Sbdj Siri 43 Buaya Jadi Jadian
Musim tengkujuh pun tiba. Langit di Kampung Mandi Upeh sentiasa kelihatan mendung dan setiap hari hujan turun. Sungai kecil yang merentang di tengah-tengah kampung melimpahkan airnya hingga ke paras tebing.
Dan sejak pulang dari Tanjung Malim, datuk tidak kemana-mana. Dia banyak menghabiskan masanya di ladang getah.
Sekali-sekala dia ke hutan melihat jerat pelanduknya sama ada mengena atau tidak.
Sepanjang musim tengkujuh kesihatan datuk tidak begitu baik. Dia selalu diserang sakit lelah dan lemah-lemah badan.
Walaupun begitu, datuk tidak pernah lupa melakukan senaman harimau dan mandi embun pada setiap pagi.
Dan amalan meminum air dingin satu tempurung yang sudah diembun selama satu malam tetap diteruskannya.
Menurut datuk air dingin itu mesti diminum sebelum sarapan pagi. Khasiatnya, dapat melancarkan perjalanan darah serta membersihkan perut.
Air dingin itu juga dapat menegangkan kulit, bagi orang yang mengamalkannya akan kelihatan muda.
Datuk juga memberitahu saya, tempurung yang dijadikan bekas air dingin itu dipilih dari kelapa masak yang gugur sendiri.
Tempurung dari kelapa itu dibelah serta di jemur hingga isinya lekang sendiri.
Bahagian tempurung yang tidak digunakan itu ditanam di pangkal pokok kelapa itu.
Tempurung yang dijadikan bekas minuman itu ialah bahagian bawah. Bila sudah cukup kering, tempurung itu dibersihkan serta dikilatkan dengan serpihan kaca dan di jemur kembali selama tujuh hari berturut-turut. Kemudian baru dijadikan bekas minuman.
Setiap kali datuk mahu meminum air dingin dalam tempurung itu, dia mesti membaca Al-Fatihah sebanyak tujuh kali dalam masa senafas.
Dan saya, hingga kini tidak dapat mengamalkan petua-petua tersebut disebabkan oleh beberapa hal yang tertentu.
Pada suatu pagi, selepas datuk melakukan senaman dia terus berehat di ruang rumah. Ketika itu nenek menghampirinya.
"Bagaimana? Bila kita nak pergi ke Tanjung Ara?", soal nenek.
"Untuk apa?"
"Dah lupa? Jemputan kahwin anak Alang Botak."
"Tak lupa. Bukankah jemputan tu esok, esoklah kita pergi.”
"Awak ni merepek. Bukankah saya dengan Alang Botak itu adik-beradik, kami sepupu.
"Tidak baik pergi kenduri-kendara rumah adik-beradik untuk makan aje. Kita harus pergi awal, boleh tolong tegakkan balai, siapkan tempat orang makan”, nenek mula bersyarah di hadapan datuk.
Saya lihat datuk tersenyum dan mengangkat ke dua belah tangannya ke atas, macam komunis menyerah diri pada pasukan askar Melayu.
"Saya salah. Awak betul, kerana itu saya ikut cakap awak”, kata datuk sambil berjenaka.
Nenek ketawa keciI. Begitulah sikap datuk dengan nenek. Saling bertolak ansur.
Datuk tidak segan-silu menurut kata nenek, kalau kata-kata itu baik dan benar.
Dan datuk akan menentang berhabis-habisan kalau pendapat atau fikiran nenek tidak menguntungkan.
Mereka bertengkar dan bermasam muka untuk mencari kebenaran bagi mencipta suasana rumah tangga yang kekal tanpa mahu mencari perkelahian yang mengakibatkan rumahtangga berada dalam kegentingan yang berakhir pada sebuah jurang pemisahan.
Barangkali inilah rahsia kebahagian dan kedamaian rumahtangga datuk dan nenek.
Dan saya sering bertanya dalam diri saya, apakah dalam hidup saya kelak, saya akan menemui seorang isteri sebaik dan semulia hati nenek?
Apakah saya dapat menjadi lelaki seperti datuk yang sanggup menghilangkan rasa ego seorang suami di mata seorang isteri demi kerukunan rumah tangga.
"Entahlah. Begini saja, kita pergi sejam lagi. Sementara itu eloklah awak berkemas, bawalah gula barang sekati dua, kelapa sepuluh atau dua puluh biji dan pisang dua tiga tandan”, kata datuk.
Nenek bagaikan terkejut.
"Awak ni bergurau atau cakap betul-betul”, tanya nenek sambiI mengerutkan keningnya. Datuk terus mempamerkan giginya.
"Saya cakap betul, kita tolong mereka dengan apa yang ada pada kita.”
"Nak bawa barang-barang tu dengan bas? Susah jadinya. Itulah ada kereta awak tak mahu baiki, sekarang siapa susah”, rungut nenek.
"Sama-sama susah”, jawab datuk.
Nenek dan saya terus ketawa. Bila ketawa saya dan nenek berakhir, datuk masih lagi tersengih.
"Begini saja. Awak dengan Tamar pergi naik bas dulu, barang-barang tu biar saya bawa kemudian, saya juga nak bawa kambing untuk Alang Botak.”
"Ini dah cukup baik”, balas nenek yang kemudian menggesa saya menukar pakaian.
Saya tukar pakaian dan nenek terus mengemaskan pakaian lalu dimasukkan ke dalam beg rotan empat segi.
Saya diberi tugas tertentu oleh nenek iaitu memikul beras sebanyak empat gantang yang diisikan dalam guni gandum.
Bagi nenek, beras empat gantang itu sebagai tanda buah tangan untuk keluarganya di Tanjung Ara.
"Bila awak nak bertolak?", soal nenek pada datuk di kepala tangga.
Datuk menggigit bibir sambil memetik ibu jari kirinya. Dan sepasang mata datuk tertumpu ke arah anak bukit yang letaknya tidak jauh dari rumah.
"Awak jalanlah dulu, saya tetap sampai”, suara datuk penuh keyakinan.
Saya dan nenek pun berangkat dari rumah.
Ketika berada dalam perut bas, hati saya cukup gembira kerana nenek tidak putus-putus menjamu saya dengan kuih-kuih yang dibelinya di perhentian bas. Apa saja yang saya minta nenek tunaikan.
Nenek saya lihat cukup gembira sekali, maklumlah dia mahu bertemu dengan kaum keluarganya di Tanjung Ara.
Dalam perut bas itu juga, pertama kali nenek membuka rahsia asal keturunannya.
Menurut nenek, keturunannya berasal dari Bugis yang berhijrah ke Johor, dari Johor berpindah ke lembah Sungai Kelang, Selangor, yang kemudian terlibat dalam peperangan saudara di Selangor.
Dari Selangor mereka berhijrah ke Perak membantu Sultan Muzaffar Shah yang bersengketa dengan adiknya.
Sultan Muzaffar Shah yang di bantu oleh orang-orang Bugis menang, lalu ditabalkan jadi Sultan Perak.
Salah seorang keluarga nenek menjadi ayam tambatan pada Sultan Perak pada masa itu. Sayangnya nenek tidak menyatakan pada saya siapa nama keluarganya yang menjadi pahlawan terbilang itu.
"Kaum kerabat nenek masih terdapat di Johor terutama di daerah Batu Pahat. Di Selangor pula di kawasan Jeram dan Permatang.
"Tetapi moyang nenek memilih Tanjung Ara sebagai tempat bernaung, setelah berperahu dari Kuala Dinding ke sini”, kata nenek dengan megah.
Saya anggukkan kepala kerana saya tahu, tidak mungkin saya dapat menyusur jejak-jejak keturunan nenek yang sudah begitu lama.
Bas yang kami naiki sampai di pekan kecil Pengkalan Bharu. Dari situ, saya dan nenek terpaksa berjalan kaki melintasi satu kawasan lapang yang dipenuhi dengan pokok kemunting (kemuning) serta rerumput yang berdaun merah.
Kata nenek, kawasan lapang itu disebut Padang Antah Berantah dan menjadi medan pertempuran angkatan Raja Shamsul Baharin menentang angkatan Raja Champa (Kemboja).
Dalam pertempuran itu Raja Shamsul Baharin memang, seluruh Padang Antah Berantah dipenuhi dengan darah-darah pahlawan Champa.
Kesan daripada peperangan itu, rumput-rumput yang tumbuh di situ jadi merah begitu juga dengan pasirnya (sekarang kawasan tersebut sudah ditanam dengan pokok kelapa).
Saya tidak dapat memastikan sama ada cerita itu benar atau tidak. Kerana nenek hanya memperolehi cerita itu dari mulut ke mulut cuma.
Memikul empat gantang beras dengan berjalan kaki sejauh hampir dua batu memang memenatkan, badan saya jadi berpeluh.
Bagi menghilangkan rasa penat dan bosan pada diri saya, nenek terus bercerita kisah-kisah lalu yang menggerunkan, dan kadang-kadang melucukan. Saya jadi terhibur di bawah panahan matahari yang amat terik.
Ketika saya dan nenek mahu menyeberang di atas jambatan, saya terlihat pokok keduduk dan petai cina di sebelah kiri bergoyang-goyang.
Nenek suruh saya berhenti. Saya segera menoleh ke kiri, saya dapati datuk berdiri di situ menarik seekor kambing. Dua tandan pisang dan dua puluh biji kelapa berada di sebelah kanan. Manakala di tangannya tergantung bungkusan gula.
"Cepat awak sampai”, kata nenek.
"Kawan kita menghantarnya”, jawab datuk.
Ketika itu juga saya terlihat ekor harimau dari celah-celah rumput keduduk dan petai cina.
"Baliklah”, kata datuk dan ekor harimau itu hilang dari penglihatan saya. Saya faham apa yang sudah berlaku.
"Begini. Awak tunggu di sini, biar saya jalan dulu. Kemudian saya suruh anak Alang Botak mengambil barang yang awak bawa ini dengan basikal”, nenek mengeluarkan cadangan.
Datuk termenung seenak, bila senyum berakhir dia kerutkan kening luasnya sambil merenung ke arah rumah Alang Botak yang berada di seberang sana.
"Kita pergi bersama”, balas datuk.
"Barang-barang ni macam mana?"
"Kita tinggalkan di sini dulu, sementara menanti anak Alang Botak mengambilnya."
"Nanti hilang pula.”
"Ah, tak usah takutlah tidak ada siapa yang mahu mencurinya”, jawab datuk.
Nenek terdiam. Beberapa saat kemudian kami pun melangkah serentak. Alang Botak menyambut kami dengan penuh keriangan.
Alang Botak dengan datuk berpeluk-pelukan. Ketika berpeluk-pelukan itulah datuk sempat membisikkan sesuatu ke telinga Alang Botak.
Bila selesai berpeluk, Alang Botak terus memerintahkan salah seorang anaknya supaya mengambil barang-barang di kepala jambatan.
Dengan di temani oleh Alang Botak, datuk berkesempatan menemui tukang-tukang masak dibelakang rumah, menemui tukang buat balai di hadapan rumah serta menemui orang yang sedang menegakkan tiang pelantar tempat meletakkan gelas dan balang air.
Semuanya bekerja dengan tekun di bawah semangat gotong-royong.
Kerana datuk memang pandai dan tahu dalam hal masak-memasak, datuk mencampurkan dirinya dengan tukang-tukang masak di kampung itu.
Saya diarah oleh datuk untuk memotong bawang dan halia. Berpeluh dahi dan meleleh air mata saya membuat kerja-kerja itu.
Sedang kami asyik dengan tugas-tugas yang dijalankan, kami dikejutkan dengan suara jeritan dari arah tebing sungai. Semua orang yang berada dibahagian belakang rumah segera bangun.
"Agaknya ada orang ditangkap buaya”, kata seorang lelaki berkulit hitam yang berdiri di sebelah datuk.
Belum pun sempat datuk mengajukan pertanyaan pada lelaki itu, seorang perempuan setengah umur berlari ke arah kami.
"Tolong, tolong anak saya disambar buaya”, kata perempuan itu dengan wajah cemas. Dia mula menangis, rambutnya kelihatan mengerbang.
"Di mana?" tanya datuk.
"Di tepi sungai.”
"Mari “, kata datuk dan orang-orang yang berada di situ segera mengikut datuk menuju ke tebing sungai.
Bila sampai di tebing sungai, orang ramai sudah pun berkumpul di situ.
Ada yang membawa parang. Ada yang membawa lembing dan senapang kampung, masing-masing mahu membunuh buaya, tetapi buaya yang mahu dibunuh tidak kelihatan.
Datuk tidak mempedulikan mereka yang sedang marah itu. Datuk terus duduk bersimpuh di tepi tebing.
Datuk mengambil segenggam tanah lalu dicampakkannya ke dalam Sungai Tanjung Ara yang mengalir tenang.
Di tempat tanah itu jatuh, air sungai kelihatan berbuih macam air yang sedang mendidih.
Tiba-tiba seekor buaya muncul, bagaikan kilat buaya itu melibaskan ekornya ke arah datuk. Nasib baik datuk sempat mengelak dan buaya itu terus menyelam.
Belum pun sempat datuk duduk kembali, buaya itu muncul semula di permukaan sungai lalu melibaskan ekornya yang panjang itu ke tebing sungai.
Libasan dari ekor buaya itu mengenai salah seorang penduduk Kampung Tanjung Ara yang berdiri dekat datuk.
Lelaki malang itu terhumban ke dalam air dan bagaikan kilat rahang buaya itu menyambut tubuh badan lelaki itu, lalu lelaki dan buaya itu ghaib dari permukaan sungai mula bergelombang.
Orang ramai yang tadi begitu ghairah mahu membunuh buaya jadi terpaku dan setengah daripada mereka berundur jauh dari tebing sungai.
Datuk mula kelihatan resah tidak menentu. Bajunya mula dibasahi peluh dan mukanya kelihatan merah padam dipanah cahaya matahari pukul tiga petang yang cukup terik.
Saya perhatikan datuk bagaikan hilang matlamat dan keyakinan pada diri sendiri.
Dia lalu merenung ke tebing seberang sana yang penuh dengan tumbuhan pokok-pokok keladi dan mengkuang liar yang hujung daunnya mencecah permukaan air sungai.
Dalam saat-saat yang amat genting itu, buaya ganas tadi muncul sambil menjulang mangsanya tinggi dari paras permukaan air sungai.
Tangan dan kaki lelaki itu terkapai-kapai macam katak puru di mulut ulat.
Gigi-gigi buaya yang tajam itu terus terbenam di badan lelaki itu. Darah kelihatan memancut ke luar.
Datuk saya lihat sudah hilang sabarnya. Datuk terus bertempik dengan sekuat hatinya sambil terjun ke dalam sungai. Datuk terus memeluk badan buaya itu dengan sekuat hatinya.
Dengan menggunakan jari kelingkingnya datuk menujah mata buaya itu. Buaya itu terus mengelupar dan air sungai terus bergelombang.
Buaya itu terus menghempaskan badannya. Tetapi pelukan datuk tetap kemas dan jarinya terus menujah mata buaya.
Mungkin kerana terasa amat sakit, buaya itu membuka rahangnya hingga badan lelaki itu terlepas darinya.
Datuk berhenti memeluk buaya itu lalu menyambar badan lelaki itu dan terus dibawa ke tepi tebing. Dan buaya ganas itu terus hilang di permukaan air sungai.
Orang-orang kampung yang berada di situ terus menyambut batang tubuh lelaki tersebut dan dibaringkan ke atas tanah.
Datuk pun mengesat darah di badan lelaki malang itu. Saya di suruh oleh datuk memetik dedaun hijau dari pokok pulai penipu bukit untuk dijadikan ubat penahan darah.
Lelaki itupun sedar dari pengsan. Dia tidak berdaya mahu bangun. Cepat-cepat datuk membetulkan urat belikat dan urat tangan lelaki itu.
Datuk meminta orang-orang kampung yang mengerumun lelaki malang itu supaya beredar agak jauh sedikit. Cakap datuk mereka patuhi.
Seluruh badan lelaki itu datuk raba dengan belakang tangan.
Semua biji mata orang yang berdiri di tepi tebing bagaikan terbeliak bila mereka melihat air Sungai Tanjung Ara bergelombang dan keruh.
Pokok-pokok keladi dan mengkuang kelihatan bergoyang-goyang kembali.
Bila gelombang air sungai berakhir, dua ekor buaya timbul di permukaan air, berpusing-pusing di tengah-tengah sungai sambil melibas-libaskan ekor masing-masing pada air Sungai Tanjung Ara.
Percikan air itu menjulang ke udara dan jatuh kembali atas permukaan air sungai.
Pancaran matahari yang keras terus menikam pada gelombang air sungai akibat dari libasan ekor buaya itu.
Pancaran tikaman matahari itu
menimbulkan satu cahaya yang kilau kemilau, bagaikan cahaya berlian di suluh dengan lampu picit.
Orang-orang kampung terpegun melihat kelakuan dua ekor buaya itu. Tanpa di duga, dengan cara yang mendadak sekali, kedua-dua ekor buaya itu meluru ke tepi lalu memanjat tebing sungai.
“Berundur “, kata datuk pada orang ramai.
Mereka pun berundur dan kedua-dua buaya itu terus merangkak, sambil memanggungkan kepalanya melihat ke kiri dan ke kanan, macam biawak mahu menangkap anak ayam. Datuk masih lagi kelihatan resah gelisah.
"Biarkan orang itu di situ, saya mahu umpankan buaya”, suara datuk keras melarang orang yang mahu mengangkat lelaki malang itu ke tempat lain.
Sikap datuk itu menimbulkan kemarahan seorang lelaki lain yang berbadan tegap.
Melihatkan bentuk tubuh lelaki itu, ternyata dia bukanlah orang Melayu tulen. Dalam badannya itu mengalir darah campuran Melayu dan Pakistan. ltulah tanggapan saya pada lelaki itu.
"Awak mahu memperjudikan nyawa orang. Kalau awak tidak ubah anak saudara saya ni ke tempat lain, awak saya tembak sampai mati”, lelaki yang naik darah itu menghalakan muncung senapang kampung ke arah datuk. Datuk tersenyum.
"Saya tetap patuh dengan apa yang saya kata. Kalau awak nak berkeras saya bersedia menerimanya”, jawab datuk.
"Binatang”, jerit lelaki itu sambil menarik pemetik senapang.
Lelaki itu jadi cemas, senapangnya tidak mengeluarkan sebarang bunyi, kecuali muncung senapangnya berasap.
"Awak berundur dari sini, sebelum saya bertindak”, kata datuk sambil mengesat peluh di pangkal kening kirinya dengan tapak tangan kanan.
Lelaki itu bagaikan terpukau, menurut saja perintah datuk.
Kedua-dua ekor buaya itu terus mara ke arah lelaki malang yang terkapar di atas tanah. Air mata lelaki malang itu meleleh dipipi. Datuk terus memberi semangat padanya supaya bertenang.
Datuk tidak akan menyerahkan tubuh badannya untuk dikoyak-koyak oleh buaya ganas dengan begitu saja.
Lebih kurang dalam jarak sepuluh kaki kedua-dua buaya itu mahu menghampiri lelaki malang itu, datuk segera melompat dan berdiri di tengah-tengah.
Melihat perbuatan datuk itu, kedua-dua ekor buaya itu jadi marah lalu membuka mulut dengan seluas-Iuasnya. Datuk sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Kedua belah tangan datuk terus memeluk tubuh, matanya tepat menikam ke arah kedua-dua ekor mata buaya itu.
Tumit kiri datuk tekankan ke bumi hingga terbenam separas buku lali. Datuk membongkok lalu menghentakkan pangkal siku kanan ke tanah.
Datuk terus duduk mencangkung dengan menekan kepala lutut kiri ke bumi dan kepala lutut kanannya bertemu dengan dagu.
Kedua-dua ekor buaya itu merapatkan kembali mulutnya dan cuba mahu merangkak, ternyata buaya itu tidak boleh bergerak. Datuk sudah pun mengunci sendi-sendi kaki buaya itu.
"Tutup mulut kamu”, saya terdengar suara datuk dan kedua-dua ekor buaya itu merapatkan mulutnya.
Datuk segera bangun sambil memeluk tubuh, kedua belah kakinya di kangkangnya sedikit.
"Sekarang kau kembali ke lubuk kamu dan pulangkan mayat anak cucu aku yang kau binasakan itu”, kata datuk dengan lantang.
Datuk terus melompat setinggi empat kaki dari paras bumi. Bila kaki datuk menyentuh bumi, kedua-dua ekor buaya itu masih terpukau lagi ditempatnya.
Datuk lalu memerintahkan orang-orang kampung itu mengusung lelaki malang ke rumahnya.
Perintah datuk segera dipatuhi. Datuk kembali berdiri di hadapan kedua-dua ekor buaya itu.
"Pulang, kataku pulang”, sergah datuk lagi dan buaya-buaya itu bagaikan baru tersedar dari tidur.
Segera berpusing lalu terjun ke dalam sungai dan air sungai kembali bergelombang yang airnya memukul tebing.
Tanah tebing yang tidak kuat terus runtuh ke dalam sungai dan menimbulkan buih-buih yang kecil sebelum bersatu dengan air sungai.
Matahari yang sejak tadi bersinar dengan terik, mula beransur redup. Gumpalan awan hitam yang tebal mula melindungi matahari.
Orang-orang kampung yang tadi begitu ramai berdiri di tebing mula beransur kurang. Kebanyakan daripada mereka pergi ke rumah lelaki yang malang itu.
Angin pun mula bertiup menggoyangkan dedaun pokok di bibir tebing. Datuk membuka baju. Baju itu diikatkan ke pinggangnya.
Datuk duduk bersila di tepi tebing dengan kedua belah tangannya terletak di atas kedua tempurung lutut.
Datuk bertafakur di situ sambil membaca sesuatu. Datuk berdiri tanpa membuka tangan yang memeluk tubuhnya.
"Pulangkan cucuku”, kata datuk.
Serentak dengan itu, seekor buaya timbul dan di muncungnya terpanggang tubuh seorang kanak-kanak lelaki dalam usia empat belas tahun.
Buaya itu meletakkan tubuh budak lelaki yang sudah menjadi mayat itu di bibir tebing.
Cepat-cepat datuk mengambil mayat budak lelaki itu, lalu di serahkan pada orang-orang kampung yang masih berada di situ.
Mereka pun membawa mayat budak lelaki itu ke rumah ibunya. Dan buaya yang menyerahkan mayat budak itu terus hilang dari penglihatan saya dan datuk.
Sebagai tanda yang tugasnya sudah selesai, lagi sekali datuk mengepal tanah dan mencampakkan ke dalam sungai.
Bila tanah itu bertemu dengan air sungai, dengan sekelip mata saja timbul berpuluh-puluh ekor buaya di permukaan air Sungai Tanjung Ara.
Buaya-buaya itu mempamerkan badan masing-masing sambil melibas-libaskan ekornya pada permukaan air sungai.
Melihat keadaan yang ganjil itu, wajah datuk segera berubah menjadi cemas tidak menentu. Dia merenung muka saya.
"Sebenarnya, ada orang tertentu yang menaikkan semangat buaya itu supaya menjadi ganas”, kata datuk sambil menarik tangan saya pulang ke rumah Alang Botak.
Petang itu juga mayat budak lelaki yang jadi korban buaya dikebumikan dan lelaki malang itu terus menerima rawatan dari datuk.
Sebelum menjelang waktu Maghrib lelaki malang itu kembali sihat dan terus membantu kerja-kerja kenduri-kenduri di rumah Alang Botak.
Sepanjang malam itu orang-orang yang berada di rumah Alang terus memperkatakan tentang peristiwa yang berlaku pada sebelah siang tadi.
Sesungguhnya, peristiwa yang terjadi itu mencatatkan kemeriahan suasana kenduri di rumah Alang Botak yang kemuncaknya akan berlangsung pada esoknya.
Bagi menjaga keselamatan diri orang ramai, pengumuman segera dikeluarkan oleh ketua kampung, yang menasihatkan orang-orang kampung supaya jangan mandi di sungai.
Malah, anak lelaki Alang Botak yang bakal jadi raja sehari itu dilarang sama sekali melintas di atas jambatan, begitu juga dengan pihak pengantin perempuan.
Hari itu, adalah kemuncak segala kemeriahan di rumah Alang Botak. Pagi-pagi rumahnya sudah dikunjungi orang ramai.
Kira-kira pukul sepuluh pagi, macam-macam permainan diadakan di balai yang dimulai dengan silat, tarian zapin dan permainan dabus.
Kira-kira pukul dua belas tengahari, kampung kecil itu menjadi gempar kerana ada orang yang mengingkari pesanan ketua kampung, akibatnya dua orang sudah menjadi mangsa buaya. Pukul satu tepat, tiga orang lagi menjadi korban buaya.
Buaya-buaya di Sungai Tanjung Ara mula mengamuk. Siapa saja yang berdiri di tebing akan terus di libas oleh buaya-buaya itu dengan ekornya.
Datuk sudah tidak mampu mengatasi masalah itu. Dia mengaku, ilmu dunia yang ada pada dirinya tidak boleh mengalahkan buaya-buaya tersebut.
Dengan bantuan orang-orang kampung, tebing sungai itu lalu dipagar dengan kawat berduri.
Apa yang terjadi tidak mengganggu-gugat rancangan yang sudah di atur. Acara persandingan terus dijalankan.
Bila acara persandingan itu tamat, satu mesyuarat kecil telah diadakan di halaman rumah Alang Botak untuk mencari jalan bagi mengatasi masalah yang sedang di hadapi.
Dalam mesyuarat itu orang-orang kampung meminta datuk menggunakan kebolehannya untuk menghalau buaya-buaya ganas tersebut.
Datuk tidak dapat memenuhi permintaan mereka. Menurut datuk, kebolehan yang ada pada dirinya masih belum cukup untuk menjinakkan buaya-buaya ganas itu.
Kejujuran yang datuk tunjukkan tidak dapat diterima oleh orang-orang kampung.
"Kamu sudah membuktikan di depan mata kami, usahlah kamu berdalih. Agaknya kamu yang memuja buaya-buaya tu supaya menjadi ganas.
"Sebelum kamu datang buaya-buaya itu tidak mengacau kami”, seorang lebai muda menghujah datuk di hadapan orang ramai.
Pendapat lebai muda itu mendapat sokongan sebagaian besar dari orang-orang kampung. Datuk berada dalam suasana yang serba salah.
"Apa yang saya lakukan semalam, sekadar mendapatkan mayat budak itu. Dari percubaan pertama itu saya dapat mengesan yang buaya-buaya itu diarah oleh orang-orang tertentu yang dapat mempengaruhi buaya supaya menganas”, datuk memberi penjelasan dalam percubaan membersihkan nama dan dirinya.
"Mungkin di antara buaya-buaya itu, ada buaya jadi-jadian”, tambah datuk.
Orang ramai terdiam sejenak, mereka berpandangan sesama sendiri dan berbisik -bisik.
Lebai muda yang berkulit cerah bangun lagi. Keadaannya lebih bersopan santun dari tadi. Dia memperkenalkan dirinya.
"Maafkan saya, kalau perbuatan saya tadi menyakitkan hati tuan, nama saya Kamaruddin dan saya bekas anggota tentera laut dan sekarang membuat kerja menangkap udang di Sungai Tanjung Ara ni, apakah yang patut kita lakukan sekarang?"
Datuk merenung muka lebai muda itu sejenak. Datuk merasakan lebai muda itu memang jujur orangnya.
Tidak berdolak-dalik atau mahu menguji datuk. Dia bercakap apa yang difikirkannya patut dicakapkan, sesuai dengan keadaan dirinya yang baru berusia lebih kurang empat puluh tahun.
"Kita cari pawang buaya yang handal”, kata datuk.
"Kalau begitu kita panggil Saadun Juling”, jawab salah seorang penduduk kampung.
"Dia tu tinggal di mana?", lebai muda bertanya.
"Di Sungai Rotan”, jawab orang yang mengeluarkan cadangan.
"Saya setuju dan saya boleh membantunya”, datuk memberikan pengakuan.
Kata sepakat pun di buat. Beberapa orang penduduk kampung Tanjung Ara disuruh pergi ke Sungai Rotan menjemput Saadun Juling.
Permintaan itu tidak dihampakan oleh Saadun luling. Dua hari kemudian, pawang buaya itu sudah pun berada di Tanjung Ara. Datuk terus mendampinginya.
Saadun Juling memberitahu orang-orang kampung, dia tidak dapat melakukan kerjanya dengan secepat mungkin. Dia perlu mengambil masa kira-kira tiga minggu.
Selama dia menjalankan tugasnya itu, dia minta orang-orang kampung menanggung makan minum dan mematuhi syarat-syarat yang dikenakan, antaranya orang-orang kampung dilarang berjalan malam, kecuali dirinya.
Seminggu sudah berlalu Saadun Juling hanya asyik berjalan di sepanjang tebing sungai.
Kadang-kadang dia menyorok di balik pokok besar mengintai perempuan mandi dan membasuh kain disungai. Ada kalanya, dia berdiri di tebing sungai bercakap dengan air.
Satu perkara yang tidak dapat dinafikan, sejak Saadun Juling berada di Tanjung Ara, buaya-buaya suIit untuk dilihat.
Tidak lagi mengganggu orang-orang kampung yang mandi di sungai. Orang-orang yang bekerja menangkap udang galah mendapat hasil yang berlipat ganda.
Hal ini meyakinkan orang-orang kampung yang Saadun Juling itu seorang pawang buaya yang handal.
Masuk minggu yang kedua, seorang suami di kampung itu mengadu pada datuk secara suIit-suIit tentang isterinya yang telah berjaya dipujuk rayu oleh pawang buaya hingga melakukan hubungan suIit.
Dan si suami tidak dapat berbuat apa-apa kerana setiap kali dia memandang atau berhadapan dengan pawang buaya untuk mempersoalkan kedudukan yang sebenar, dia jadi kasihan dan berasa takut yang tidak bersebab.
Si suami cuba membentangkan masalah dirinya pada orang-orang kampung, mereka tidak dapat menerima lalu menuduh si suami itu berniat jahat terhadap pawang buaya yang mahu mengembalikan suasana aman di Tanjung Ara.
"Masa bila dia membuat hubungan sulit tu?", tanya datuk pada si suami.
"Malam.”
"Waktu tu, kau berada di mana?"
"Dirumah?"
"Kenapa kau tidak bertindak?"
"Saya macam kena pukau. Tidak boleh bangun dari tempat tidur dan tidak boleh bersuara.”
Datuk terdiam mendengar cakap si suami itu. Ada rasa simpati terpamer di wajah datuk.
"Kau bersabar, jangan bertindak terburu-buru. Jika perkara ini benar aku akan menolong kau.
"Aku tidak mahu perkara maksiat terjadi di sini. Kerja-kerja yang didorong oleh syaitan harus kita tentang.”
"Macam mana nak menentangnya?"
"Kau berjanji jangan beritahu sesiapa apa yang mahu aku lakukan.”
"Saya berjanji."
"Pawang tu tinggal di surau. Malam ni aku nak mengintip gerak gerinya.”
"Awak akan binasa, kalau melanggar pantangnya.”
"Allah lebih berkuasa darinya. Allah memberkati kerja-kerja yang baik dan jujur. Allah mengeji perbuatan zina.
"Kalau kita tidak menegakkan kebenaran, Allah akan mendakwa kita di akhirat kelak, kerana kita tahu perbuatan itu ditegah oleh Allah.”
"Saya faham.”
"Kau pulanglah dulu”, kata datuk, si suami itu terus pulang.
Pertemuan datuk dengan si suami itu tidak diketahui oleh sesiapa, walaupun pertemuan itu diadakan di rumah Alang Botak. Dan Alang Botak menganggap pertemuan itu adalah pertemuan biasa.
Tamat siri 43/284
BACA: SBDJ Siri 42: Sepasang Tangan Berbulu
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)
-SENTIASAPANAS.COM
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.sentiasapanas.com/2019/04/sbdj-siri-43-buaya-jadi-jadian.html