Setelah Sekian Lama Hidup Dalam Dunia Digital
Memang lama sungguh aku tak menulis di sini, kononnya sibuk dengan urusan lain. Padahal inilah tempat aku membina pelbagai projek yang akhirnya berjaya memberikan hasil yang lazat dan ada ketikanya lumayan. Tahun 2022 ni aku akan usahakan untuk gilap semula blog eizil.com
Sejak 2005 domain ini didaftarkan, blog ini dah melalui pelbagai macam fasa dalam dunia digital. Ketika itu, perkataan online lebih glamor digunakan. Kemudian banyak terma seperti alam maya digunakan juga, cuma sekarang aku lebih selesa menggunakan perkataan dunia digital.
Andai dikira-kira, aku mula terjebak dengan alam maya ni sejak tahun 1998. Terasa sungguh berusia bila mengenangkan kali pertama melihat rakan sekolah menaip dengan begitu lancar di papan kekunci komputer di sebuah cafe cyber.
24 tahun dalam dunia digital ni telah mengajar aku macam-macam perkara.
Ada perkara yang nampak baik di mata orang lain, tapi hakikatnya, hanya jauhari yang mengenal manikam.
Semua sibuk nak bina content
Dalam kesibukan ramai nak membina content, ramai juga yang mengambil jalan mudah. Download daripada platform A, kemudian edit sedikit sebelum upload pula ke platform B. Tak kurang yang edit dan upload pula ke platform yang sama. Malangnya, ramai juga penggiat dunia digital veteran yang dah tak mengira etika yang pernah mereka pegang suatu ketika dahulu.
Apa yang penting?
Ada content baharu untuk disogokkan kepada kelompok peminat mereka.
Paling menakutkan, apabila semua mengambil langkah tanpa batas hanya semata-mata untuk mewujudkan content. Terpengaruh dengan content creator luar negara yang tiada pegangan agama atau etika dalam kehidupan mereka.
Kita yang daripada rumpun sopan santun dan berbudi bahasa ini juga terpengaruh. Percayalah, niat yang baik tidak menghalalkan cara. Menggunakan perkataan “eksperimen sosial” atau seumpamanya, tidak membolehkan kita terlepas daripada hukum dan peraturan yang agama dan terapkan.
Fitnah akhir zaman
Pernah satu ketika, aku terfikir bagaimana fitnah ini boleh tersebar dengan cepat? Ternyata, dunia digital membolehkan perkara ini berlaku dengan sangat cepat. Ditambah dengan konsep semua orang ingin menjadi yang pertama menyebarkan sesuatu isu, dengan pelbagai juga alasan.
Kemudian di akhir kalam, hanya meletakkan disclaimer kecil untuk berlepas tangan.
Tanpa sedar, “saham” kita menyebarkan perkara tersebut telah pun tercatit, dan compounding effect saham tidak baik ini dalam dunia digital sangatlah cepat gandaannya.
Perkara ini sangatlah menakutkan, aku hanya mampu menulis di sini, andai ada yang baca dan dapat kebaikannya, sebarkanlah. Tidaklah menjadi masalah.
Andai nampak aku juga terjebak dalam perkara atau aktiviti sebegini, sampaikanlah pesanan, atau hanya bagi sahaja url ini agar aku dapat baca sendiri pesanan tatkala dah terlupa.
Hidup di dunia ini hanya persinggahan, usahlah disebabkan ingin mendapatkan kebahagian dunia, kita melupakan apa yang perlu kita bawa untuk bekalan di akhirat.
Tidaklah rugi sekelumit pun kepada kita, andai kehidupan di dunia ini penuh cabaran, andai kita masih sedar semuanya itu adalah ujian daripada Allah.
Sebagai hamba Tuhan, kita akan sentiasa diuji agar kita sedar betapa kita ini tiada apa-apa, hanya Allah tempat kita bermohon dan berharap.
The post Setelah sekian lama hidup dalam dunia digital first appeared on Eizil.com.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.eizil.com/setelah-sekian-lama-hidup-dalam-dunia-digital/