Senang Je Semuanya Salahkan Hamas
Hamas menggantung proses membebaskan tebusan Israel dan apa kata Donald Trump? Gencatan senjata dengan Israel akan tamat (atau ditamatkan?) jika tebusan dalam tahanan Hamas tidak dibebaskan. ‘They either have them out by Saturday at 12 0’clock or all bets are off’.
Ertinya, Trump beri Hamas tempoh sehingga esok untuk membebaskan tebusan Israel. Jika tidak, kali ini beliau guna kata-kata ‘all bets are off’. Lazimnya Trump kata ‘all hell breaks loose’. Kedua-dua istilah bawa makna sama. Serang Palestin.
Rakan baiknya Benjamin Netanyahu dengan pantas mengancam akan ‘menyambung’ perang ke atas Gaza jika tebusan Israel tidak dibebaskan esok. Tentera Israel katanya akan kembali menyerang sengit sehingga Hamas dikalahkan. Ertinya ribuan lagi rakyat Palestin yang muda dan tua, wanita, kanak-kanak akan dibunuh.
Jelas Trump dan Netanyahu menyalahkan Hamas kerana meletakkan Gaza dalam keadaan terancam. Rasanya ada golongan termasuk dalam kalangan rakyat negara ini yang setuju Hamas bersalah lantas membahayakan rakyat Palestin.
Tetapi, perlu dinyatakan Trump dan Netanyahu menyalahkan Hamas tanpa mengendahkan apa kata Hamas semasa memutuskan untuk menggantung pembebasan tebusan. Sama ketika Hamas menyerang wilayah Israel pada 7 Okt 2023. Sebab Hamas menyerang tidak diendahkan juga. Sejarah penindasan dan pembunuhan rakyat Palestin sejak 1948 tidak dihirau. Lemparkan ‘kesalahan’ 7 Okt ke atas Hamas untuk menghalalkan serangan kejam ke atas rakyat Palestin yang menyusuli.
Sekarang. Salahkan Hamas kerana tidak ikut perjanjian gencatan senjata. “Hamas has violated the ceasefire,” kata AS dan Israel. Dengan senang mereka abaikan kata-kata Hamas bahawa semua pihak mesti patuh syarat gencatan senjata. Bukan hanya satu pihak.
Mereka tidak hirau kata-kata Hamas bahawa Israel telah mengingkari perjanjian. ‘Did Israel violate the ceasefire? Yes’, kata Al Jazeera.
Menurut Al Jazeera, Israel masih membunuh rakyat Palestin di Gaza. Ini berdasarkan laporan harian Kementerian Kesihatan wilayah berkenaan. Perlu ditegaskan ini dilakukan Israel walaupun gencatan senjata dikuatkuasakan 19 Jan lalu.
Dari segi bantuan pula, Israel setakat ini membenarkan hanya 8,500 trak yang membawa makanan dan bahan bantuan asas masuk ke Gaza. Padahal mengikut perjanjian gencatan senjata 12,000 trak sepatutnya sudah dibenarkan masuk.
Mengenai bahan berteduh, 200,000 khemah mesti dibawa masuk pada fasa pertama gencatan senjata. Sehingga kini hanya 10% yang Israel izin masuk ke Gaza. Dan tidak ada satu pun kediaman bergerak tiba di Gaza. Ikut perjanjian 60,000 ‘mobile home’ sepatutnya dibawa masuk.
Selain itu, 50 orang sakit tenat dan cedera seharusnya dibenarkan keluar dari Gaza setiap hari diiringi anggota keluarga. Ertinya 1,000 orang sepatutnya sudah keluar. Bagaimanapun menurut Kementerian Kesihatan hanya 120 pesakit diizinkan keluar setakat ini.
Israel juga melengah-lengah (dragging its feet) proses membenarkan rakyat Palestin pulang ke utara Gaza. Suatu aspek jelas yang dihuraikan perjanjian gencatan senjata.
Itu belum bercakap mengenai keganasan terus dilakukan tentera Israel di Tebing Barat yang ditakluknya termasuk di kem pelarian di Jenin.
Namun, Hamas yang dipersalahkan kononnya tidak ikut perjanjian gencatan senjata dengan menangguhkan pembebasan tebusan. Dan kini Gaza diancam perang sengit.
“Intense fighting,” kata Netanyahu. Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini Israel khususnya Netanyahu tidak minat kedamaian. Lebih gemar mengganas. Dan Trump menyokong sang perdana menteri Israel.
Semasa menyuarakan hasrat mahu Amerika Syarikat memiliki Gaza untuk dibangunkan menjadi ‘Riviera Timur Tengah’ (sekali gus melakukan ethnic cleansing) Trump mengakui rakyat Palestin di Gaza sudah lama menderita. Tetapi beliau tidak mahu sebut mengapa dan siapa yang buat rakyat Palestin derita. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/02/senang-je-semuanya-salahkan-hamas.html