Shafie Apdal Umum Kimanis Bakal Miliki Pejabat Daerah Sendiri
Hasimi Muhamad, Astro Awani
Shafie Apdal umum Kimanis bakal miliki pejabat daerah sendiri. -Gambar fail
BONGAWAN: Penduduk di Parlimen Kimanis bakal memiliki pejabat daerah sendiri, sekali gus menjadikan penduduk sekitar tidak lagi perlu melakukan urusan pentadbiran di dua daerah berbeza.
Berita gembira itu diumum Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sesi ceramah di Bongawan Plaza, malam tadi.
Menurut Presiden Warisan itu, pihaknya telah berunding dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr Daud Yusuf dan Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berhubung perkara itu.
"Insya-Allah kita akan luluskan penubuhan satu pejabat daerah di kawasan ini (Kimanis).
"Jangan bimbang itu, saya janji di Kalabakan (Sabah) pada pilihan raya lalu, kalau kita menang kita akan adakan satu pusat daerah kecil di Kalabakan.
"Sudah ada pun pusat daerah kecil di Kalabakan," katanya ketika berucap di hadapan penyokong Warisan, pada Sabtu malam.
Turut hadir ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis bukan mengenai soal calon Warisan, Datuk Karim Bujang dan beliau sebaliknya ia berkait dengan kepentingan rakyat di Parlimen itu.
Tegas Mohd Shafie, ia juga sebagai petunjuk bahawa Sabah bukan lagi simpanan tetap Barisan Nasional (BN).
"(Rakyat) ingin melihat dan menyatakan Sabah bukan lagi sebagai fixed deposit (simpanan tetap) Barisan Nasional. Sabah bukan lagi fixed deposit UMNO.
"Fixed deposit, habis wang mereka keluarkan. Pilihan Raya Kecil ini adalah untuk kita (rakyat) menentukan siapa wakil Parlimen kita di Kimanis ini," ujarnya.
Ketika ini, kawasan pekan Kimanis dan Bongawan lazimnya berurusan di Pejabat Daerah Papar, manakala kawasan pekan Membakut menjalankan urusan di Pejabat Daerah Beaufort.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/01/shafie-apdal-umum-kimanis-bakal-miliki.html