksinasi Covid-19 Singapura akan memantau hasil penyelidikan.
  “Jawatankuasa  Pakar dan Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) secara berasingan turut  meneliti data tambahan dari dalam dan luar negara, yang berkaitan dengan  kejadian ini,” katanya.
Kementerian menyatakan ia bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa  Pakar dan HSA supaya individu yang diberi vaksin menghindari aktiviti  fizikal yang berat selepas menerima dos vaksinasi Covid-19 pertama atau  kedua.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/singapura-mohon-penerima-vaksin-covid.html