Semak Semula Data Individu Jatuh Miskin Akibat Covid 19
Zuhayati
Pangkalan data tunggal diperlukan, mudahkan saluran bantuan

		  			 			BANGI –Pangkalan data  tunggal berhubung maklumat kemiskinan sangat diperlukan bagi menangani  isu pertindihan dan keciciran dalam menyalurkan bantuan kepada kumpulan  sasar.
Data itu penting untuk menyelaraskan bantuan serta latihan kepada  kumpulan sasar di peringkat daerah, kata Pengarah Institut Penyelidikan  dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK),  Prof Madya Dr Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail.
Beliau berkata, jika di beberapa negeri, mereka ada pangkalan data tersendiri selain eKasih di peringkat Persekutuan.
“Jadi, apa yang perlu ditambah baik adalah sepatutnya hanya ada satu sahaja pangkalan data.
“Mungkin eKasih boleh dijadikan pangkalan data tunggal untuk semua  dan ini dilihat lebih memudahkan kerajaan mengatasi sebarang masalah  pertindihan dan sebagainya,” katanya seperti dilapor media tempatan,  hari ini.
Selain itu,Prof Wan Ahmad turut mencadangkan kerajaan menyemak  kembali data individu yang jatuh miskin disebabkan COVID-19 dengan  mengkategorikannya sebagai miskin situasi.
“Data terbabit boleh kita peroleh daripada agensi kerajaan berkaitan  seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan  Sosial (PERKESO).
“Kita juga boleh menambah satu lagi elemen iaitu data terbuka. Ini  bermakna, sesiapa sahaja di lapangan, contoh badan bukan kerajaan (NGO)  boleh memeriksa sama ada individu terbabit miskin, sudah menerima  bantuan atau sebaliknya,” katanya.
Justeru itu, katanya penambahbaikan berkaitan pangkalan data amat  penting bagi menangani isu pertindihan dan keciciran bantuan kepada  kumpulan sasar.
Sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program  pembasmian kemiskinan termasuk segala bantuan dan latihan kepada  kumpulan sasar akan diselaraskan pada peringkat daerah di bawah ICU JPM  yang akan memantau pada peringkat Persekutuan.
Perdana Menteri menjelaskan, langkah itu bagi memastikan usaha  membantu dan meningkatkan sosio ekonomi rakyat miskin di seluruh negara  dapat dilaksanakan dengan lebih fokus melalui pemantauan khusus oleh  penyelaras di pejabat daerah, bukan lagi oleh kementerian atau agensi  berbeza.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/10/semak-semula-data-individu-jatuh-miskin.html