Sifat Pemaaf Bersih Hati
Insan bersifat pemaaf dan berhati mulia ini tidak hanya memaafkan apabila pelakunya memohon maaf, bahkan bersikap terbuka. Sifat pedendam adalah penyakit jiwa yang boleh merebak mendatangkan pelbagai sifat negatif lain dalam diri. Jadi, sesiapa ingin membersihkan diri daripada sifat negatif haruslah terlebih dahulu membuang sifat dendam.
Sifat pemaaf adalah lawan sifat pedendam yang membersihkan kekotoran hati. Melaluinya, insan pemaaf tidak merasa apa-apa dendam terhadap orang lain. Dia telah memaafkan perkara yang lalu, sedang berlaku dan mungkin juga apa yang akan berlaku.
Orang yang kuat menahan sifat marahnya dan suka pula memaafkan orang lain. Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menahan amarahnya serta memaafkan (kesalahan) orang.” (Surah ali-Imran, ayat 134)
Rasulullah pernah menjelaskan bahawa orang yang kuat dalam pandangan syarak ialah mereka yang berjaya mengawal perasaannya ketika marah untuk mengelak daripada bencana lebih buruk. Dia boleh mengalihkan situasi marah itu kepada satu keadaan yang tidak jelas emosi marahnya itu.
Hal itu dijelaskan Abu Hurairah, bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Islam mengajar umatnya bagaimana mengendalikan diri dalam keadaan marah supaya sifat marahnya itu tidak berlarutan. Sifat marah berkaitan dengan keadaan aktif atau peluang yang boleh dilakukan pada waktu itu. Mereka yang duduk lebih stabil emosinya atau peluang melakukan sesuatu menjadi terbatas berbanding mereka yang duduk.
Berdasarkan perkara itulah, Rasulullah memberi panduan untuk mengawal kemarahan jika berdepan dengan situasi berpotensi menyebabkan perasaan marah meletup. Apa yang diajarkan oleh Rasulullah itu dijadikan amalan dalam ilmu psikologi moden hari ini.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Jika salah seorang antara kalian marah sedang pada saat itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah ia berbaring.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Selain itu, mereka yang sedang marah juga boleh memadamkan kemarahannya dengan berwuduk. Dua perkara kelebihan wuduk, pertamanya membersihkan diri daripada kekotoran hati, dan keduanya secara fizikal menyejukkan hati yang melahirkan ketenangan.
Hadis diriwayatkan Abu Daud bermaksud: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api, dan api itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.”
Mereka yang berjaya menahan amarahnya supaya tidak merebak akan mendapat ganjaran di sisi Allah di dalam syurga kelak, di mana mereka boleh memilih mana-mana bidadari yang mereka sukakan.
Perkara ini dijelaskan Rasulullah melalui sabda yang bermaksud: “Barang sesiapa menahan amarahnya pada hal ia mampu untuk menumpahkannya, maka Allah akan memanggilnya di hadapan para pemimpin makhluk, lalu Allah memberinya kebebasan untuk memilih bidadari mana yang ia sukai.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibn Majah)
Di samping mampu menahan sifat marah, sifat yang membawa lebih kebaikan ialah memaafkan orang yang melakukan kesalahan itu, sehingga tidak ada sedikitpun niat dalam diri untuk membalas dendam kepada seseorang. Perbuatan itu meletakkan seseorang pada darjat yang lebih tinggi dan mulia.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Barang sesiapa yang ingin dimuliakan tempat tinggalnya dan ditinggikan darjatnya, maka hendaklah ia memberi maaf kepada orang yang telah menzaliminya, memberi kepada orang yang tidak mahu memberi kepadanya dan menyambung silaturahim kepada orang yang memutuskannya.” (Hadis riwayat al-Hakim)
Rasulullah juga mengingatkan mereka yang selalu memberi ampunan kepada seseorang akan mudah mendapat keampunan daripada Allah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bicaramentari.blogspot.com/2019/02/nee.html