Seberangjaya Pati Serbu Saat Akhir Program Back For Good
Perkarangan Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pulau Pinang dipenuhi oleh ratusan warganegara asing yang hadir untuk mengikuti program Back For Good (B4G) untuk pulang ke negara asal tanpa dikenakan tindakan undang-undang.
Program yang bermula pada 1 Ogos lalu kurang mendapat perhatian dan seperti dijangka warganegara asing terbabit menunggu di saat-saat akhir untuk hadir mengikuti program yang diadakan. Mereka sanggup berbaris panjang sementara menunggu nombor giliran dipanggil.
Menurut Pengarah Imigresen Negeri Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud berkata,"Statistik menunjukan seramai 9678 orang warganegara asing telah mendaftar di JIM Pulau Pinang bermula 1 Ogos hingga 22 Disember 2019".
"Daripada jumlah tersebut 7268 orang adalah lelaki manakala 2410 orang adalah wanita daripada 11 buah negara dengan warga Indonesia mencatatkan bilangan teramai daripada mereka yang hadir".
Menurutnya lagi,"Daripada jumlah yang terlibat, JIM Pulau Pinang telah berjaya membuat kutipan hasil sebanyak hampir 7 juta ringgit pada program terbabit hingga 22 Disember 2019".
Ujarnya lagi," JIM Pulau Pinang akan melayani mereka yang terbabit dengan sebaik-baiknya bagi membolehkan mereka dapat pulang ke negara asal. Namun mereka juga harus bersabar memandangkan jumlah yang hadir adalah tinggi dan setiap proses yang dijalankan adalah berdasarkan prosedur dan arahan semasa".
Program yang bermula pada 1 Ogos lalu itu akan tamat pada 31 Disember 2019. Pada program yang diadakan itu, mana-mana warganegara asing yang ingin pulang ke negara asal akan dikecualikan daripada tindakan undang-undang.
Tanpa melalui pihak ketiga, mereka yang layak hanya perlu hadir ke pejabat imigresen dengan membawa dokumen perjalanan yang sah beserta tiket pulang untuk direkodkan dan disenarai hitam. Setiap seorang akan dikenakan bayaran sebanyak RM700 untuk kompaun dan Pas Khas.
Kredit : JIM PULAU PINANG
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.penangkini.com/2019/12/seberangjaya-pati-serbu-saat-akhir.html