Sejarah Dilupakan Melayu Bangsa Yang Digeruni Di Samudera
Pada tahun 1247, seorang raja Melayu bernama Chandrabhanu Sri Dharmaraja dari kerajaan Tambralinga (sekarang - utara semenanjung Malaysia / selatan Thailand) menyerang Sri Lanka. Beliau berjaya menakluki bahagian Utara pulau (kawasan Jaffna sekarang). Chandrabhanu kemudian diganti oleh anak beliau, Savakanmaindan, yang mempertahankan takhta Jaffna itu hingga ke tahun 1270. [Sekiranya anda mencari peta bahagian utara Sri Lanka, anda akan menemui kawasan bernama Chavakacheri. Chavakacheri bermaksud penempatan (kacheri) Jawa (Chava). (Orang Sri Lanka dahulu merujuk kepada orang dari Nusantara sebagai Jawa.]
Insiden ini cukup signifikan dalam sejarah Nusantara kerana sebuah kerajaan Melayu menyerang dan menakluki kawasan yang begitu jauh (lebih dari 3000 km) dari tanah asal. Bukan mudah untuk belayar 3000km dengan segala bala tentera hampir 800 tahun yang lalu.
Insiden ini secara langsung mencerminkan kepakaran maritim dan keupayaan tentera laut orang Melayu zaman dahulu. Kejadian ini direkodkan dengan jelas di sejarah India dan Sri Lanka. Malangnya, kejayaan ini langsung tidak diceritakan dalam buku sejarah kita, tidak diajar di sekolah kita dan pasti, ramai penduduk Malaysia, termasuk orang Melayu sendiri, tidak tahu akan fakta ini.
Sekiranya anda membaca buku sejarah kita, terdapat banyak rujukan mengenai saudagar Arab, saudagar India, saudagar China, saudagar bermacam negara yang datang untuk berdagang di Kedah, Melaka, Pattani, Langkasuka di zaman kerajaan Melayu dahulu. Rakyat Malaysia juga diajar bagaimana Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun datang ke tanah kita dan mempengaruhi budaya tempatan.
Tetapi buku teks sejarah kita membisu mengenai pengembaraan orang Melayu ke rantau lain. Sejarah maritim rumpun Melayu tidak diceritakan. Masyarakat rumpun Melayu dah pandai belayar lebih 2000 tahun yang dulu. Sekiranya anda membaca sejarah India, Sri Lanka, Arab dan China – saudagar dan pedagang Melayu dah lama menjalankan perniagaan di negara-negara tersebut.
Seawal 1000 tahun yang lalu, pedagang Melayu berlayar hingga ke semenanjung Arab. Terdapat banyak rujukan di banyak pelabuhan India lama mengenai "pedagang Melayu dengan jong mereka" . Bahasa Melayu menjadi lingua franca rantau ini - dari Teluk Bengal ke kepulauan Nicobar hingga ke Vietnam and Papua, bahasa Melayu boleh digunakan pada masa dulu.
Pelaut Melayu telah belayar dan menetap di pelbagai pulau dan wilayah di lautan India (Madagascar, Chagos, Seychelles, Sri Lanka, India, Andaman & Nicobar, Maldives, Mauritius, kepulauan Comoros, Zanzibar) lebih dari 1500 tahun yang lalu – lama sebelum Orang Eropah mula belayar di perairan ini.
Buku sejarah kita banyak menceritakan tentang orang luar yang datang untuk berniaga di sini ... namun tidak menceritakan mengenai pedagang dan pelaut Melayu yang berlayar jauh di zaman dulu. Contoh yang paling baik yang langsung tidak disebut dalam sejarah kita ialah bagaimana masyarakat rumpun Melayu sampai ke Madagascar hampir 1500 tahun yang lalu (semasa zaman kerajaan Sri Vijaya). Bahasa Malagasy yang digunakan di Madagascar hari ini adalah bahasa Austronesian, iaitu rumpun bahasa yang sama dengan bahasa Melayu.
Mungkin ramai di sini yang pernah dengar mengenai kerajaan Kedah Tua. Kerajaan kuno ini telah wujud hampir 2500 tahun yang lepas. Masyarakat Melayu di zaman kerajaan Kedah Tua merupakan masyarakat yang sofistikated. Mereka mahir dalam industri melebur besi. Bukan mudah untuk melebur bijih besi – kerana kita memerlukan suhu sekitar 1538 darjah Celsius. Bijih besi yang dilebur di Kedah Tua diekspot ke India dan Arab di mana ianya digunakan untuk membuat senjata dan peralatan lain. Dan semua ini berlaku di antara 1000 – 1500 tahun yang lepas – pada masa itu Melaka belum wujud lagi. [Sultan Kedah pertama memeluk agama Islam ialah Sultan Mudzaffar Shah I pada tahun 1136, hampir 300 tahun sebelum Parameswara tiba di Melaka]
Kebanyakkan orang Malaysia, termasuk orang Melayu, terutama generasi muda, tidak tahu mengenai sejarah mereka sendiri. Cara sejarah diajar di sekolah seolah-olah sejarah orang Melayu ini hanya bermula dari kesultanan Melaka. Anak anak kita diajar seolah olah masyarakat di tanah air ini adalah masyarakat pasif yang sentiasa diserang and ditakluk oleh negeri barat bermula dari Portugis hingga ke Inggeris. Memang buku sejarah kita ada menceritakan mengenai kesultanan Melayu dan zaman kegemilangan Melaka. Tetapi ini merupakan hanya sebahagian kecil dari sejarah tanah and rumpun Melayu.
Orang Melayu perlu tahu akan kegemilangan kerajaan Melayu zaman zaman dulu dan bukan hanya terhad kepada Melaka. Mereka perlu tahu akan kebolehan perdagangan, pengembaraan serta kekuatan tentera laut kerajaan Melayu lama yang menyerlah dari zaman dahulu lagi.
Masyarakat yang tahu akan sejarah mereka sendiri serta faham sejarah kegemilangan rumpun mereka akan menjadi masyarakat yang lebih konfiden dan berdaya maju. Dan masyarakat yang faham sejarah kegemilangan mereka akan menjadi masyarakat yang beraspirasi tinggi (because you have done it before, you can do it again).
Tuduhan Melayu itu malas dan tidak dinamik adalah langsung tidak berasas apabila kita melihat sejarah rantau ini sepanjang 2000 tahun yang lepas.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.krissmerah.com/2020/05/sejarah-dilupakan-melayu-bangsa-yang.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+krissmerah+(Kriss+Merah.com+(Blogger+Melayu))