Sempena Hari Roti Sedunia Pusat Jagaan Orang Tua Anak Yatim Oku Dan Orang Asli Terima Sumbangan Roti Gardenia
Shah Alam, 27 Oktober 2020 – Anak-anak di Pertubuhan Nur Kasih Klang adalah antara golongan di bawah jagaan organisasi-organisasi kebajikan yang menikmati rezeki perayaan Hari Roti Sedunia tahun ini. Gardenia Bakeries KL Sdn Bhd (Gardenia KL) baru-baru ini telah tampil membantu 10 organisasi kebajikan dengan komitment membekal roti sebanyak dua kali seminggu sepanjang tempoh enam bulan sempena sambutan Hari Roti Sedunia.
“Kakitangan dan sukarelawan yang menjaga golongan yang memerlukan memikul tugas yang berat dalam memastikan keterusan dana dan barangan keperluan. Gardenia berhasrat membantu meringankan serba sedikit beban ini dengan menyumbangkan bekalan roti sepanjang tempoh enam bulan. Komuniti adalah cukup penting buat Gardenia dan kami berbesar hati untuk memeriahkan perayaan Hari Roti Sedunia bersama mereka,” kata Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Puan Hazlinah Harun.
Hari Roti Sedunia disambut pada 16 Oktober setiap tahun bagi memperingati ulang tahun Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) yang diasaskan pada tahun 1945 untuk mengatasi isu kelaparan.
Antara 10 penerima sumbangan Hari Roti Sedunia oleh Gardenia KL termasuk Pertubuhan Nur Kasih Klang, Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Ar Raudhah Malaysia, Rumah Amal Baitul Barokah Wal Mahabbah, Pusat Jagaan Kasih Abadi, Rumah Kebajikan Misi Harapan, Persatuan Kebajikan Darul Hanan, serta Rumah Anak Yatim dan Miskin Nur Iman.
Meneruskan tradisi meraikan sambutan ini sambil beramal, Gardenia KL, dengan sokongan para netizen, akan menyumbang sebanyak 12,375 buku roti Gardenia Original Classic dan 825 unit kaya Auntie Rosie Gardenia. Secara keseluruhannya, sebanyak 13,200 unit produk Gardenia, bernilai kira-kira RM37,500 akan dihulurkan kepada 10 organisasi kebajikan yang dikenal pasti bermula Oktober 2020 sehingga April 2021. Gardenia KL juga akan menghulurkan sumbangan kepada masyarakat orang asli di Rumah Haknuk Jenang di Raub.
Di samping itu, dalam usaha membantu golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Gardenia KL, dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor, telah menyumbangkan 600 pek Krim Rol Gardenia Delicia dan 600 Roti Ban Sambal Bilis kepada penghuni asrama Tropicana yang menjalani PKPB.
Sejak permulaan fasa PKP awal tahun ini lagi, Gardenia KL telah mempertingkatkan usaha membantu golongan terkesan dengan peruntukkan sebanyak RM1 juta untuk Program Bantuan Covid-19. Dengan kerjasama organisasi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ) dan Jabatan Hal Ehwal Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Gardenia KL telah memberikan sokongan kepada Program Food Bank, kumpulan B40 dan para petugas barisan hadapan seperti kakitangan perubatan, pihak polis, dan ahli bomba, penunggang Grab dan pemandu teksi yang melayani masyarakat dengan perkhidmatan kritikal. Secara keseluruhannya, Program Bantuan Gardenia Covid-19 sudah menyumbang lebih RM500,000 sejak Mac sehingga kini.
Gardenia mula menyambut Hari Roti Sedunia pada tahun 2018 dengan melibatkan netizen dalam kempen amal untuk menyokong 20 organisasi kebajikan. Pada tahun lalu, Gardenia meneruskan tradisi ini dengan memperkasa pelajar universiti dari keluarga berpendapatan rendah menerusi program Food Bank Siswa.
“Gardenia sentiasa bersama para pengguna dan komuniti di saat senang mahupun susah. Di masa yang penuh cabaran dan ketidaktentuan ini, marilah kita saling menyokong dan membantu antara satu sama lain dalam apa cara sekalipun. Akhir sekali, marilah kita sama-sama amalkan norma baru agar diri dan yang tersayang terus selamat dan sihat,” ujar Hazlinah.
#GardeniaKL
#SentiasaBersamamu
Tentang Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd
Gardenia KL ditubuhkan pada tahun 1986. Kini ia merupakan pengeluar roti terkemuka di Asia Tenggara. Setelah lebih dari 30 tahun, Gardenia mengendalikan lapan bakeri di Malaysia dan mengeluarkan 47 jenis produk setiap hari, termasuk pelbagai roti buku, roti ban, rol, kek, wafel, dan lain-lain produk seperti lepa dan mi kuning.
Setiap hari, Gardenia menghantar roti segar secara percuma kepada lebih daripada 70 organisasi kebajikan seperti rumah orang-orang tua, rumah anak yatim, pusat dan sekolah untuk orang berlainan upaya, lapan daripada institusi-institusi ini termasuk dalam senarai penghantaran Gardenia sejak tahun 1991.
MR : Semoga Allah berkati usaha kita
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.mindarakyat.net/2020/10/sempena-hari-roti-sedunia-pusat-jagaan.html