Salah Faham Di Jalan Raya Berakhir Dengan Kekerasan Lelaki Dipukul Guna Kunci Stereng

Johor Bahru – Seorang lelaki dilaporkan cedera di bahagian muka selepas dipukul menggunakan alat pengunci stereng dalam satu kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham ketika memandu di Jalan Lingkaran Dalam, berhampiran simpang keluar sebuah stesen minyak, di sini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat memaklumkan, kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 2.21 petang semalam.
Menurutnya, polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing berhubung insiden berkenaan.
“Suspek yang tidak berpuas hati kemudian keluar dari kenderaannya sebelum bertindak memukul muka mangsa menggunakan alat pengunci stereng,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, akibat serangan itu mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka sebelah kiri dan telah mendapatkan rawatan lanjut.
Memetik laporan Harian Metro, kejadian tersebut dipercayai tercetus susulan perselisihan faham ketika memandu sebelum situasi bertukar tegang dan membawa kepada tindakan agresif.
Suspek Ditahan, Ujian Dadah Negatif
Bertindak atas maklumat yang diterima, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun bagi membantu siasatan, selain merampas alat pengunci stereng yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
“Ujian saringan air kencing ke atas suspek yang juga penganggur mendapati keputusan negatif dadah dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Permohonan reman terhadap suspek dijangka dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi tujuh saat yang memaparkan seorang individu mengambil alat pengunci kereta dari bonet sebelum memukul sebuah kenderaan yang dipercayai milik mangsa. – The Malaysian Update
The post Salah Faham Di Jalan Raya Berakhir Dengan Kekerasan, Lelaki Dipukul Guna Kunci Stereng appeared first on The Malaysian Update.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysianupdate.my/2025/12/28/salah-faham-di-jalan-raya-berakhir-dengan-kekerasan-lelaki-dipukul-guna-kunci-stereng/