Samakan P Pinang Kelantan Pemuda Pas Buta Fakta
Hujah menyamakan kemajuan negeri Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) dan Kelantan oleh pemimpin Pas baru baru ini merupakan penyelewengan fakta yang luar biasa.
Bagi ADUN Permatang Pasir, P Pinang, Muhammad Faiz Fadzil, tindakan Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan, Mohd Firdaus Nawi yang mengutuk kenyataan Ketua Pengarah J-KOM Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff sebagai tidak cermat dalam menyindir kelemahan Kelantan dalam hal kebersihan dan bekalan air kemudian menyamakan pula dengan keadaan di Pulau Pinang adalah sesuatu yang tidak berasas dan buta fakta.
“Fakta yang tidak dapat dinafikan bahawa Kelantan sememangnya berdepan masalah “kotor dengan sampah” akibat kelemahan tatakelola kerajaan pentadbiran Pas berbanding Pulau Pinang yang bersih di bawah pentadbiran PH.
“Kelantan yang merupakan antara negeri termundur di Malaysia merupakan hasil kegagalan pentadbiran kerajaan Pas memajukan ekonomi tempatan dan membasmi kemiskinan, selain turut berdepan isu alam sekitar yang kritikal.
“Bukan setahun dua, tetapi ianya sudah berlarutan selama berdekad.
“Oleh itu, selaku ADUN di Pulau Pinang, saya mengalu-alukan Firdaus jika ingin membuat lawatan sambil belajar ke sini. Georgetown, misalnya, telah menerima anugerah bandar pelancongan bersih ASEAN pada tahun 2022.
“Inshaallah, ilmu pengurusan kebersihan daripada Georgetown akan membantu Kelantan ke arah pembangunan yang lebih bersih dan ‘madani’,” kata Faiz dalam kenyataan hari ini.
Pemimpin Amanah nasional itu juga memaklumkan bahawa negeri Pulau Pinang amat cemerlang di bawah pentadbiran PH.
Katanya, Pulau Pinang antara negari terawal melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa di Punca sejak 2016 lagi. Bagi tahun 2021, Pulau Pinang telah berjaya mencapai kejayaan kadar kitar semula yang tertinggi di Malaysia iaitu 51.18%. Menjelang 2030, ia dijangka naik ke 70%.
Manakala, data saintifik yang diperakui oleh Kementerian Kesihatan, ujar Faiz, menunjukkan air terawat di Pulau Pinang adalah antara yang terbersih dan selamat. Kerajaan Pulau Pinang turut melaksanakan Pelan Kontingensi Air Mentah di mana kapasiti air mentah dijangka meningkat sebanyak 569 juta liter sehari menjelang 2030.
“Selain itu, sektor ekonomi Pulau Pinang berkembang pesat dengan rekod pertumbuhan ekonomi tertinggi dalam negara pada tahun 2021, kadar 7.1 peratus di saat krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19.
“Pada tahun sama juga, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut melaporkan Pulau Pinang mencatatkan pelaburan sektor pembuatan sebanyak RM76.22 bilion yang dijangka menghasilkan 12,000 peluang pekerjaan.
“Kejayaan Pulau Pinang dalam memajukan ekonomi negeri menjadikan kehidupan rakyatnya sejahtera dan makmur. Di Pulau Pinang, kita tidak mendengar rungutan rakyat berkaitan air kotor, sampah yang tidak terurus ataupun mempunyai masalah peluang pekerjaan.
“Hasil tadbir urus yang cekap, rakyat Pulau Pinang menerima pelbagai bantuan ketika pandemik Covid-19 dengan Pakej Bantuan Khas sebanyak RM176.45 juta dan bajet hal ehwal Islam meningkat saban tahun, diperuntukkan sebanyak RM75.08 juta bagi tahun 2023,” kata Faiz lagi.
Biarpun Pulau Pinang merupakan negeri yang paling teruk difitnah berasaskan isu Melayu – Cina dan tekanan ke atas penganut Islam, ujar Faiz, namun hakikatnya orang Melayu hidup dalam keadaan baik dan agama Islam juga diamalkan dengan begitu baik.
The post Samakan P Pinang, Kelantan: Pemuda Pas buta fakta first appeared on Suara Pakatan Daily.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suarapakatandaily.com/archives/36345?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=samakan-p-pinang-kelantan-pemuda-pas-buta-fakta