Si Anak Spesial
Judul : SI ANAK SPESIAL (unedited version)Penulis : Tere LiyeJumlah halaman : 406
Tere Liye dalam usahanya memerangi buku bajakan (cetak rompak), telah bermurah hati memberi secara gratis (percuma) beberapa judul karya beliau di aplikasi Google Play Books. Saya mengambil peluang yang diberi dengan mendapatkan e-book Si Anak Spesial, buku ke-2 dalam ‘Serial Keluarga Nusantara’. Novel ini juga menjadi buku pertama yang saya baca di Google Play Books
SERIAL KELUARGA NUSANTARASerial (Siri) Keluarga Nusantara membawakan kisah anak-anak, kisah kekeluargaan. Setahu saya, sudah ada 7 buah judul di dalam siri ini. Sebelum ini saya tak pernah berminat nak membaca mana-mana buku dalam siri ini kerana menyangka ianya hanya seronok dibaca oleh anak-anak. Tapi bila penulis menawarkan Si Anak Spesial secara percuma, rugi pula kalau saya tak mencuba baca. Eh…bila dah baca, susah nak berhenti. Seronok
Oh ya, Si Anak Spesial yang saya baca ini merupakan ‘unedited version’, iaitu naskhah asli dari penulis tanpa suntingan. Menurut penulis, ianya berbeza daripada naskhah yang dicetak
SINOPSISBuku ini mengangkat kisah watak utamanya, seorang anak lelaki bernama Burlian yang merupakan anak ketiga Pak Syahdan dan Mamak Nung. Burlian, anak yang nakal tetapi mempunyai hati yang baik dan bercita-cita tinggi
Bukan hanya kisah Burlian dan keluarganya, novel ini turut membawa kisah kehidupan dan aktiviti harian penduduk kampung, juga pelbagai isu yang berlaku di kampung mereka. Masalah aktiviti perjudian, pemilihan ketua kampung, kehadiran pemburu haram, amalan rasuah, sehinggalah isu pendidikan anak-anak kampung
Mampukah Burlian yang digelar ‘si anak spesial’ ini mencapai impiannya
Buku digital Si Anak Spesial dan sebahagian koleksi buku fizikal karya Tere Liye yang saya miliki.
ANTARA PERKARA MENARIK DALAM NOVEL INI1. Sikap Burlian yang berani membela nasib sahabatnya. Burlian sanggup berkelahi semata-mata mahu membela Ahmad yang dibuli oleh kawan-kawan sekolah. Burlian juga berjuang habis-habisan bagi menyelamatkan Munjib dan Can sewaktu mereka diserang penjahat
2. Ketegasan dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Bapak dan Mamak dalam mendidik anak-anak. Burlian dan Pukat didenda seharian bekerja keras di kebun oleh Mamak gara-gara mereka ponteng sekolah. Sementara Bapak dengan lembut dan penuh kata semangat, menjelaskan betapa pentingnya pendidikan. Memetik kata-kata Bapak :“…Tidak sekolah, tidak berpendidikan, tidak punya pohon raksasa yang dari pucuknya kalian bisa melihat betapa luas dunia. Tidak bisa menjadi seorang yang bermanfaat untuk orang banyak. Kau akan memiliki kesempatan itu, Burlian, karena kau berbeda. Sejak lahir kau memang sudah spesial. Juga kau Pukat, karena kau anak yang pintar.”3. Mamak nampak lebih tegas, namun penuh dengan cinta dan sanggup berkorban demi anak-anaknya. Mamak pernah menjadi ‘perisai’ sewaktu Burlian diserang lebah. Mamak juga sanggup menggadaikan cincin kahwin (satu-satunya kenangan perkahwinan yang ada) demi menunaikan janji membelikan sebuah basikal buat Burlian. Seperti kata Bapak kepada Burlian :
“Karena jika kau tahu sedikit saja apa yang telah ia lakukan demi kau, Amelia, Kak Pukat dan Kak Eli, maka itu sejatinya bahkan belum sepersepuluh dari pengorbanan, rasa cinta, serta rasa sayangnya kepada kalian.”
4. Panduan memilih pemimpin. Memetik kata-kata Bapak kepada orang-orang kampung :
“Tapi meski tidak ada satu pun yang pantas, tetap harus diputuskan siapa yang akan menjadi pemimpin rombongan. Itu teladan agama kita. Pilihlah yang paling sedikit keburukannya, yang paling sedikit membawa masalah di antara banyak masalah.”
5. Kepentingan menjaga keseimbangan alam. Manusia hidup memerlukan hutan, maka seharusnya kita perlu menjaga hutan dan seluruh isinya. Memetik kata-kata Mang Unus tentang keseimbangan :
“…kita mengambil seperlunya. Kita menebang se-butuhnya. Kita punya batasan. Jangan pernah mengambil semua rebung tanpa menyisakan tunasnya untuk tumbuh lagi. Jangan pernah menebar racun atau menjulurkan kawat setrum di sungai yang akan membuat telur dan ikan-ikan kecil juga mati, padahal esok-lusa dari merekalah sungai akan terus dipenuhi ikan-ikan. Jangan pernah menebas umbut rotan semuanya. Kita selalu berusaha menjaga kesimbangan. Jangan pernah melewati batas, atau hutan tidak lagi bersahabat.”
6. Kesungguhan Pak Bin memperjuangkan pendidikan buat anak-anak kampung, walaupun sudah menjadi guru selama 25 tahun tetapi masih berstatus ‘guru honorer’ (bukan jawatan tetap dan berpencen). Pak Bin bersemangat mengajar dan tak putus asa memujuk para ibu bapa agar menghantar anak ke sekolah.
7. Memberi gelaran/panggilan yang baik kepada anak sebagai salah satu cara menumbuhkan keyakinan diri anak dan sebagai satu doa berterusan. Bapak dan Mamak sering mengatakan Burlian anak spesial, Amelia anak yang kuat, Kak Eli anak yang pemberani dan Kak Pukat anak yang pintar.
———————————————————————————
Si Anak Spesial, bacaan ringan yang penuh dengan pelbagai rasa. Ada babak lucu, mendebarkan juga babak yang membuat saya sebak. Kisah hidup anak kampung yang diceritakan dengan terperinci dan diolah dengan baik. Cerita biasa yang seronok untuk dibaca. Juga banyak pengajaran dan nilai murni yang boleh kita ambil
Buku ini merupakan bacaan sesuai bagi anak-anak seawal sekolah rendah. Tetapi kerana ia berbahasa Indonesia, mungkin ada kesukaran buat anak-anak di Malaysia untuk memahami. Menurut saya, buku ini merupakan bahan bacaan yang bagus bagi mendidik anak-anak secara tidak langsung - pendidikan menerusi penceritaan
Nampaknya saya yang berusia 40-an pun suka baca Si Anak Spesial 😅. InsyaAllah ada rezeki nak membaca lagi 6 buah judul dalam Siri Anak Nusantara ini.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2023/03/si-anak-spesial.html