Salah Faham Terhadap Kepercayaan Dalam Agama Islam
Saya (Ustaz Fahmi Rusli) memulakan tanda pagar (hashtag) #MasyarakatPerluTahu bagi membetulkan beberapa salah faham dalam isu agama yang masih bertebaran.
1- #MasyarakatPerluTahu bahawa seorang suami tidak menanggung dosa isteri. Demikian juga seorang bapa tidak menanggung dosa anak gadisnya.
2- #MasyarakatPerluTahu bahawa doa yang mustajab itu ada pada setiap sujud solat. Ia tidak terkhusus kepada sujud terakhir sahaja.
Rakan-rakan juga boleh tambah menggunakan tanda pagar yang sama. Jika saya setuju dan rasakan sesuai, saya akan masukkan dalam senarai bebenang ini.
3- #MasyarakatPerluTahu bahawa bacaan Al-Fatihah di dalam solat perlu dibaca dengan suara yang didengari oleh telinga sendiri. Bukan baca Al-Fatihah dalam hati.
4- #MasyarakatPerluTahu bahawa perkataan silaturrahim merujuk kepada hubungan kekeluargaan atau kaum kerabat sahaja. Kawan-kawan atau jiran tetangga tidak termasuk dalam rahim.
5- #MasyarakatPerluTahu bahawa bukan menjadi satu syarat untuk jawapan istikharah yang kita lakukan itu, diperoleh menerusi mimpi. Bahkan, selama kita dilapangkan dada dan dipermudahkan untuk membuat sesuatu urusan dan keputusan, itulah petunjuk dari istikharah yang dilakukan.
6- #MasyarakatPerluTahu bahawa menjulurkan / menghadapkan kaki ke arah kiblat itu bukanlah suatu yang dilarang di sisi syarak. Ia tidaklah haram dan tidak pula makruh. Bahkan hukumnya adalah harus.
7- #MasyarakatPerluTahu bahawa amalan sunat adalah amalan yang dituntut untuk dibuat. Bukan dijadikan alasan : “Alah, tak buat pun tak apa, kan sunat sahaja”. Sedangkan tuntutan syarak itu hukumnya dua, iaitu wajib dan sunat. Terima kasih sahabat saya Ustaz@_muhaimin26
8- #MasyarakatPerluTahu bahawa TIADA DALIL yang jelas bahawa digalakkan hubungan seks antara suami isteri pada malam Jumaat. Yang ajaibnya, gol. LGBT pun saban minggu nak dapat ‘fadilat’ malam jumaat. Bahkan Imam Al-Nawawi kata, pendapat tersebut adalah lemah atau batil.
9- #MasyarakatPerluTahu bahawa sebutan yang betul adalah “bukan mahram”. Manakala sebutan “bukan muhrim” dalam konteks tersebut, tidak betul.
Mahram - orang yang haram kita berkahwin dengannya. Bukan mahram - halal berkahwin dengannya.
Muhrim - Orang yang sedang berihram.
10- #MasyarakatPerluTahu bahawa tidak ada iktikad atau kepercayaan berkenaan KARMA di dalam agama Islam
11- #MasyarakatPerluTahu bahawa maksud fitnah dalam ayat : Dan fitnah lebih besar dari membunuh, adalah : Syirik
Iaitu dosa syirik lebih besar berbanding dosa membunuh
Ia bukan fitnah yang difahami masyarakat iaitu : Mengatakan sesuatu kepada seseorang, apa yang dia tak buat
12- #MasyarakatPerluTahu bahawa Al-Quran fungsinya sebagai panduan hidup. Ia bukan diturunkan sebagai “spells” yang apabila dibaca surah tertentu, jadi kaya. Baca ayat tertentu, jadi cantik & kacak
Boleh rujuk Al-Baqarah ayat (2), & (185) untuk faham sebab Al-Quran diturunkan
13- #MasyarakatPerluTahu bahawa ‘Ayat 1000 Dinar’ bukan bermaksud apabila dibaca, digantung di rumah @ kedai, maka seseorang itu jadi kaya. Tidak sama sekali. Intipati ayat itu suruh supaya kita bertakwa. Apabila kita bertakwa, rezeki akan datang dari jalan yang tak disangka.
14- #MasyarakatPerluTahu bahawa perkataan rezeki itu tidak terhad kepada harta benda @ material semata. Sebaliknya, kesihatan yang baik, makanan yang halal, masa yang terisi dengan manfaat, zuriat yang baik, harta yang berkat, semua ini termasuk dalam rezeki
15- #MasyarakatPerluTahu bahawa BOLEH membaca Al-Quran meski aurat terdedah. BOLEH baca Al Quran dalam keadaan berbaring. BOLEH baca Al Quran tanpa menghadap kiblat. BOLEH baca Al Quran tanpa wuduk sekiranya membacanya tanpa memegang mushaf.
16- #MasyarakatPerluTahu bahawa TIDAK TERDAPAT sebarang riwayat yang sahih berkenaan larangan bercakap semasa makan. Ia dibolehkan sebenarnya. Bahkan sebahagian ulama mengatakan hukum bercakap ketika makan adalah mustahab (sunat) khususnya untuk memuliakan para tetamu.
17- #MasyarakatPerluTahu bahawa tidak disyaratkan solat sunat taubat untuk menjadikan taubat seseorang itu diterima. Selama seseorang itu menyesal, berhenti melakukan dosa, dan tidak mengulanginya kembali, maka dia telah menepati ciri-ciri taubat nasuha (التوبة النصوح)
18- #MasyarakatPerluTahu bahawa maksud anak yatim adalah : Anak yang KEMATIAN BAPA dan dia belum mencapai usia BALIGH. Kalau umur dah 20 30 tahun, kemudian ayah meninggal dunia, maka ini sudah tidak dinamakan sebagai anak yatim.
19- #MasyarakatPerluTahu bahawa Allah S.W.T apabila mengkehendaki sesuatu, Dia tidak menyebut “Kun Fayakūn” akan tetapi yang Allah sebut adalah “Kun” sahaja. Kun bermaksud : “Jadilah”.
20- #MasyarakatPerluTahu bahawa tidak ada dalil spesifik yang menyatakan bahawa sedekah subuh memiliki kelebihan khusus berbanding sedekah pada waktu-waktu yang lain.
21- #MasyarakatPerluTahu bahawa tidak terdapat sebarang dalil daripada Al-Quran atau hadis-hadis sahih yang menyebutkan Nabi Yusuf A.S berkahwin dengan Zulaikha.
22- #MasyarakatPerluTahu bahawa tidak terdapat sebarang hadis yang sahih berkenaan doa semasa melihat cermin. Hadis doa Nabi SAW : اللهم أحسنت خلقي فأحسن خلقي Ini adalah hadis sahih, tanpa diikat dengan membacanya ketika melihat cermin.
23.
Ramai tak yang perasan ? Biasanya apabila dibaca ayat Al-Kursi semasa zikir sesudah solat, bacaannya dimula dengan :
وإلهكم إله واحد لا إله إلا هو الرحمن الرحيم
Kemudian baru diikuti dengan bacaan الله لا إله إلا هو الحي القيوم seolah dua ayat ini berturutan.
Sedangkan tidak.
Ayat pertama itu merupakan ayat 163 surah Al-Baqarah. Manakala ayat Al-Kursi merujuk kepada ayat ke- 255 surah Al-Baqarah sahaja. Justeru, apabila kita dianjurkan membaca ayat Al Kursi selepas solat dan sebelum tidur, maka yang dimaksudkan ialah bacaan ayat ke- 255 tersebut.
24.
Biasa tak dengar bacaan istighfar dengan lenggok nasyid, iaitu :
أستغفر الله العظيم ، الذي لا إله إلا
Kemudian berhenti seketika. Seterusnya baru disambung dengan sebutan :
هو الحي القيوم وأتوب إليه
Waqf / berhenti pada إلا, menyebabkan lari maknanya. Lihat terjemahan ini 👇🏻
Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung, yang mana Tidak ada Tuhan melainkan.
Kemudian pembacanya berhenti. Kan lari makna tu.
Setelah itu baru sambung dengan terjemahan : Dia lah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Mengurus Tadbir dan aku bertaubat kepada-Nya.
Maka sebutan zikir jika nak waqf / berhenti pada kalimah yang tepat ialah :
أستغفر الله العظيم ، الذي لا إله إلا هو
Aku mohon ampun kepada Allah yang Maha Agung, yang mana tidak ada Tuhan melainkan Dia.
Kemudian baru sambung : الحي القيوم وأتوب إليه | Tuhan Yang Maha Hidup lagi Maha Mengurus Tadbir, dan aku bertaubat kepada-Nya
Semoga bermanfaat
-----
Sumber asal: twitter Ustaz Fahmi Rusli
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://arnamee.blogspot.com/2023/03/salah-faham-terhadap-kepercayaan-dalam.html