Selepas Ajak Dan Shahrol Shiro Jadi Juara Mlm 2018 Mereka Umumkan Sesuatu Yang Tidak Dijangka
KUMPULAN Shiro yang dianggotai dua tunggak utamanya, Ajak dan Shahrol membuat kejutan apabila mengumumkan akan meninggalkan karier sebagai penyampai radio ketika sidang media sejurus selesai pertandingan Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) pada malam Jumaat.
Ajak yang merupakan deejay stesen radio Hot FM memberitahu dia mengambil keputusan itu selepas merasakan sudah tiba masanya dia kembali memberi fokus kepada bidang lakonan dan komedi.
"Sepanjang tiga tahun saya bergelar deejay, saya tidak berlakon dan menumpukan sepenuhnya dalam bidang radio.
Shahrol dan Ajak membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000
"Bayangkan saya tidak pernah menghantar anak saya ke sekolah dalam tempoh tiga tahun ini kerana perlu berada di konti radio pada awal pagi," katanya kepada mStar Online.
Ajak yang ke udara menerusi segmen Geng Pagi Hot memaklumkan dia akan menamatkan kontraknya pada penghujung Februari ini.
Sementara itu, Shahrol turut memberitahu kontraknya bersama Suria FM selama enam bulan sudah berakhir pada 11 Januari lalu dan ia tidak disambung.
Seperti Ajak, Shahrol juga memberitahu ingin kembali aktif dalam bidang komedi dan melihat kemenangan mereka sebagai petanda baik untuk tujuan itu.
Juara dua kali berturut-turut MLM Bocey mendapat tempat kedua
Selain itu, Shahrol berkata, dia juga akan memberi fokus kepada syarikat produksinya yang ditubuhkan sejak beberapa tahun lalu.
"Saya berlapang dada…Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Alhamdulillah walaupun tidak lagi bergelar penyampai radio tetapi ada pula rezeki kami untuk bergelar juara MLM 2018.
"Ini saya lihat sebagai peluang untuk saya dan Ajak kembali serius dalam bidang komedi yang sudah agak lama kami tinggalkan," ujarnya yang ke udara menerusi segmen Team Suria Pagi.
Mengulas kemenangan mereka, Ajak berkata, usaha mereka sebanyak tujuh kali mencuba dalam pertandingan itu akhirnya berbaloi dan kemenangan ini memang dinanti-nantikan.
Trio adik-beradik berasal dari Sabah Zero mendapat tempat ketiga
"Tujuh kali kami mencuba nasib dalam MLM…Alhamdulillah segala usaha selama ini akhirnya terbayar dan memang ini yang kami mahukan," ujarnya.
Shiro membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000 berserta trofi manakala Bocey yang dianggotai oleh Abam, Fad dan Achey bergelar naib juara sekaligus menerima hadiah wang tunai RM250,000.
Trio adik-beradik, Zero pula mendapat tempat ketiga dan membawa pulang hadiah RM150,000 berserta trofi. - mStar Online
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.sensasimedia.com/2019/01/selepas-ajak-dan-shahrol-shiro-jadi-juara-mlm-2018.html