Sang Penyu Sekat Harimau Selatan Untuk Melangkah Ke Final
JOHOR BAHRU: Impian Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia berkecai selepas seri 2-2 dengan Terengganu FC (TFC) dan pasukan pelawat layak ke final dengan agregat 3-2 selepas aksi separuh akhir kedua di Stadium Tan sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.
Kemenangan TFC itu cukup bermakna buat skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim yang akan berdepan sama ada Perak atau Sabah tatkala kali terakhir skuad Penyu mara ke pentas final ialah pada 2011 namun tewas kepada Negeri Sembilan 1-2.
Perubahan taktikal dilakukan gandingan Luciano Figueroa dan Benjamin Mora yang membimbing JDT apabila membariskan Fernando Marquez dalam kesebelasan utama sambil mengubah posisi Gonzalo Cabrera beraksi di bahagian serangan manakala Syafiq Ahmad bergerak di posisi sayap kiri.
Ketika JDT ghairah mengasak ke kubu TFC, serangan balas anak didik Irfan Bakti pada minit ke-11 mencemaskan gawang tuan rumah apabila Shahrul Aizad Zulkifli yang tidak dikawal merembat bola leret namun penjaga gol, Farizal Marlias sempat menghalang dengan kaki.
Penguasaan jelas milik JDT apabila sering mengasak ke kubu pelawat, malah pada minit ke-27 bola umpanan Safawi Rasid gagal diterjemah dengan jaringan apabila sekadar merembat bola lemah mudah buat penjaga gol, Mohd Sufian Rahman.
Tindakan Adib Aizuddin Latif mengasari Safawi di dalam kotak penalti menyaksikan pengadil, Mohd Nazri Nasaruddin tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-40 dan Marquez mudah melaksanakannya dan meletakkan tuan rumah mendahului 1-0 sekali gus mengikat agregat 1-1.
Bersambung babak, kedua-dua pasukan mula mengatur gerak untuk memburu gol dengan TFC terlebih dulu mengancam kubu tuan rumah apabila kapten, Kipre Tchetche memiliki peluang pada minit ke-46 namun sempat dihalang Farizal.
Bermula daripada bola tandukan Marquez hasil sepakan lintang Corbin Ong yang terkena palang pada minit ke-62, bola disambar Safawi yang mengumpan ke belakang untuk Cabrera dan pantas melencong bola tepat ke penjuru kiri seterusnya tuan rumah mendahului 2-0 dan 2-1 secara agregat.
Bagaimanapun, jaringan tuan rumah tidak bertahan lama selepas Tchetche bangkit menjaringkan gol pada minit ke-68 apabila merembat kencang menewaskan Farizal untuk mengikat agregat 2-2 tatkala kelebihan memihak pelawat yang memiliki gol di tempat lawan.
Tchetche melenyapkan sisa perjuangan tuan rumah apabila mencetak gol kedua peribadi pada minit terakhir perlawanan untuk memastikan TFC mara ke final dengan keputusan agregat 3-2. - Berita Harian
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2018/10/sang-penyu-sekat-harimau-selatan-untuk.html