Sbdj Siri 137 Di Belit Ular Ghaib


Saya kira bila nenek sudah mula duduk bersila begitu, pasti dia mahu mengajukan beberapa pertanyaan untuk Datuk dan pertanyaan yang dikemukakan itu bergantung pada rasa hatinya. Kalau hati sedang marah, pasti pertanyaan yang keluar menyakitkan hati. Kalau hati sudah sejuk, pertanyaan yang terhambur pasti menggembirakan hati Datuk.


Masa terus berlalu, nenek masih membisu. Perbuatan itu menimbulkan keresahan dalam diri saya.

Walaupun demikian, saya masih dapat mendengar deru angin di luar yang beransur perlahan.

Tetapi suara salakan anjing terus mendayu-dayu. Burung tukang, tidak sekerap tadi berbunyi. Cuma yang rancak berbunyi ialah suara cengkerik.

"Dari mana awak nak bertolak?" nada pertanyaan nenek lembut . Wajah Datuk nampak aman dan saya tersenyum.

"Dari Pulau Pinang?" sambung nenek lagi.

Datuk gelengkan kepala.

"Dari Lumut?"

Datuk gelengkan kepala.

"Dari Melaka?"

Macam tadi juga Datuk tetap gelengkan kepala.

"Habis dari mana awak nak bertolak?" suara nenek meninggi, dia mula naik darah.

"Dari Teluk Senangin," jawab Datuk.

"Haa..." nenek terkejut, mulutnya terlopong.

"Awak buat kerja gila, awak naik perahu menyeberang ke Sumatera. Awak nak tempah maut di Selat Melaka," sambung nenek lagi matanya tidak berganjak menatap batang hidung Datuk.

"Begini," ujar Datuk dalam usahanya meredakan rasa bimbang di hati nenek.

"Aku hanya naik perahu ke tengah laut saja, dari situ aku naik tongkang yang bawa barang-barang dari Lumut ke Belawan.

"Dari situ menyusur pantai menuju ke Jambi, kemudian masuk Kuala Sungai Batang Hari," jelas Datuk kepada nenek yang nampak resah semacam saja.

Dari gerak-geri dan air mukanya, saya dapat menduga bahawa nenek kurang puas hati dengan penjelasan Datuk.

Macam ada sesuatu yang ingin diketahuinya, tetapi nenek takut mengajukan pertanyaan kepada Datuk.

"Hum, awak kurang puas hati?" Datuk merenung hidung nenek.

Tidak ada jawapan yang Datuk terima dari nenek. Sebagai suami yang sudah berpuluh tahun mendampingi isteri, Datuk dapat membaca perasaan hati nenek melalui gerak-gerinya.

"Tak usah bimbang, aku dah aturkan perjalanan dengan sebaik mungkin," saya lihat Datuk bersuara penuh ketenangan.

Memang Datuk bersuara mahu menyingkirkan rasa sangsi yang bermain di hati nenek. Tidak ada sepatah kata yang nenek luahkan, dia terus membisu.

Nampaknya nenek lebih senang mendengar dari meluahkan pendapat atau pertanyaan.

"Tongkang yang aku naik tu, tongkang pedagang Acheh. Aku kenal dengan nakhodanya. Sudah lama perkara ini aku aturkan lebih dari setahun," tambah Datuk. Nenek anggukkan kepala tanpa memberi sebarang komen.

"Sampan nak membawa ke tengah laut tu, milik anak saudara nakhoda itu, dia tahu di mana tongkang ayah saudaranya boleh berlabuh, semuanya sudah aku susun. Kamu tak usahlah bimbang," Datuk bersuara lagi.

Nenek menarik nafas lemah. Mata Datuk ditatapnya.

"Kalau sudah begitu, eloklah. Saya bukan apa-apa, saya cuma bimbangkan keselamatan diri awak," nenek meluahkan perasaannya.

"Sayang juga awak kepada saya," Datuk bergurau.

Nenek menghadiahkan senyum sinis kepada Datuk. Saya lihat Datuk terus tersengih panjang.

"Selain dari menengok kampung halaman, bertemu dengan sahabat handai, ke mana lagi awak nak pergi?"

Barulah nenek memperlihatkan keriangan di wajahnya. Datuk membetulkan duduk dan silanya supaya kemas dan selesa.

"Aku nak ke Kampar, Indragiri, Langkat, Serdang, Acheh dan..." Datuk berhenti bercakap dan terus kerutkan kening.

Macam ada sesuatu yang diingatinya. Apakah yang diingat dan difikirkan oleh Datuk untuk diluahkan kepada saya dan nenek?

"Aku ada beberapa tempat lain lagi," Datuk menyambung kata yang terhenti.

"Semua tempat dan daerah yang budaya adatnya serta percakapannya serupa dengan kita di sini, ke situlah aku nak pergi."

"Itulah sebabnya awak kata, awak nak pergi lama," tingkah nenek bersahaja.

Datuk tidak berkata apa-apa, dia hanya sekadar menggoyangkan kepala saja.

BUKA

Nenek bangun dan melangkah ke jendela. Daun jendela dibuka, dia merenung malam yang hitam. Deru angin masih terdengar agak lemah.

Nenek rapatkan daun jendela kembali. Dia memusing badannya lalu merenung ke arah Datuk.

"Pintu dapur yang terkopak bila nak betulkan?"

"Siang esok saja."

"Jadi sepanjang malam ni, pintu tu terdedah. Nanti masuk pencuri susah kita, ada kain sehelai dua habis kena kebas."

"Usah bimbanglah, tahulah aku membuatnya."

Jawapan Datuk itu membuat nenek angkat kaki lalu menuju ke bilik tidur. Barangkali nenek yang sudah lanjut usia sudah mengantuk dan kepenatan.

"Ikut aku Tamar."

Datuk bangun lalu melangkah ke ruang dapur. Tanpa banyak soal saya ikut saja langkahnya hingga sampai ke depan pintu dapur yang terkopak. Datuk ambil daun pintu yang terpisah dengan jenang.

"Tuk nak penukul dan paku, nanti saya cari tuk."

"Tak payah, kamu angkat papan pintu, seginya kamu rapatkan ke jenang."

Saya patuh dengan perintahnya, sambil mengangkat papan pintu, saya mula berfikir, besar kemungkinan Datuk menyuruh saya memegang papan pintu hingga terbit matahari.

Itulah sebabnya, dia tidak mahu mencari paku dan penukul. Tidak habis-habis Datuk mahu mendera saya.

Bucu papan pintu saya lekatkan ke jenang. Hampir sepuluh minit saya memegangnya, Datuk tidak pula menyuruh bergerak dari situ, dia sekadar merenung ke arah saya dengan renungan yang tajam sekali.

"Tuk suruh saya buat macam ini sampai pagi."

"Eh, aku tak cakap apa-apa, kenapa kamu pandai-pandai buat andaian yang bukan-bukan. Apa kamu tak boleh dengar cakap aku," herdik Datuk.

"Maafkan saya," kata saya terketar-ketar.

Memang tidak saya duga sama sekali bahawa pertanyaan itu boleh menimbulkan kemarahan pada diri Datuk.

Saya jadi serba salah, perbuatan yang saya lakukan sebentar tadi membuat Datuk jadi perengus dan suka marah-marah.

Datuk melangkah ke arah saya dengan teratur. Kedua belah tangannya memeluk tubuh. Bila dia sudah hampir dengan saya, kedua belah tangannya diluruskan ke bawah.

"Tentukan kedudukan pintu dengan betul."

Saya segera melihat bucu pintu, sama ada selari dengan jenang pintu yang dibuat dari kayu cengal merah.

"Dah betul kedudukannya, Tamar?"

"Sudah tuk."

"Pegang kuat-kuat, hitung sampai sepuluh, kemudian tahan nafas. Apa yang aku buat jangan kamu tegur. Kalau kamu ternampak apa yang ganjil jangan bersuara. Faham Tamar?"

"Faham tuk."

Selesai saja saya memberi kata putus, saya lihat Datuk menarik nafas sedalam-dalamnya, kemudian dia mengepal penumbuk lalu bergerak perlahan dua tapak ke depan dan berhenti.

Dia melepas nafas dengan lemah. Kemudian Datuk tarik nafas lagi, bergerak setapak ke depan hingga jaraknya dengan papan pintu yang saya pegang, tidak sampai sekaki.

Datuk merenung tajam ke arah papan pintu. Pada saat itu saya terdengar bunyi deru angin yang amat kuat macam ribut.

Papan pintu yang saya pegang bergerak-gerak dengan kuatnya macam ditolak sesuatu dari luar. Tubuh saya terasa seperti diangkat.

Dalam saat-saat seperti itu, saya berhasrat mahu memberitahu Datuk tentang masalah yang saya hadapi. Tetapi, saya seperti kehilangan suara dan tenaga.

Papan pintu yang saya pegang terasa amat berat macam batu besar yang mahu menghempap tubuh saya.

"Pegang dan tahan pintu kuat-kuat," pekik Datuk dengan sekelip mata dia sudah terpacak di sisi saya.

Tubuh saya ditolaknya dengan sekuat tenaga hingga saya tersungkur di lantai. Papan pintu yang saya pegang pun terlepas.

Datuk pun mengganti tempat saya. Apa yang menakjubkan dan menghairankan saya, bila melihat Datuk menahan papan pintu yang selebar lebih dari tiga kaki dengan jari kelingking kiri.

Dengan jari kelingking tersebut dia menggerakkan dan merapatkan papan pintu ke jenang.

Datuk angkat tangan kanan yang sudah di genggam kejamnya lalu menumbuk bahagian tengah papan pintu.

"Sudah selesai, aku buat semuanya ni untuk menyenangkan hati nenek kamu," kata Datuk.

Saya lihat pintu dapur kembali dalam keadaan sediakala. Boleh dibuka dan dikunci. Saya merasa takjub bagaimana engsel di bucu pintu boleh melekat ke jenang pintu tanpa paku dan skru.

"Sudah selesai tuk," saya minta kepastian.

"Dah selesai pun."

"Tak pakai paku dan penukul?"

"Iya, kamu tengok sendiri."

Saya segera memeriksa engsel pintu, ternyata engsel tersebut sudah dipasang dengan skru. Lagi sekali saya merasa takjub.

"Jangan tanya apa-apa," tutur Datuk bila melihat saya mahu mengajukan pertanyaan.

Saya segera angguk kepala. Datuk memimpin tangan saya menuju ke ruang tengah.

"Pergi tidur, ingat lusa kita nak berjalan, itu pun kalau diizinkan Allah, kita ada masa dua hari untuk membuat persiapan.

"Kamu jangan ke mana-mana, tolong nenek buat kerja untuk kita yang mahu ke tanah seberang," tutur Datuk sebelum dia masuk ke bilik tidurnya.

Baru dua langkah Datuk melangkah, dia berpatah balik ke arah saya. Perbuatannya itu memeranjatkan saya. Rasanya tak ada kesalahan yang saya lakukan.

"Ingat Tamar."

"Ingat apa tuk?"

"Jangan beritahu sesiapa dengan apa yang kamu tengok tadi. Pada nenek kamu pun jangan kamu ceritakan."

"Saya faham tuk."

"Begitu juga dengan hajat kita nak ke Jambi. Jangan kau hebahkan dengan orang lain.

"Saya faham tu."

Setelah melihat biji mata dan wajah saya dan yakin saya akan mematuhi pesanannya, barulah Datuk masuk ke bilik.

Sepuluh minit kemudian Datuk keluar. Dia mengambil wuduk, tidak lama berselang terdengar suara Datuk membaca al-Quran.

Dengan rasa letih dan mengantuk, saya rebahkan tubuh atas ranjang, dan sementara menanti mata terpejam, saya segera pasang angan-angan.

Saya gambarkan betapa sukarnya dan payahnya naik tongkang membelah ombak Selat Melaka. Dan akhirnya saya pun terlena.

TINGGAL

Segala barang-barang yang mahu dibawa sudah disediakan oleh nenek di muka pintu. Saya duduk di kaki tangga melihat kelip-kelip yang terbang subuh.

Dan Datuk pun mengakhiri doa sembahyang subuhnya. Sebentar lagi, sebelum matahari terbit saya dan Datuk harus meninggalkan rumah, tidak boleh berpatah balik walaupun ada barang yang tinggal.

Bagi menjamin semua barang-barang dibawa tidak tertinggal, saya ditugaskan memeriksa dan melihatnya.

Kata Datuk, berpatah balik setelah memulakan perjalanan akan membawa padah buruk, mungkin orang yang berjalan itu akan berhadapan dengan masalah besar dalam perjalanan.

Petua yang diwarisi dari nenek moyang itu tetap mahu dipelihara dan dikekalkan oleh Datuk.

"Sudah cukup semuanya, Tamar?" tanya Datuk dari arah belakang.

Saya segera menoleh arahnya. Datuk memakai kemeja hitam lengan panjang. Seluar kuning panjang, bersongkok hitam serta bertali pinggang lebar hitam, macam tali pinggang anggota polis sebelum merdeka.

"Semuanya sudah siap tuk."

"Sudah kamu periksa, apa yang aku suruh sediakan?"

"Sudah tuk."

"Tak ada yang tinggal, Tamar?"

"Tak ada tuk," tutur saya dengan penuh yakin.

"Kau bawa beg kecil, beg besar biar aku yang bawa," kata Datuk sambil menyelitkan lawi ayam ke celah tali pinggang besarnya.

Di bahagian dalam tali pinggang sengaja dibuat tempat khas untuk senjata kecil seperti lawi ayam, kerambit, keris kecil dan sebagainya.

Hari itu, di samping lawi ayam, Datuk juga menyelitkan keris kecil. Dilihat sepintas lalu dari luar, keadaan tali pinggang itu kelihatan macam biasa saja.

Di hujung tali pinggang terdapat tembaga kuning yang disatukan dengan kulit tali pinggang yang lebarnya sama dengan ukuran tali pinggang dan panjangnya kira-kira dua inci.

Datuk pernah menggunakan tembaga di hujung tali pinggang sebagai senjata untuk mempertahankan dirinya diserang orang jahat.

Datuk sendiri yang menceritakan perkara itu kepada saya. Kesimpulannya, tali pinggang itu, bukan sekadar tali pinggang tetapi ada tujuan yang lain bila di pakai.

"Eloklah kita mulakan perjalanan."

Datuk segera mengambil capal kulit lalu disarungkan ke kaki. Tanpa mengeluarkan arahan selanjutnya Datuk melangkah ke pintu.

Berdiri di situ dengan tangan kiri memegang jenang pintu dan tangan kanan terletak di pinggang.

Perbuatan Datuk berdiri di muka pintu menghalang perjalanan saya. Kalau saya bersuara mungkin Datuk marah atau menengking saya.

Saya mengambil keputusan tunggu dan lihat. Sekiranya Datuk berubah tempat, barulah saya keluar dari rumah.

Seluruh pancaindera, saya tumpukan ke tubuh Datuk yang tercegat di ambang pintu.

Tiba-tiba saya lihat, sepasang tangan Datuk memeluk tubuh dan sepasang matanya tidak berkedip melihat ke arah halaman rumah.

Macam ada sesuatu dilihatnya di situ. Lebih kurang lima minit lamanya, Datuk terpaku begitu.

Datuk menarik nafas dalam-dalam seraya menjatuhkan sepasang tangannya, lurus ke bawah tetapi, jari telunjuk, jari manis dan jari hantu tangan kanan dibengkokkannya, sementara jari telunjuk dan ibu jari diluruskan.

Datuk mengerakkan tubuhnya membelakangi ambang pintu untuk menatap wajah saya. Matanya nampak bercahaya.

"Sudah selesai Tamar?"

"Sudah tuk."

"Kalau begitu sekarang kita mulakan perjalanan."

Datuk mendekati saya lalu membongkok mengambil beg besar dekat tiang besar. Datuk galas beg besar ke bahu.

Dengan serta-merta saya bangun dan mencapai beg kecil yang isinya entah apa, terus saya sangkutkan ke bahu. Neneklah yang mengisikan barang-barang ke dalam beg kecil itu.

Waktu saya mahu memulakan langkah, nenek segera mendekati saya. Nenek paut bahu kiri saya dari belakang. Datuk hanya melihat saja apa yang nenek lakukan terhadap saya.

"Jaga beg itu baik-baik, Tamar."

"Kenapa nek?"

"Dalam beg tu ada bekalan makanan untuk kamu dengan Datuk. Ada rendang ayam dan daging. Cuma elakkan diri kamu berdua dari makan di sebarang tempat, kuih-kuih kering juga ada aku bekalkan."

"Oh, begitu," kata saya.

"Jangan makan merata-rata Tamar," nenek mengingatkan saya untuk kedua kalinya. Saya segera anggukkan kepala.

Saya kira, apa yang nenek turutkan itu sampai juga ke telinga Datuk. Tetapi, dia buat tak kisah saja dan berdiri tenang di ambang tangga. Kemudian Datuk merenung wajah nenek, penuh sayu, penuh penghargaan.

"Kami pergi, doakan kesejahteraan untuk kami," kata Datuk.

Dengan lembut nenek anggukkan kepala sambil sepasang anak matanya menyorot langkah Datuk memijak tangga menuju ke halaman rumah. Dan langkah kami untuk merantau pun bermula.

BERDIRI

Sebaik saja dekat pohon rambutan, saya menoleh ke arah rumah untuk melihat nenek. Apakah dia masih berdiri di pintu atau sudah beredar di situ.

"Kalau sudah melangkah, pantang menoleh ke rumah," Datuk segera menegur perbuatan saya.

"Maafkan saya tuk."

"Lain kali ingat, kalau sudah bulat tekad untuk berjalan, jangan niat apa-apa, jangan toleh kiri kanan, jangan renung depan belakang.

"Tumpukan hati pada perjalanan. Biar selamat, terhindar dari malapetaka dan perbuatan jahat dari makhluk lain."

"Begitu ke tuk?"

"Iyalah, sekarang kamu dah faham, apa sebabnya aku larang kamu menoleh ke rumah tu."

"Iya, saya faham tuk."

"Bagus, lekatkan di hati dan di kepala pesanan aku ini."

"Iya tuk."

"Bagus."

Terlalu cepat Datuk melangkah melanggar rerumput dan pepohon renek hingga hujung seluarnya jadi lembap dan basah diresapi air embun.

Agar tidak ketinggalan jauh oleh Datuk, saya terpaksa berlari dalam dingin pagi yang menyengat itu.

Datuk tidak peduli, sama ada saya tersepak tunggul atau terjerlus dalam lubang. Dia terus melangkah tanpa mahu mengambil tahu apa yang berlaku sekitarnya.

Pada hemat saya, dalam perjalanan kali ini Datuk memperlihatkan tanda-tanda ganjil dan luar biasa.

Sebelumnya, Datuk tidak pernah bersikap demikian. Ciri-ciri yang diperlihatkan oleh Datuk secara tidak langsung menimbulkan tanda-tanya dalam diri saya.

Kicau burung mula kedengaran di reranting pohon. Cukup rancak dan bersahut- sahutan. Sesekali terdengar kokok ayam jantan yang terlewat berkokok.

Kabus nipis mula bangun di celah-celah pepohon kecil. Beruk dan monyet mula bergerak di dahan pokok dengan rasa malas untuk mencari rezeki.

Dan sepanjang perjalanan itu, saya dan Datuk tidak berkata apa-apa pun. Mungkin kerana mahu sampai ke Teluk Senangin, Datuk terpaksa menggunakan jalan pintas membelah paya kecil yang penuh dengan pokok-pokok rumbia dan bemban.

Betapa seksanya terpaksa meranduk air paya yang dalamnya separas buku lali. Serangan nyamuk dan pacat bagaikan tidak mahu bertimbang rasa.

Waktu matahari mula memancarkan senyumannya di bibir langit, saya dan Datuk sudah pun ada di gigi pantai Teluk Senangin.

Alun ombak yang lembut nampak sekata memburu pantai, pancaran matahari yang mula mengembang terus menampar ke permukaan ombak lalu memancarkan cahaya yang sungguh cantik dan indah, sementara warna langit di hujung nampak merah keemasan.

"Saya jadi terpesona dengan keindahan itu.

Mana dia orang yang tuk katakan tu, tak nampak pun dia datang. Hari dah beransur cerah," itu pertanyaan pembuka mulut dari saya untuk Datuk.

Saya lihat Datuk menarik nafas dalam-dalam sambil menggigit bibir. Matanya tajam merenung ke arah laut lepas.

"Mana dia tuk?"

"Kita tunggu dia."

"Sampai dia datang tuk."

"Iyalah," suara Datuk meninggi.

Saya tersentak dan tidak jadi untuk mengemukakan pertanyaan selanjutnya. Datuk menguis-nguis pasir pantai dengan hujung capalnya. Dan saya terus memeluk tubuh sambil menghadapkan wajah ke tengah laut.

Kerana tidak sanggup menahan rasa dingin akibat hembusan angin laut, saya segera bergerak ke arah selatan dan berhenti dekat selonggok kulit nipah yang sudah kering.

Tidak jauh dari longgokan sabut nipah itu terdampar batang buruk yang dihantar oleh ombak ke pantai.

Bahagian pangkal dan hujung batang buruk sudah reput tetapi, bahagian tengahnya masih utuh. Di bahagian yang masih utuh itulah menjadi sasaran meletakkan punggung.

Bagi menghilangkan rasa lenguh di sendi, sepasang kaki saya luruskan sambil mata merenung ke beberapa ekor burung yang sedang berada di dahan yang menjulur ke arah saya. Beburung itu terus berkicau.

NIKMAT

Sedang saya asyik menikmati kicau burung serta bunyi deru ombak. Tiba-tiba saya terasa ada benda lembut jatuh betul-betul di bahagian ubun-ubun kepala.

Benda lembut itu menggelongsor perlahan-lahan ke bahagian bahu. Buat beberapa saat tidak ada pergerakan dari benda lembut tersebut.

Bila saya memusingkan leher ke kanan dan ke kiri, benda lembut tersebut turut bergerak keras lalu membelit batang leher saya.

Apakah benda yang membelit leher saya ini. Barangkali ular sawa? Mana mungkin ada ular sawa waktu pagi begini, timbul pertanyaan dalam hati saya.

Puas saya menoleh ke kiri dan ke kanan, tidak ada sesuatu yang saya nampak di bahu atau di badan saya. Anehnya! Leher saya tetap dirasakan ada sesuatu yang menjerut.

Saya semakin terasa sukar bernafas. Manakala kulit pipi saya terasa seperti dijilat dengan lidah yang bercabang.

Kulit pipi yang dijilat itu terasa amat gatal dan pedih. Saya juga tercium bau hanyir.

Paling mencemaskan, bila benda lembut dan lembik itu terus membelit seluruh badan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 137/284

BACA: SBDJ Siri 136: Lelaki Serba Hitam
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com



Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

http://www.sentiasapanas.com/2020/03/siri-bercakap-dengan-jin-137.html

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Sbdj Siri 128 Rahsia Daun Seribu Kapit

Sbdj Siri 128 Rahsia Daun Seribu Kapit

papar berkaitan - pada 3/3/2020 - jumlah : 285 hits
Bila air yang dijerang sudah masak Datuk suruh saya buat secawan kopi tanpa gula Dua tiga helai daun seribu kapit anak dipetik dan dimasukkan ke dalam cawan kopi bersama beberapa buku garam Sebahagian daripada air panas itu dituangkan ke da...
Sbdj Siri 136 Lelaki Serba Hitam

Sbdj Siri 136 Lelaki Serba Hitam

papar berkaitan - pada 13/3/2020 - jumlah : 268 hits
Dalam hidupnya nenek hanya mengenal huruf huruf Arab dan tulisan jawi Dia mengenal Alif Ba Ta sampai habis Dia tidak boleh mengeja huruf huruf tetapi dia boleh membaca muqaddam dan Quran Ganjil macam mana kisah orang orang Islam orang putih...
Sbdj Siri 131 Menggeletek Macam Cicak

Sbdj Siri 131 Menggeletek Macam Cicak

papar berkaitan - pada 6/3/2020 - jumlah : 341 hits
Saya mengucap panjang bila melihat kaki kiri Khoja Lisut menggeletak macam ekor cicak yang terpisah dari badannya sementara kaki kanannya bergerak macam badan ular Terlalu banyak ilmu batin salah yang dituntutnya Tetapi bila dia sakit terny...
Sbdj Siri 129 Api Keluar Dari Kubur

Sbdj Siri 129 Api Keluar Dari Kubur

papar berkaitan - pada 5/3/2020 - jumlah : 225 hits
Nenek sambut kepulangan saya dengan senyuman Dia gelengkan kepala bila melihat baju saya basah kuyup akibat peluh Saya sambut geleng kepala nenek dengan senyum megah Kenapa begini Tamar Saya disuruh membuat kerja berat Pergi mandi cepat Man...
Sbdj Siri 132 Bukan Muntah Darah

Sbdj Siri 132 Bukan Muntah Darah

papar berkaitan - pada 9/3/2020 - jumlah : 271 hits
Sebaik saja Haji Yatimi mengakhiri kata kata itu dia terus menarik tangan Khoja Lisut mengajak ke kaki tangga surau Tidak ada bantahan dari Khoja Lisut Saya terus mengekor dari belakang khoja Lisut Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena terh...
Sbdj Siri 134 Lembaga Di Tepi Laut

Sbdj Siri 134 Lembaga Di Tepi Laut

papar berkaitan - pada 11/3/2020 - jumlah : 456 hits
Yang kamu ambil kayu arang atau buluh tanya nenek kepada saya Kayu arang jawab saya Bukan urusan kamu untuk mengetahui semuanya ini ini urusan aku kata Datuk yang secara tiba tiba memusingkan badannya ke arah saya dan nenek Dia bagaikan men...
Sbdj Siri 135 Kayuh Perahu Dengan Tangan

Sbdj Siri 135 Kayuh Perahu Dengan Tangan

papar berkaitan - pada 12/3/2020 - jumlah : 252 hits
Rupa rupanya dengan anggukkan kepala yang saya lakukan itu ternyata tidak memuaskan hati Datuk lalu dia bertanya Kamu faham dengan apa yang tuan haji katakan tu Tamar Saya faham tuk suara saya meninggi sambil menjeling ke arah Haji Yatimi D...
Cek Fakta Hoaks Imbauan Presiden Jokowi Agar Warga Main Gim Ular Saat Bosan Di Rumah

Cek Fakta Hoaks Imbauan Presiden Jokowi Agar Warga Main Gim Ular Saat Bosan Di Rumah

papar berkaitan - pada 19/3/2020 - jumlah : 319 hits
Potongan gambar Presiden Jokowi mengimbau masyarakat agar bermain gim ular jika bosan berada di rumah adalah tidak benar
Hbo Bangunkan Siri Adaptasi The Last Of Us

Hbo Bangunkan Siri Adaptasi The Last Of Us

papar berkaitan - pada 6/3/2020 - jumlah : 266 hits
HBO dan Sony Pictures Television bekerjasama untuk membangunkan siri adaptasi The Last of Us berdasarkan permainan video survival seram popular berjudul sama yang dikeluarkan PlayStation Projek ini merupakan siri televisyen pertama PlayStat...
Pas Mocks Madani Gov T After Pmx Loosely Faulted Rushed Flawed Trials Of High Profile Cases Post 2018 Ge

Sah Kes Najib Razak Cacat

Icac Found No Case Rahman Dahlan Defends Musa S Appointment

Slot Qris Explained The Key To Faster And Safer Gaming Transactions

Tenure Of Sabah Sarawak S Top Judge Extended Says Source

Rahsia Kawal Gula Dalam Darah Supaya Tak Melompat Lompat Lagi

Tremendous Nadi Collaboration

Kebaikan Rawatan Rendaman Kaki Bersama Garam Bukit Dan Ais Batu


echo '';
Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 6 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Keputusan Markah Peserta Konsert Minggu 5 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

10 Filem Drama Seram Melayu Berhantu Terbaru 2024 2025 Mesti Tonton

One In A Million 2024 Senarai Peserta Juri Format Pemarkahan Hadiah Dan Segala Info Saksikan Live Di TV3 Malaysia Dan Tonton Calpis Soda OIAM

Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Cinta Bukan Milik Kita Slot Samarinda TV3


10 Praktik Keberlanjutan Yang Wajib Diterapkan Di Tahun 2025

10 Perusahaan Rental Mobil Pontianak Resmi Update 2025

Pelajari Kesalahan Trader Pemula Untuk Persiapan Trading Profit Maksimal 2025

Helikopter Terhempas Di Hospital Di Turkiye Empat Maut

Nigeria Tragedi Rempuhan Sempena Agihan Makanan Pra Krismas Ragut 67 Nyawa

Razer Umum Koleksi Squid Game