Singapura Guna Ubat Ubatan Hiv Sebagai Penawar Coronavirus Dan Hasilnya Memberangsangkan
SINGAPURA : Singapura menggunakan ubat-ubatan antivirus yang lazimnya digunakan untuk merawat HIV dan AIDS, untuk membantu mereka yang dijangkiti Coronavirus dan sejauh ini, ia menunjukkan petanda yang baik.
Demikian diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura pada 4 Februari 2020.
Ini menyusuli berita tentang pesakit ketujuh di Singapura yang dijangkiti Coronavirus, iaitu seorang lelaki berusia 35 tahun dari Wuhan, yang sudah dibenarkan pulang dari Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit semalam.
Beberapa kes lain juga menunjukkan tanda-tanda positif semakin beransur pulih dan lebih ramai pesakit dijangka dibenarkan pulang pada hari-hari mendatang.
Sejauh ini, tiada ubat bagi memulihkan pesakit yang dijangkiti Coronavirus, kata Menteri Kesihatan Singapura, Gan Kim Yong dalam sidang media semalam, "namun ada usaha-usaha untuk mewujudkan rawatan dan protokol" bagi membantu pesakit pulih.
Ketua Saintis Kesihatan, Kementerian Kesihatan Singapura, Profesor Tan Chorh Chuan, mengesahkan bahawa gabungan ubat-ubatan, yang dikenali sebagai lopinavir dan ritonavir, diberikan kepada "sejumlah kecil" pesakit daripada keseluruhan 24 pesakit yang ada di Singapura. Sekalipun demikian, hasilnya masih belum membawa kepada sebarang kesimpulan.
"Sejumlah kecil pesakit diberikan gabungan ubat-ubatan antivirus - dan ia menunjukkan tanda-tanda yang baik. Ujian-ujian klinikal ini sebenarnya sudah dimulakan di Wuhan dan hasilnya akan diketahui, kami berharap, dalam tempoh beberapa minggu mendatang," kata Profesor Tan.
"Kami tidak menjalankan ujian itu sendiri. Terdapat beberapa ujian klinikal yang sudah dimulakan dan jelas sekali ia lebih mudah untuk dilakukan di negara di mana terdapat ramai pesakit, seperti di Wuhan."
Beliau menambah: "Hasil ujian akan membantu kami memahami sejauh mana ia berkesan."
Gabungan lopinavir dan ritonavir sebelum ini dikaji sebagai satu rawatan yang mungkin boleh mengubati virus-virus korona lain seperti SARS dan MERS.
Keberkesanan awal dalam merawat pesakit Coronavirus menggunakan ubat-ubatan HIV juga sudah dilihat di negara-negara lain di luar China.
Pada Ahad lalu (2 Feb), Kementerian Kesihatan Thailand melaporkan bahawa seorang pesakit berusia 71 tahun sembuh dengan pantas dan beliau dirawat dengan lopinavir dan ritonavir, selain oseltamivir, iaitu sejenis ubat antiselesema.
Sehingga semalam (4 Feb), Thailand melaporkan 25 kes jangkitan Coronavirus, jumlah paling tinggi setakat ini di luar China.
Menurut Profesor Tan, kebanyakan pesakit di Singapura "tidak begitu memudaratkan" dan menerima rawatan sokongan.
Memberikan maklumat terkini tentang kes-kes yang disahkan dijangkiti Coronavirus, Profesor Madya Kenneth Mak, yang juga pengarah khidmat perubatan MOH berkata sekurang-kurangnya tiga pesakit langsung tidak menunjukkan sebarang tanda dan dalam keadaan baik-baik sahaja.
Sehingga tengah hari semalam, 286 orang disyaki dijangkiti Coronavirus. Hasil ujian bagi baki 20 kes masih belum diperolehi.
"Salah seorang pesakit mungkin dibenarkan pulang dalam masa beberapa hari. Kami belum boleh mengesahkannya lagi keputusan itu akan disemak oleh para doktor setiap hari. Oleh itu, terlalu awal untuk saya mengatakan dia memang akan dibenarkan pulang," kata Profesor Madya Mak.
Ramai dalam kalangan pesakit juga menunjukkan tanda-tanda semakin pulih. Lima daripada mereka diberikan oksigen untuk membantu mereka bernafas dan ini "bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan mereka mengalami pneumonia dan ini adalah untuk membantu mereka", jelas beliau.
Tiada seorang pun daripada pesakit yang berada di unit jagaan rapi mahupun sedang sakit tenat pada waktu ini, tambah beliau. - PenaMinang.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.penaminang.com/2020/02/singapura-guna-ubat-ubatan-hiv-sebagai.html