Senarai Kerja Popular Untuk Pelajar Lepasan Spm Dan Yang Baru Menamatkan Pengajian Di Universiti
Adakah anda baru habis peperiksaan SPM?
Atau adakah anda baru selesai menamatkan pengajian sama ada di peringkat Universiti mahupun kolej? Pada ketika ini anda mungkin sedang mempertimbangkan untuk memulakan kerjaya anda.
Jika anda tidak mempunyai pengalaman bekerja sebelum ini, proses untuk mencari kerja mungkin agak mengelirukan.
Ada banyak kerja yang anda boleh mohon tapi tahukah anda apakah kerja tersebut sesuai dengan anda? Jangan nanti anda tersilap memilih kerja yang tidak sesuai dengan diri anda, atau matlamat jangka masa panjang anda.
Di sini saya ingin memberikan anda cadangan kerja yang popular yang sering dijadikan pilihan oleh mereka yang baru lepasan SPM atau yang baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat universiti.
Kerja-kerja ini dipilih bagi tujuan mendapatkan pengalaman kerja, supaya di masa akan datang, anda boleh meletakkan pengalaman yang dilalui dalam resume anda.
Walaubagaimanapun, jika anda rasa serasi dengan kerja tersebut dan ingin meneruskan karier anda dalam bidang itu, ianya juga tiada masalah. Sesetengah syarikat ada menawarkan peluang untuk para pekerjanya membina karier dalam syarikat tersebut.
Bermula dengan pekerja bawahan, boleh naik sehingga menjadi pegawai kelas atasan. Kerja yang saya cadangkan ini memerlukan anda mempunyai keputusan SPM sekurang-kurangnya.
Ini bermakna individu yang baru lepasan SPM atau yang baru menamatkan pengajian memang sesuai memohon kerja-kerja. Terpulanglah kepada anda sama ada ingin bekerja untuk sementara waktu atau ingin terus kerja full time. Tanpa membuang masa jom kita lihat senarainya.
(1) Kerja sebagai seorang tutor atau cikgu tuisyen
Pendapatan yang boleh dihasilkan melalui kerja ini adalah sekitar RM1500 ke RM3000 sebulan.
Untuk memohon kerja seperti ini anda perlulah mempunyai ciri-ciri seperti seorang yang suka mengajar, boleh bersabar dengan kerenah para pelajar, sentiasa berfikiran positif dan boleh memotivasikan orang lain untuk belajar.
Ketika kita cuba untuk memotivasikan orang lain sebenarnya pada masa yang sama kita turut memotivasikan diri kita sendiri.
Melalui kerja sebagai seorang cikgu tuisyen anda boleh belajar cara berhadapan dengan ibu bapa yang mementingkan pendidikan yang baik untuk anak-anaknya. Mereka meletakkan harapan yang tinggi pada Pusat Tuisyen agar mampu membantu anaknya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan awam.
Sedikit sebanyak anda juga bakal belajar cara-cara untuk mengendalikan Pusat Tuisyen. Mungkin satu masa nanti apabila anda ada modal, anda boleh buka Pusat Tuisyen anda sendiri.
[Sila ke halaman ini untuk melihat kekosongan kerja sebagai cikgu tuisyen]
(2) Kerja di panggung wayang
Satu lagi tempat yang popular untuk memulakan kerjaya apabila melangkah ke alam pekerjaan adalah bekerja di panggung wayang.
Satu kelebihan apabila bekerja di panggung wayang ini adalah anda boleh menonton mana-mana cerita yang baru secara percuma sahaja jika pada waktu itu anda sudah habis bertugas dan ada kerusi yang kosong.
Anda boleh masuk dan duduk sambil menikmati cerita tersebut tanpa perlu bayar apa-apa. Cuma tolong jangan bagi spoiler dekat orang lain yang belum tengok ya.
Antara tanggungjawab yang perlu dilakukan apabila kerja sebagai crew di panggung wayang adalah menjaga kaunter tiket, menjaga pintu masuk ke bilik tayangan, dan juga bekerja sebagai barista yang menyediakan makanan dan minuman untuk para penonton.
Gaji yang ditawarkan adalah sekitar RM900 ke RM1500 sebulan.
[Lihat senarai kerja kosong di panggung wayang disini]
Jika anda mempunyai kelulusan yang lebih tinggi anda berupaya untuk mendapatkan gaji yang lebih tinggi.
(3) Kerja sebagai pembantu khidmat pelanggan ataupun customer service
Bagi pelajar lepasan SPM ataupun yang baru habis belajar di Universiti boleh juga mempertimbangkan untuk memulakan kerjaya sebagai pegawai khidmat pelanggan.
Pendapatan yang boleh diraih menerusi pekerjaan ini adalah sekitar RM2500 sebulan.
Dalam bidang kerja ini anda perlu berinteraksi sama ada dengan pelanggan baru yang ingin berurusan dengan pihak syarikat atau pelanggan sedia ada.
Pelanggan akan datang kepada anda membawa pelbagai isu sama ada ingin mengajukan pertanyaan, membuat pembayaran, melakukan tempahan ataupun untuk menyelesaikan masalah.
Pelanggan yang akan anda temui terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Bukan semua pelanggan yang anda akan temui merupakan seorang yang berbudi bahasa dan jika tidak bernasib baik anda mungkin akan terpaksa menguruskan pelanggan yang sedang marah, panik atau yang dilanda masalah.
Apa yang bagus dengan kerja ini ialah ia dapat melatih anda membina peribadi yang bagus, dan anda juga dapat melatih diri untuk berkomunikasi dengan orang lain dengan cara yang profesional.
[Lihat senarai kerja kosong customer service disini]
(4) Kerja di pusat panggilan atau call centre
Saya ada pengalaman bekerja di call center selama lebih kurang 2 tahun. Selepas itu saya buat keputusan untuk berhenti kerja dan bekerja sebagai eksekutif di syarikat lain. Satu lagi sebab kenapa saya tinggalkan kerja ini adalah kerana tawaran kerja baru yang saya dapat adalah lebih baik dan pakej imbuhan juga lebih menarik.
Kerja di pusat panggilan atau call center boleh dapat gaji sekitar RM1300 ke RM2500.
[Lihat senarai kerja kosong di Call Center disini]
Kerja di pusat panggilan ini lebih kurang sama dengan kerja sebagai customer service cuma bezanya kita hanya perlu bercakap melalui telefon sahaja. Para pekerja lazimnya akan dibekalkan dengan sebuah komputer dan juga headset yang disambung ke sistem telefon.
Kita perlu bercakap dengan pelanggan melalui telefon dan cuba selesaikan masalah mereka yang membuat panggilan telefon.
Sama seperti kerja customer service kadang-kadang kita akan dapat panggilan daripada pelanggan yang marah-marah.
Adakalanya pelanggan agak segan untuk marah-marah apabila pergi ke kaunter kerana di situ terdapat orang lain yang akan memerhatikan gelagat dirinya tetapi apabila melalui panggilan telefon dia tidak malu untuk marah, mengherdik dan menggunakan kata-kata kesat, sebab dia merasakan tiada siapa yang akan tahu apa yang berlaku dalam perbualan tersebut.
Walaubagaimanapun kebiasaannya setiap panggilan telefon adalah dirakam bagi tujuan rekod dan juga latihan staff.
Jika anda dapat panggilan telefon dari mereka yang sedang marah anda perlu bertenang dan cuba kendalikan situasi dengan sebaik mungkin.
Kita tak perlu takut dengan orang yang marah-marah melalui telefon, sebabnya dia tidak boleh apa-apa kan kita. Cuma kita perlu bersifat empati dan cuba memahami situasi pelanggan tersebut dan cubalah yakinkan pelanggan itu bahawa kita di sini ingin membantu sebaik mungkin.
Kalau pelanggan itu tetap terus marah dan asyik menggunakan kata-kata kesat, kita boleh beritahu dia yang kita mungkin tidak mampu membantu dengan baik dan jika berterusan begitu, kita ada hak untuk memutuskan panggilan telefon.
Kerja kita adalah bantu dia selesaikan masalah, bukannya dengar kata-kata cacian dan makian dari dia.
(5) Kerja sebagai pembantu penghantaran atau dispatch
Kerja ini memerlukan seseorang yang benar-benar tahu selok-belok jalan di sesuatu kawasan. Anda juga perlu mempunyai kenderaan sendiri. Kebiasaannya anda perlu ada motosikal anda sendiri untuk dapatkan kerja ini.
Bergantung kepada apa syarikat yang anda minta kerja, boleh jadi anda akan disuruh untuk membuat penghantaran dokumen, barangan keluaran syarikat, ataupun mungkin makanan. Sekarang ini banyak juga restoran yang sudah mula menawarkan servis penghantaran makanan ke tempat pelanggan.
Jika kerja perlu dilakukan pada waktu puncak biasanya jalan memang agak sesak, justeru anda perlu tahu laluan alternatif untuk pergi ke sesuatu kawasan supaya barang dapat dihantar tepat pada masanya.
Secara peribadi saya berpendapat kerja ini agak bahaya kerana masa anda banyak dihabiskan atas jalan raya. Anda terdedah kepada kemalangan jika tidak berhati-hati atau kurang bernasib baik.
Walaubagaimanapun ini adalah salah satu contoh kerja yang banyak diiklankan dan majikan sentiasa perlukan pekerja. Melalui kerja ini anda boleh faham bagaimana sistem kerja yang melibatkan penghantaran.
Dari segi kadar upah, anda boleh dapat bayaran sekitar RM1500 ke RM2000 sebulan.
[Jom lihat senarai kerja kosong sebagai despatch disini]
(6) Kerja dalam bidang perhotelan
Hotel adalah salah satu tempat yang anda boleh jadikan tempat untuk mencari rezeki. Dalam sesebuah hotel terdapat pelbagai kerja yang anda boleh lakukan.
Ada kerja dalam bidang customer service, kerja sebagai tukang pembersihan, kerja menyambut tetamu ataupun kerja sebagai kerani.
Anda boleh lihat pada halaman ini untuk mengetahui apa lagi kerja-kerja yang ditawarkan dalam bidang perhotelan.
Kerja dalam bidang perhotelan ada macam-macam jenis. Gajinya juga tidak sama antara satu sama lain.
Namun begitu anda boleh dapat pendapatan sekitar RM1500 ke RM2000 apabila bekerja di hotel.
(7) Kerja pembantu jualan atau Sales Assistant
Adakalanya kerja ini juga dipanggil sebagai promoter ataupun tukang promosi. Terdapat dua tugas utama yang anda perlu lakukan apabila kerja sebagai pembantu jualan.
Pertama anda perlu bantu syarikat menjual barang-barang yang dijual dipremis perniagaan. Kedua anda perlu bantu pelanggan untuk dapatkan barang yang diperlukan dan bantu pelanggan membuat keputusan yang betul.
Kalau anda bekerja sebagai seorang pembantu jualan di kedai yang menjual perabot, anda perlu bantu pelanggan untuk dapatkan perabot seperti mana yang dia inginkan dengan rekaan dan warna yang dimahukan.
Setengah syarikat bukan sahaja membayar anda gaji tetapi ada juga syarikat yang menawarkan komisyen tambahan apabila anda berjaya membuat banyak jualan.
Kadar gaji yang boleh diperolehi daripada pekerjaan ini adalah sekitar RM1000 ke RM3000.
[Sila lihat senarai kerja kosong sebagai sales assistant disini]
Gaji yang anda bakal perolehi boleh jadi lagi tinggi sekiranya syarikat memberi anda komisyen atas jualan yang anda hasilkan
Pelanggan yang walk-in ke galeri jualan atau premis perniagaan lazimnya memang sudah mempunyai niat untuk membuat pembelian. Jika anda boleh layan dengan baik dan memberi bantuan yang sepatutnya kebarangkalian untuk anda berjaya menjual adalah sangat tinggi.
(8) Kerja sebagai seorang telemarketer
Dalam kerja ini anda perlu membuat jualan kepada para pelanggan sedia ada atau pelanggan baru. Jika anda segan untuk berdepan dengan orang yang tidak dikenali, di sini ada berita baik untuk anda.
Anda tidak perlu berjumpa dengan individu tersebut secara bersemuka, sebaliknya anda hanya perlu berkomunikasi melalui panggilan telefon sahaja.
Kerja ini hampir sama dengan kerja di pusat panggilan, cuma bezanya ialah apabila anda kerja sebagai telemarketer, anda yang perlu membuat panggilan kepada pelanggan bukan sebaliknya.
Kerja sebagai telemarketer anda akan dibayar gaji basic berserta dengan komisen. Pendapatan sebagai telemarketer adalah sekitar RM1 ribu ke RM 2200 sebulan.
Jumlah ini akan jadi lagi banyak jika majikan membayar anda komisyen atas jualan yang berjaya dihasilkan
[Semak senarai kerja kosong sebagai telemarketer disini]
Kedua-dua kerja sebagai telemarketer atau pun kerja di pusat panggilan (call center) dapat melatih seseorang itu menguasai sesuatu bahasa dan dapat berkomunikasi dengan baik. Anggaplah ini sebagai satu peluang untuk anda menguasai bahasa Inggeris dan bahasa Melayu kerana dalam kerja ini anda perlu berkomunikasi menggunakan dua bahasa ini dengan agak kerap.
(9) Kerja di restoran
Kerja di restoran atau kerja di kedai makan adalah satu lagi tempat popular untuk memulakan karier dan kerjaya.
Di Malaysia terdapat pelbagai konsep restoran yang boleh kita lihat. Ada restoran makanan segera, restoran skala pertengahan dan restoran skala atasan.
Kalau nak cerita dari segi yang popular biasanya restoran makanan segera seperti KFC dan McDonald adalah tempat yang menjadi pilihan untuk mereka yang baru habis belajar memulakan kerjaya.
[Mohon kerja kosong dengan McDonald Malaysia disini]
Kerja sebagai crew restoran boleh memberikan anda pendapatan sekitar RM1200 ke RM1500 setiap bulan.
Kerja sebagai crew restoran ini memang agak memenatkan terutama sekali pada waktu puncak dan ketika ramai pelanggan. Anda perlu bertindak pantas kerana anda berurusan dengan pelanggan yang sedang lapar. Kalau service terlalu lambat pelanggan akan lari dan makan ditempat lain pada masa akan datang.
Kerja di restoran bukan sahaja akan dibayar gaji malahan anda juga akan dapat makan secara percuma. Disini anda sudah jimat dalam bab belanja makan.
[Lihat senarai kerja kosong restoran disini]
(10) Kerja sebagai pengurus media sosial
Pada satu ketika dulu kerja yang melibatkan media sosial memang tidak wujud. Mungkin pada waktu itu kebanyakan syarikat hanya melihat media sosial sebagai tempat untuk bersosial semata-mata.
Namun pada hari ini persepsi tersebut telah pun berubah. Ada banyak syarikat yang mula mendekati pelanggan mereka melalui akaun media sosial. Para pelanggan juga mudah untuk berhubung dengan syarikat jika mereka ada sebarang pertanyaan atau menghadapi sebarang masalah.
Apabila menggunakan media sosial kebanyakkan pelanggan mengharapkan pihak syarikat akan membalas dengan pantas terhadap sebarang pertanyaan yang diajukan.
Justeru syarikat perlu mengambil pekerja yang dapat melayan pelanggan melalui media sosial. Selain melayan pelanggan, pengurus media sosial juga perlu membuat kerja pemasaran dan membuat jualan melalui akaun media sosial.
Gaji yang boleh diperolehi melalui pekerjaan ini boleh tahan lumayannya. Anda boleh hasilkan pendapatan sekitar RM2500 ke RM 4000 sebulan.
[Boleh cuba mohon kerja sebagai pengurus social media disini]
Kebanyakan peluang kerja yang saya cadangkan di sini sesuai untuk mereka yang ingin melibatkan diri dalam bidang pengurusan perniagaan satu hari nanti. Bagi individu yang mempunyai latar belakang sebagai seorang jurutera anda boleh lihat banyak lagi peluang kerja yang bersesuaian dengan kelulusan anda di laman web ini.
Saya doakan semoga anda dapat kerja yang dipilih.
The post Senarai kerja popular untuk pelajar lepasan SPM dan yang baru menamatkan pengajian di universiti appeared first on Blog Sabree Hussin.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.sabreehussin.com/senarai-kerja-popular-untuk-lepasan-spm-dan-universiti/