Sekumpulan 12 Warga Filipina Seorang Warga Tempatan Disyaki Pengganas Ditangkap
Kumara Sabapatty
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun
KUALA LUMPUR – Seramai 12 warga Filipina dan seorang warga tempatan disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas berjaya ditangkap polis.
Bahagian Counter Terrorism cawangan Khas Bukit Aman dengan Kerjasama Cawangan Khas, Ibu Pejabat Kontinjen Sabah dan Unit 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkap kesemua 13 suspek dalam satu operasi pada 11 dan 12 Mac lalu di Sabah.
Operasi serbuan itu dilancarkan sekitar Semporna dan Tambunan yang membawa kepada kejayaan menangkap kesemua supek, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam kenyataannya hari ini.
Menurut beliau, kesemua ditangkap disyaki terlibat mengganggotai beberapa kumpulan Abu Sayyaf (ASG), Maute atau kumpulan Royal Sulu Force (RSF).
Mohamad Fuzi Harun berkata, ada dalam kalangan suspek yang ditangkap juga terlibat dalam memberi perlindungan kepada pengganas asing yang bersembunyi di Sabah.
“Tangkapan pertama pada 11 Mac lalu di Semporna melibatkan lima lelaki warga Filipina dan seorang warga tempatan berusia antara 40 hingga 60 tahun dan empat daripadanya disyaki terlibat dalam pertempuran bersama kumpulan penganas Maute di Bandar Marawi Filipina pada tahun 2017.
“Mereka turut terlibat memberi perlindungan kepada elemen elemen keganasan kumpulan Maute dan beberapa warga TImur Tengah yang bersembunyi di Sabah.
“Manakala dua lagi suspek yang ditangkap disyaki anggota RSF yang terlibat dalam serangan di Lahad Datu dan Semporna pada tahun 2013 selain merekrut anggota anggota baharu RSF dengan menjual kad keahlian kumpulan itu dalam kalangan warga Filipina yang menetap di Sabah,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Bagaimanapunm katanya, kedua-dua suspek berkenaan telah melarikan diri ke Selatan Filipina selepas kekalahan kumpulan RSF sebelum menyusup masuk ke Semporna pada 2 November 2018 untuk mengaktifkan kembali aktiviti RSF di Sabah.
Menurutnya, tangkapan kedua pula dilakukan polis pada 11 Mac lalu di Tambunan.
Kali ini, katanya, seramai lima lelaki dan seorang wanita Filipina berusia antara 23 hingga 63 tahun ditangkap dan salah seorang suspek bekerja sebagai buruh binaan dan disyaki anggota kumpulan Abu Sayyaf yang pernah terlibat dalam insiden serangan di Bandar Marawi, Filipina.
Tambah Mohamad Fuzi, suspek menyusup masuk ke Sabah pada Disember lalu bersama anggota kumpulannya bagi mengelak daripada operasi ketenteraan pihak berkuasa Filipina.
“Sementara itu, lima lagi ditangkap kerana terlibat dalam memberi perlindungan kepada elemen-elemen kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan kumpiulan pengganas Maute yang masih bebas.
“Manakala dalam tangkapan ketiga pada 12 Mac lalu di Tambunan juga melibatkan seorang lelaki Filipina berusia 39 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan ditangkap kerana memberi perlindungan kepada elemen elemen kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan Maute yang masih bebas.
“Dengan tangkapan berkenaan, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas yakin dapat mengesan dan memburu saki-baki anggota Abu Sayyaf dan Maute yang masih disyaki bersembunyi di Sabah,” ujarnya.
Kesemua mereka yang ditangkap disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA Kesalahan bverkaitan dengan keganasan, Akta 574 Kanun Keseksaan dan disiasat mengikut Prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
“Malah dalam operasi sama, seramai 10 warga Filipina yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah turut di tangkap dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,’ tegasnya lagi.- MalaysiaGazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/sekumpulan-12-warga-filipina-seorang.html