Selagi Pimpinan Ada Sikap Melawan Seperti Sekarang Sukar Untuk Umno Diharamkan Tapi
Bolehkah UMNO diharamkan?
Ini adalah antara isu yang menghantui UMNO sekarang ini, selain isu kedudukan hubungannya dengan Bersatu dan kemampuan untuk menang dalam PRU15 akan datang.
Dengan banyak kuasa berada dalam tangan Bersatu dan parti itu diketahui umum tidak mungkin mampu bernafas selesa meneruskan pegangan kuasanya dalam negara jika tanpa kerjasama UMNO, tidak mustahil pilihan bagi Bersatu ialah mengharamkan UMNO.
Apalagi setelah UMNO kini memuktamadkan putus hubungan dan tiada lagi kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15, itulah jalan terakhir dan terbaik yang boleh dilakukan parti pimpinan Mahiaddin Md Yasin jika beliau ingin mudah terus mengekalkan kuasanya.
Alasan mengharamkan UMNO pula bukannya susah, di samping boleh dicari dan dicipta, fail lama berkenaan perkara tersebut ketika Mahiaddin memegang jawatan Menteri Dalam Negeri yang diserahkan kepadanya untuk diambil diambil tindakan oleh Tun Mahathir Mohamad sebelum ini, pasti sama ada masih lagi dalam simpanannya atau kini berada di tangan Menteri Dalam Negeri sekarang, Hamzah Zainuddin.
Jika kita masih ingat, sebaik mengetahui perkara itu, mujur Anwar Ibrahim segera menemui Mahiaddin dan menasihatkannya agar jangan bertindak mengharamkan UMNO, meskipun alasan menerima dana 1MDB sudah boleh dijadikan sandaran tindakan pengharaman.
Anwar mengingatkan Mahiaddin tentang jasa-jasa dan sumbangan UMNO kepada orang Melayu, walaupun mereka berdua tidak lagi berada di dalam parti Melayu terbesar itu.
Dengan UMNO diharamkan, ditambah sudah sedia ada pemimpin dalam UMNO sendiri yang lebih sayang kepada Bersatu berbanding parti mereka sendiri, sudah tentu ahli-ahlinya akan bertempiaran dan seterusnya akan muncullah saranan agar menjadikan Bersatu sebagai ganti wadah perjuangan.
Lalu, dengan gah kemudiannya Mahiaddin akan muncul melalui perutusan khasnya sambil menyeru semua orang Melayu agar bersatu di bawah payung Bersatu.
Atau, boleh juga setelah UMNO diharamkan, akan muncul sekumpulan pemimpin UMNO yang pro Bersatu diberikan surat oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan untuk menghidupkan semula UMNO dengan nama UMNO 2.0, UMNO 3.0 atau seumpamanya.
Sebahagian pemimpin utama UMNO sedia ada akan diketepikan daripada cubaan menghidupkan semula parti itu di mana kes mahkamah yang sedang dihadapi dijadikan sebagai alasan mengenepikan mereka.
Selepas itu, pimpinan baru berkenaan bukan saja mula mengadakan sidang media di Ibu Pejabat UMNO di PWTC, malah bergerak ke negeri-negeri untuk memberi penjelasan dan mengukuhkan sokongan.
Akhirnya, UMNO pun berjaya dihidupkan semula, tetapi oleh kerana organisasinya masih lagi dalam penyusunan dan belum teratur, maka ia perlu bekerjasama dengan Bersatu untuk menghadapi PRU15.
Bekerjasama dengan Bersatu itu tentu saja bermaksud UMNO perlu berada di bawah dan kena tunduk hormat kepada Bersatu.
Sudahnya, selain Mahiaddin yang akan tersenyum lebar, Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin juga turut sampai ke telinga senyumannya.
Realitinya, semua itu tidak mustahil berlaku kepada UMNO dan dilakukan oleh Bersatu tetapi selagi pimpinan UMNO terus melawan dan tidak gentar dengan apa jua cabaran, ia tidaklah semudah itu sesiapa mahu mengambil tindakan pengharaman itu.
Ketika kali pertama UMNO diharamkan, walaupun ia keputusan mahkamah, tetapi boleh dianggap pimpinan UMNO ketika itu memang menghendaki pengharaman tersebut.
Dengannya kemudian lalu ditubuhkan UMNO Baru dan golongan penentang kepada pemimpin yang berkuasa dalam kerajaan tidak dibenarkan langsung untuk menyertai UMNO, seterusnya lahirlah Parti Semangat 46.
Kali kedua UMNO cuba diharamkan ialah dengan Tun Mahathir, setelah menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, telah memujuk dan memberi idea kepada Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi agar membubarkan UMNO.
Zahid Hamidi telah bercakap banyak kali mengenai pengharaman itu, malah menyebut jika beliau setuju membubarkan UMNO ketika itu, pastilah tiada pendakwaan di mahkamah terhadapnya, namun tidak pernah sekali pun ia dinafikan oleh Tun Mahathir.
Ini memberi gambaran benarlah ada saranan dan pujukan untuk mengharamkan UMNO oleh Tun Mahathir kepada Zahid Hamidi itu.
Kalau Zahid Hamidi tiada sikap melawan atau mudah gelap mata dengan tawaran jawatan, UMNO sudah pun jadi “arwah” ketika ini.
Yang nyata di sini, dengan kali pertama UMNO diharamkan kerana itulah keinginan pimpinan waktu itu demi survival kuasa mereka dan cubaan kali kedua dilakukan dengan pujukan kepada pimpinan sedia ada, bermakna UMNO tidak mungkin atau terlalu sukar untuk diharamkan selagi pimpinannya ada sikap melawan kepada pihak yang mahu mengharamkannya.
Tun Mahathir sendiri telah membuktikan UMNO hanya boleh diharamkan melalui tindakan daripada dalam, bukan daripada luar.
Mengharamkan UMNO tanpa restu pimpinan dan sebahagian besar ahlinya, tidak dapat tidak, akan memungkinkan berlakunya huru-hara dan pemberontakan besar-besaran di kalangan orang Melayu sendiri.
Tetapi, sebaik UMNO sedia mengalah dan tunduk lentuk atau ketika pimpinannya sudah diambil alih oleh kelompok yang tidak berani melawan, ketika itulah laluan jadi terbuka untuk UMNO mudah dibubar atau diharamkan.
(Shahbudindotcom 08/04/2021)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/04/selagi-pimpinan-ada-sikap-melawan.html