Sejarah Panggung Wayang Di Kota Bharu
Filem ditayang di panggung wayang gambar atau pawagam menjadi sumber hiburan paling popular pada masa dahulu di seluruh negara, termasuk di Kota Bharu. Di Kota Bharu ada empat buah pawagam terkenal ialah Lido, Odeon, Rani dan Rex. Kesemua pawagam ini telah ditamatkan operasi
Pawagam di Kelantan lebih dikenali panggung. Maka nama pawagam di Kelantan dikenali Panggung Lido, Panggung Odeon, Panggung Rex dan Penggung Rani. Itu nama-nama panggung yang pernah menggamit kenangan peminat wayang di Kelantan. Di bandar lain di Kelantan pun ada juga penggung seperti di Selising (Pasir Putih), Tumpat dan Pasir Mas
Panggung wayang di Kelantan mula tidak mendapat sambutan setelah PAS memerintah Kelantan pada tahun 1990. Sebenarnya, tidak berlaku arahan untuk menutup operasi panggung-panggung itu, namun ia ditutup satu demi satu disebabkan tiada sambutan
Antara punca kurang sambutan ialah disebabkan ‘tekanan’ berterusan pihak kerajaan dan penyokong parti yang menggambarkan menonton wayang gambar di panggung seperti satu dosa dan perkara yang perlu dijauhi
Keadaan ini sebenarnya berlaku disebabkan wujud amalan tidak sihat di dalam panggung wayang melibatkan pasangan kekasih. Mereka pergi bukan tengok wayang, tetapi buat wayang
Biarpun perbuatan itu hanya dilakukan sebilangan kecil penonton, namun imej buruknya terpalit kepada semua orang sehingga sesiapa yang ingin menonton wayang dianggap ingin pergi buat maksiat. Imej tersebut, sedikit sebanyak menyebabkan orang tidak berminat untuk pergi menonton wayang di panggung. Tambahan pula ketika itu semakin banyak sumber hiburan melalui televisyen dan pita video mula terdapat di rumah-rumah.
Satu demi satu panggung di Kelantan ditamatkan operasi. Tapak panggung digantikan dengan bangunan baru. Antara bekas tapak panggung di Kota Bharu ialah Panggung Odeon kini menjadi tapak bangunan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Panggung Rani (pernah dijadikan tapak pasar raya, tetapi kini tempat urusniaga saham), Panggung Rex (Bangunan TNB) dan Panggung Lido kini menjadi tapak bangunan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia
Panggung Lido merupakan panggung terakhir beroperasi di Kota Bharu sehingga sekitar tahun 1996. Selepas itu ada panggung mini beroperasi di Bazar Buluh Kubu, namun tidak bertahan lama
Sekitar tahun 2016, heboh sebuah panggung wayang bakal dibina dan beroperasi di Kelantan, namun rancangan itu berkubur tanpa diteruskan. Ini bermakna Kelantan bebas panggung wayang gambar selama lebih 23 tahun
Sumber: https://bicaramentari.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.zukidin.com/2019/05/sejarah-panggung-wayang-di-kota-bharu.html