Sambal Ikan Bilis Lauk Nasi Lemak Di London
Semasa bercuti ke London baru baru ini, saya menyediakan rendang daging menggunakan keeper recipe saya di SINI dan juga sambal ikan bilis untuk dimakan dengan nasi lemak. Saya bekukan dan balut kemas kemas. Semasa dihidangkan cuma, saya goreng ikan bilis, hiriskan timun dan telur rebus.
Kacang tanah jer saya tak bawa kerana saya tak berapa suka kacang tanah goreng. Masak nasi lemak sendiri, pastinya sangat sedap. Apa lagi dimakan di pagi yang sejuk sejuk. Cuaca di sana masih sangat sejuk walaupun telah di penghujung bulan Februari
Berbalik kepada nasi lemak, sebenarnya walaupun menyediakan nasi lemak cukup mudah tetapi agak susah untuk bertemu dengan nasi lemak yang sedap. Contoh mudah, nasi lemak dalam kapalterbang atau dalam ETS. Memang tak sedap. Hahaha nasi lemak yang dijual di restoran Melayu di London pun tak sedap juga. Bukan sahaja lauk dan sambal tidak sedap tapi nasinya juga tidak sedap dan tidak terasa seperti nasi lemak pun.
Kadang terfikir kenapa penyedia hidangan dalam penerbangan tak dapat menyediakan makanan yang sedap. Nak dapat keuntungan lebih atau macam mana. Bukan apa, masakan melayu ni sebenarnya cukup mudah. Nak buat rendang? Mudah jer. Nak buat sambal nasi lemak? Pun mudah jer. Ayam masak merah, kari, ayam kicap, pun semua mudah mudah. Kesian juga dengan penumpang. Makanlah juga kerana lapar walaupun tak sedap langsung.
Terdapat banyak cara menyediakan sambal ikan bilis untuk lauk nasi lemak. Cara mana pun yang anda gunakan, pastikan rasanya seimbang. Pastikan cukup bawang dan cili. Pastikan ada rasa masin manis dan masam. Nak sambal lebih kick, kena ada rasa manisnya lebih sedikit dari rasa yang lain.
Selain itu, sambal jangan cair meleleh. Kena sederhana kepekatannya. Jika untuk sambal nasi lemak bungkus RM1-2 pulak, sambal kena pekat supaya sambal elok terletak atas daun pisang tu.
Biasanya orang berniaga nasi lemak, tak letak ikan bilis dalam sambal untuk menjimatkan kos. Mereka akan letak segenggam dua ikan bilis dalam bahan kisar dan memasukkan kiub ikan bilis untuk menambah rasa ikan bilis di dalam sambal. Kita pun faham kerana sekarang ini semua kos bahan bahan masakan memang naik harga. Tapi pastikan rasanya ada, jadi sambal akan jadi sedap.
Jom layan versi sambal ikan bilis lauk nasi lemak saya kali ini. Selamat mencuba.....
Sambal Tumis Nasi Lemak
Oleh: Azie Kitchen
Bahan kisar:
1 biji bawang besar merah - saiz besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
Belacan - opsyenal
1 genggam ikan bilis - yang telah digoreng
Bahan B:
1 genggam ikan bilis
1 biji bawang besar - hiris
8-9 sudu besar cili kering kisar
Bahan C:
¼ sudu besar garam atau secukup rasa
6-7 sudu besar gula atau secukup rasa
¼ sudu besar pes asam jawa
2 sudu besar gula Melaka
Cara cara:
Panaskan minyak lebihan menggoreng ikan bilis dan tumis bahan kisar sehingga terbit minyak.
Masukkan bawang hiris dan ikan bilis. Kacau rata sehingga bawang layu.
Kemudian masukkan cili kering kisar dan tumis atas api perlahan sehingga terbit minyak. Nota: Boleh masukkan air sedikit demi sedikit untuk sambal masak dan terbit minyak dengan sempurna.
Akhir sekali, masukkan bahan perasa iaitu bahan C. Setelah sambal masak dan terbit minyak cantik, bolehlah tutup api. Nota: Jika untuk berniaga, perlu masak sambal lama lama sehingga 2 jam supaya tahan lama.
Nota:
Jika minyak berlebihan, boleh ceduk dan guna untuk menggoreng nasi, mee hoon dsb.
Jika untuk nasi lemak bungkus, sambal mesti sedikit pekat.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.aziekitchen.com/2023/03/sambal-ikan-bilis-lauk-nasi-lemak-di.html