Sejarah Tercipta Kita Menang Di Laut China Selatan
Siti Fatimah
Berjaya manfaatkan imbangan ancaman 2 kuasa besar China, AS									  	 	   

		  			 			1.  ALHAMDULILLAH! Terkini khabar gembira buat seluruh rakyat Malaysia:  sejarah tercipta apabila para perwira kita baru sahaja menyempurnakan  misi ekplorasi di Blok ND2, Lala-1 di Laut China Selatan meski pun  diasak hebat kapal-kapal China Komunis sejak lebih lima bulan lalu.
2. Data  Marine Traffic menunjukkan bahawa kapal West Capella yang dikontrak  Petronas bagi ‘exploratory drilling’ telah menyempurnakan misi mereka di  Blok Lala-1, dua bulan selepas menyempurnakan misi sama di Blok ND1,  Arapaima-1 pada awal Mac 2020 yang lalu.
3. Meski  pun tidak didendang, kemenangan ini cukup bersejarah dan signifikan  dalam tiga konteks: pertama, ia membuktikan kejayaan kerjasama erat  angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasa  Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), dan juga Petronas dalam  mempertahankan kepentingan nasional dan kedaulatan kita di Laut China  Selatan.
4.  Kesepaduan antara TLDM, Maritim Malaysia, dan Petronas ini terbukti  melalui kerahan aset-aset yang saling melindungi kapal West Capella  seperti KD Jebat, KD Kelantan, KM Bagan Datuk, dan juga KA Bunga Mas  Lima.
5. Perlu  diingat, TLDM, Maritim Malaysia, dan Petronas terpaksa berhadapan dengan  China yang mengirim kapal raksasa sebesar 4,000-tan iaitu  Zhaoduan-class 5305, kapal pengawal pantai (CCG) Haijing 5202 dan 5203,  kapal pemusnah Type 052B Wuhan (169) untuk menghancurkan usaha kita di  kedua-dua Blok Arapaima-1 dan Lala-1 ini.

6. Kedua,  kejayaan ini cukup bersejarah kerana ia membuktikan bahawa kita berjaya  memanfaatkan imbangan ancaman (balance of threat) antara dua kuasa besar  iaitu China yang menceroboh dan mengganggu usaha eksplorasi kita dengan  Amerika Syarikat yang sememangnya ingin mengekalkan kepentingan mereka  di Indo-Pasifik.
7. Kita  jelas memanfaatkan imbangan ancaman (balance of threat) China dengan  Amerika Syarikat yang telah mengerahkan angkatan armada mereka iaitu  Kapal Penyerang Amfibia (LHA 6), USS America, kapal ‘guided-missile  cruiser’ USS Bunker Hill (CG52), ‘guided-missile destroyer’ USS  Barry-DDG 52 pada April, diikuti kapal Littoral Combat Ship USS  Montgomery (LCS 8) dan kapal ‘dry cargo’ USNS Cesar Chavez (T-AKE 14)  kelas Lewis dan Clark pada Mei.
8. Lebih  signifikan lagi, kita berjaya menyempurnakan misi ekplorasi di kedua-dua  blok ND1 (Arapaima-1) dan ND2 (Lala-1) ini dalam keadaan kita tidak  memusnahkan kepentingan ekonomi dan diplomatik kita dengan kedua-dua  Amerika dan China.
9. Wajib  untuk disedari bahawa dalam keadaan ekonomi kita secara signifikan  bergantung pada eksport dan pelaburan ke kedua-dua China dan Amerika  (sekitar RM140 bilion dengan China, hampir RM100 bilion dengan Amerika),  serta ketidaktentuan pasca-COVID-19, sempurnanya misi eksplorasi  Petronas di Laut China Selatan ini membuktikan bahawa kita telah berjaya  mempertahankan kedaulatan wilayah, kepentingan nasional serta prospek  geo-ekonomi kita.
10.  Kejayaan hari ini cukup signifikan untuk prospek tiga perkara: dari segi  perundangan antarabangsa, ia memberi impak signifikan dengan menguatkan  tuntutan Pentas Benua kita; dari segi eksplorasi di Laut China Selatan  pula, ia membuktikan bahawa Petronas benar-benar menyumbang secara  positif ke atas geopolitik dan geoekonomi kita, manakala buat angkatan  tentera kita pula ia memberikan pengalaman imbangan ancaman (Balance of  Threat) dan imbangan kuasa (Balance of Power) antara kuasa besar di  Indo-Pasifik.
11. Sesungguhnya, tarikh hari 12 Mei 2020 merupakan tarikh yang cukup bermakna dalam sejarah geopolitik dan geoekonomi kita.
Semoga Allah terus rahmatkan TLDM, Maritim Malaysia, dan Petronas: kalian perwira seluruh rakyat Malaysia!
Abdul Muein Abadi
Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/sejarah-tercipta-kita-menang-di-laut.html