Seramai 30 Juta Pelancong Disasar Pada Tahun Melawat Malaysia 2020
                    ainulillia       Malaysia kaya dengan alam semulajadi, budaya dan warisan          
SEREMBAN –  Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya meletakkan sasaran  kunjungan 30 juta pelancong antarabangsa dan domestik ke dalam negara  pada Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.
Timbalan  Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik  berkata, selaras dengan itu Kementerian Pelancongan telah merancang  pelbagai strategi utama bagi menjayakannya, dengan peruntukan awal RM50  juta disediakan.
“Perancangan  yang kita buat sekarang ini ialah kita banyak fokus kepada sektor  pelancongan eko dan budaya dan sebagainya. Malaysia memang kaya dengan  alam semulajadi, budaya, warisan, pelbagai makanan istimewa, taman tema,  pusat membeli-belah dan sebagainya yang dapat menarik kunjungan  pelancong.
“Antara  negara yang kita beri tumpuan dalam menarik kehadiran mereka ialah  negara-negara Eropah, India, Rusia, China, Korea dan Jepun,” katanya  kepada pemberita selepas program Titik Sentuhan: Pemimpin Bersama Rakyat  sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2019 di Pusat  Aktiviti Warga Emas (PAWE), Sikamat di sini, hari ini.
“Kita  sedar persaingan sektor pelancongan di antara negara Asean. Oleh itu,  promosi kita adalah untuk  mendapatkan pelancong yang lebih berkualiti.  Salah satu strategi pemasaran kita, antaranya kita akan mengambil  bahagian ekspo terbesar pelancongan di Berlin pada 5 Mac ini untuk  promosikan negara Malaysia,” tambahnya.
Sementara  itu, Muhammad Bakhtiar berkata, Kementerian Pelancongan bukan hanya  memberi tumpuan kepada pelancong luar tetapi juga pelancong domestik.
“Pelancongan  domestik ini seperti kita galakkan orang Negeri Sembilan pergi melawat  Pulau Pinang, atau orang Kelantan melawat Sabah dan Sarawak dan begitu  juga di negeri lain. Oleh itu, kita mahu kembangkan pelancongan  domestik. Sektor pelancongan menyumbang 15 peratus Keluaran Dalam Negara  Kasar (KDNK).
Pada majlis itu  100 orang termasuk 18 orang warga PAWE yang terdiri daripada Orang  Kelainan Upaya (OKU) menerima sumbangan berbentuk ‘hamper’ dan ‘angpau’  Tahun Baru Cina. – Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/02/seramai-30-juta-pelancong-disasar-pada.html