Sedekah Rm60 Jasa Uncle Kentang Dibalas Dengan 500kg Ikan
“DIA pernah membantu saya ketika susah, jadi ini masanya saya membalas kebaikannya,” kata pemborong ikan, yang hanya mahu dikenali sebagai Haiqal selepas menyumbang 500 kilogram (kg) ikan kepada aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng.
Hasrat Haiqal untuk menyumbang ikan itu dikongsikan Kuan atau lebih dikenali dengan gelaran Uncle Kentang menerusi Facebook (FB) miliknya, pagi semalam.
Bercerita lanjut, Haiqal yang menetap di Bagan Serai, Perak berkata, dia mengalami masalah kewangan ketika awal tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan hilang mata pencarian sebagai ejen jualan langsung memandangkan tidak ramai yang mahu membeli produk jualannya ketika itu.
–– ADVERTISEMENT ––
Disebabkan buntu, dia cuba meminta pertolongan daripada Kuan dengan menghantar mesej menerusi kiriman Whatsapp.
“Ketika itu, saya lihat ramai cuba meminta bantuan daripada Uncle Kentang tetapi ada mesej tidak sempat dibalas olehnya mungkin kerana bilangannya yang terlalu banyak.
“Namun, saya tetap mencuba nasib dan Alhamdulillah, dia membalas kiriman Whatsapp saya.
“Selepas menceritakan masalah, dia memindahkan RM60 ke akaun saya tanpa banyak soal dan wang itu digunakan untuk membeli barangan keperluan antaranya beras,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Haiqal berkata, tidak lama selepas itu, dia ditawarkan peluang bekerja sebagai pemborong ikan oleh rakannya.
Katanya, sejak itu, kehidupannya sekeluarga kembali stabil dan kini, dia mahu membalas jasa baik Kuan dengan rezeki diperolehnya.
“Nilai ikan itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan pertolongannya ketika saya susah.
“Jadi, saya nekad menyumbang kerana tahu Uncle Kentang akan sedekahkan ikan diterima kepada mereka yang memerlukan.
“Sekurang-kurangnya, ramai yang akan menerima manfaat dan sedekah itu dapat dipanjangkan kepada orang lain,” katanya.
Sementara itu, Kuan berkata, dia dihubungi Haiqal kira-kira 9 pagi semalam dan terkejut selepas diberitahu lelaki berkenaan mahu menyumbang ikan dalam kuantiti yang banyak kepadanya.
“Pagi semalam, saya menerima panggilan dan di dalam telefon bimbit, tertera nama Covid Bagan Serai.
“Rupanya, panggilan itu datangnya daripada seorang lelaki yang pernah saya bantu ketika PKP lalu.
“Dia bukan hanya mengucapkan terima kasih tetapi turut menyatakan hasrat menyumbang 500 KG ikan kepada saya hanya kerana menolongnya ketika susah. Kata-katanya itu membuatkan saya tersentuh hingga menangis,” katanya.
Menurut Kuan, dia bercadang untuk berkongsi ikan yang akan diterimanya itu dengan mereka yang memerlukan.
“Saya akan bungkus ikan itu nanti dan sedekahkan supaya ramai dapat merasa.
“Memang itu niat saya dan perkongsian hantaran di FB salah satu cara untuk memberi mesej mengenai kuasa sedekah yang tentunya tidak akan membuatkan seseorang jatuh miskin,” katanya.
HM
The post Sedekah RM60, jasa Uncle Kentang dibalas dengan 500kg ikan appeared first on My KMU NeT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2020/07/03/sedekah-rm60-jasa-uncle-kentang-dibalas-dengan-500kg-ikan/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=sedekah-rm60-jasa-uncle-kentang-dibalas-dengan-500kg-ikan