Senarai 8 Nama Planet Dalam Sistem Suria
Di dalam Sistem Suria yang terdiri daripada planet-planet, terdapat 8 nama planet yang mestilah diketahui oleh murid.
Planet-planet ini adalah sebahagian daripada Sistem Suria dan mempunyai ciri-ciri yang menarik.
Mengenai Sistem Suria
Sistem suria merujuk kepada salah satu daripada sistem-sistem yang terdapat di dalam Galaksi Bima Sakti yang terdiri daripada planet-planet dan bintang-bintang yang mengelilingi matahari mengikut orbit yang berbeza pada satah yang rata.
Ia terdiri dari Matahari dan objek selestial yang terikat kepadanya dengan graviti.
Objek ini adalah lapan planet dan 166 bulan mereka yang diketahui, empat planet kerdil dan berbillion dari anggota kecil, termasuk asteroid, objek berais jalur Kuiper, komet,meteroid, dan debu antara planetari.
Secara umum, rantau bercarta dari Sistem Suria ialah Matahari, empat planet terestrial dalaman, jalur asteroid, empat planet gas gergasi luaran, jalur Kuiper, cakera bertaburan, dan yang unggulnya kemungkinan hipotesisnya awan Oort.

Senarai Nama Planet
Mengikut susunan dari jarak mereka dari Matahari, lapan planet ialah :
Utarid
Zuhrah
Bumi
Marikh
Musytari
Zuhal
Uranus
Neptun
1- Utarid / Mercury
Utarid atau dalam Bahasa Inggerisnya Mercury merupakan planet yang paling hampir dengan matahari iaitu kira-kira 57.9 juta kilometer (km).
Planet ini juga planet terkecil dalam sistem suria dan permukaannya lebih kurang sama dengan permukaan bulan contohnya kawah-kawah asteroid dan tebing yang puluhan km tinggi.
Di permukaan Utarid, matahari kelihatan dua setengah kali ganda lebih daripada saiznya di bumi tetapi disebabkan ketiadaan atmosfera, cahaya tidak dapat diserakkan yang mengakibatkan langit kelihatan gelap seperti di angkasa lepas.
Di permukaan Utarid juga, Zuhrah dan Bumi kelihatan seperti bintang yang sangat cerah.

2- Zuhrah / Venus
Zuhrah atau dalam Bahasa Inggerisnya Venus merupakan planet kedua terdekat dengan matahari dan lebih dikenali planet paling panas.
Saiz, jisim, isipadu dan ketumpatannya adalah hampir sama dengan Bumi.
Namun, Zuhrah tidak mempunyai lautan tetapi mempunyai atmosfera yang mengandungi peratus gas karbon dioksida yang tinggi, tidak mempunyai wap air tetapi mempunyai titisan asid sulfurik.

3- Bumi / Earth
Bumi merupakan planet ketiga dalam sistem suria dan ia adalah rumah kepada jutaan spesies termasuklah manusia.
Pembuktian saintifik menunjukkan planet ini telah terbentuk kira-kira 4.54 billion tahun yang lalu dan dikatakan berusia 4,600 juta tahun.
Jarak purata Bumi dengan matahari adalah 149.6 juta km.

4- Marikh / Mars
Marikh atau Mars merupakan planet keempat dalam sistem suria dan ia merupakan planet batuan sama seperti Bumi.
Planet ini yang dikenali sebagai planet merah selalu menjadi sumber dan daya tarikan untuk diteroka kerana ia satu-satunya planet yang berkemungkinan besar mempunyai bukti kehidupan dan kewujudan organisma.
Marikh juga paling mudah diakses dan menjadi pilihan utama untuk penerokaan manusia akan datang.
Ia mempunyai dua bulan iaitu Phobos dan Deimos dan mempunyai kutub yang mengandungi air beku dan karbon dioksida.

5- Musytari / Jupiter
Musytari atau Jupiter merupakan planet kelima dan terbesar di dalam Sistem Suria yang mempunyai diameter berukuran 142,984 km, iaitu lebih kurang 11.2 kali ganda diameter Bumi
Planet ini juga mempunyai jalur dan pusaran yang sebenarnya merupakan awan ammonia dan air yang sejuk dan berangin yang terapung di dalam lapisan atmosfera yang terdiri daripada gas hidrogen dan helium.
Planet ini mempunyai satu tompok merah dikenali sebagai ‘The Great Red Spot’ iaitu ribut raksasa bersaiz lebih besar daripada Bumi.
.Jarak purata Musytari dari Matahari adalah sekitar 778 juta kilometer atau 5.2 Astronomical Unit (AU) dan mengambil masa kira-kira 10 jam untuk melengkapkan satu putaran pada paksinya tetapi mengambil masa kira-kira 12 tahun Bumi untuk melengkapkan orbitnya mengelilingi Matahari.

6- Zuhal / Saturn
Zuhal atau dalam Bahasa Inggeri ialah Saturn merupakan planet keenam dan kedua terbesar selepas Musytari dalam sistem suria yang merupakan planet paling jauh dapat dilihat dari Bumi dengan mata kasar.
Planet gergasi bergas ini mempunyai lapisan atmosfera terdiri dari hidrogen dan helium.
Struktur terasnya adalah berbatu, diseliputi lapisan cecair hidrogen logam dan lapisan mantelnya terdapat sedikit kesan pelbagai ais.
Zuhal mempunyai 82 bulan, 6 yang utama adalah Titan, Rhea, Lapetus, Dione, Tethys dan Enceladus.
Titan merupakan bulan terbesar di Zuhal dan kedua terbesar dalam sistem suria, lebih besar daripada bulan di Bumi.
Selain itu, Zuhal antara 4 planet bergas selain Musytari, Uranus dan Neptun yang mempunyai gelang mengelilinginya.
Sistem gelang Zuhal adalah paling hebat dan menarik, terdiri daripada ketulan ais dan batu pelbagai saiz.
Planet ini juga mempunyai tujuh gelang dengan beberapa bahagian yang renggang, terbesar adalah Renggang Cassini (Cassini Division) dan yang lebih kecil adalah Renggang Enckle (Enckle Division).

7- Uranus
Uranus ialah planet ketujuh dari Matahari dengan jarak 2.9 billion km dan merupakan planet ketiga terbesar dalam sistem suria dengan diameter 51,120 km.
Ia juga dikenali sebagai gergasi ais kerana terdiri daripada bahan berais yang mengalir di atas teras dan mempunyai 28 bulan dan 13 gegelang cincin yang diiktiraf pada orbitnya.
1 hari di planet Uranus bersamaan dengan 17 jam 14 minit di Bumi manakala 1 tahun di planet Uranus bersamaan 84 tahun di Bumi.
Uranus adalah salah satu planet yang berputar secara sisi dan berlainan arah dari kebanyakan planet lain dan tidak mempunyai permukaan nyata kerana kebanyakannya adalah cecair berputar.
Kandungan Metana di atmosfera Uranus memberikan cahaya warna biru yang dipancarkan Uranus.

8- Neptun / Neptune
Neptun atau Neptune ialah planet ke-8 dari Matahari dengan jarak 4.5 billion km dan merupakan planet ke-4 terbesar dalam sistem suria dengan diameter 49,528 km.
Ia juga dikenali sebagai gergasi ais kerana terdiri daripada cecair pekat panas daripada bahan “berais” yang mempunyai 16 bulan dan 9 gegelang cincin yang diiktiraf pada orbitnya.
1 hari di planet Neptun bersamaan dengan 16 jam di Bumi dan 1 tahun di planet Neptun bersamaan 165 tahun di Bumi.
Planet ini juga mempunyai kecondongan paksi 28 darjah terhadap satah orbitnya mengelilingi Matahari sama seperti Bumi.
Atmosfera di Neptun kebanyakannya terdiri daripada Hidrogen, Helium dan Metana.
Baca juga: Planetarium Negara – Apa yang Menarik & Kadar Bayaran Masuk
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/nama-planet/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=nama-planet