Selangor Rugi Lebih Rm50 Juta Kerana Tiada Cukai Hiburan Kata Mb
Amirudin Shari berkata, ketiadaan cukai hiburan, contohnya panggung wayang tidak beroperasi, akan memberi kesan kepada kemajuan dan hasil Selangor.SHAH ALAM: Kerajaan Selangor kehilangan lebih RM50 juta disebabkan ketiadaan cukai hiburan, kata Menteri Besar, Amirudin Shari di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
“Terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara, Ng Sze Han yang telah menjelaskan tentang cukai hiburan. Sebenarnya, kerajaan negeri kehilangan lebih RM50 juta disebabkan ketiadaan cukai hiburan, antaranya kerana panggung wayang (tidak beroperasi), sebagai contoh.
“Pengurangan tersebut akan memberi kesan kepada kemajuan dan hasil negeri,” katanya pada sesi penggulungan usul Bajet Peruntukan Pembangunan 2022.
Terdahulu, Ng yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, dalam sesi penggulungan usul sama menjawab isu untuk kerajaan negeri melanjutkan duti cukai hiburan pada tahun depan yang dibangkitkan Jamaliah Jamaluddin (PH-Bandar Utama).
Ng berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bilangan 40/2021 pada 24 Nov lepas bersetuju memberi pengecualian penuh duti hiburan mulai 1 Jan sehingga 30 Sept tahun ini atau selama sembilan bulan.
“Kerajaan negeri bersetuju membuat kutipan duti hiburan bermula 1 Okt sehingga 31 Dis 2021 serta membuat penyelarasan bayaran duti hiburan pada tahun depan dengan mengambil kira pembayaran yang dibuat tahun ini.
“MMKN juga bersetuju untuk permohonan pengecualian penuh duti hiburan bagi aktiviti hiburan lain di Selangor dipertimbangkan dari semasa ke semasa.”
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pencapaian pemberian vaksin menerusi program jangkau luar dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Selangor yang berumur 18 tahun dan ke atas adalah 88.4% bagi dos pertama setakat 30 Nov lepas.
Katanya, berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), 86.9% Orang Asli sudah lengkap dua dos, termasuk dos tunggal vaksin Cansino.
Beliau menjawab pertanyaan Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku) yang membangkitkan isu berkaitan usaha meningkatkan kadar vaksinasi untuk Orang Asli di Selangor.
Terdahulu, DUN Selangor meluluskan Usul Peruntukan Pembangunan 2022 berjumlah RM1.123 bilion bagi perbelanjaan pembangunan tahun depan yang dibahaskan bermula semalam.
Sidang DUN Selangor ditangguhkan sehingga 10 pagi esok. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2021/12/selangor-rugi-lebih-rm50-juta-kerana.html