Hukum Guna Tabung Sperma Suami Yang Sudah Meninggal Dunia Mufti Wp
Hukum Guna Tabung Sperma Suami Yang Sudah Meninggal Dunia – Mufti WP
Seorang wanita bergelar isteri pastinya menantikan detik paling indah dalam hidup, saat rahimnya mula dihuni oleh ‘versi kecil’ dirinya dan suami.
Namun, tidak semua perjalanan menuju gelaran “ibu” itu semudah yang disangka. Ada yang diuji dengan tangisan, penantian dan rasa sabar yang hampir terlerai.
Atas sebab itu, banyak pasangan yang berkemampuan memilih rawatan persenyawaan in vitro (IVF) sebagai ikhtiar untuk mendapatkan cahaya mata apabila sukar hamil secara semula jadi.
Namun persoalannya, bagaimana pula keadaan bagi pasangan yang telah lama berkahwin tetapi masih belum dikurniakan anak, dan kemudian si isteri ditinggalkan selama-lamanya apabila suami meninggal dunia?
Bagi menjawab persoalan ini, berikut merupakan penjelasan yang dikongsikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai hukum penggunaan tabung sperma suami yang telah meninggal dunia.
SOALAN
Assalamualaikum wbt,
Ada orang tanya isu bayi tabung uji. Sepasang suami isteri menyimpan 7 tabung sperma untuk bayi tabung uji. Tiba-tiba suami itu meninggal. Adakah boleh terus disenyawakan dengan ovum isteri setelah ketiadaan suami?
JAWAPAN
Waalaikumussalam wrm. wbt,
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Diharamkan bagi seorang balu menggunakan air mani suami yang telah meninggal dunia bagi tujuan menghasilkan bayi tabung uji. Ini kerana hubungan perkahwinan tamat apabila suami meninggal dunia.
Justeru, benih lelaki yang disimpan sebelum kematian tidak boleh digunakan oleh isteri untuk tujuan persenyawaan dan kehamilan.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-5 yang bersidang pada 16-17 November 1982 dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-6 yang bersidang pada 10 Oktober 1983 telah membincangkan Bayi Tabung Uji. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Bayi Tabung Uji dari benih suami isteri yang dicantumkan secara ‘terhormat’ adalah sah di sisi Islam. Sebaliknya benih yang diambil dari bukan suami isteri yang sah bayi tabung itu adalah tidak sah.
Bayi yang dilahirkan melalui tabung uji itu boleh menjadi wali dan berhak menerima harta pusaka dari keluarga yang berhak.
Sekiranya benih dari suami atau isteri yang dikeluarkan dengan cara yang tidak bertentangan dengan Islam, maka ianya dikira sebagai cara ‘terhormat’.
Antaranya kaedah bayi tabung uji yang diharamkan ialah menggunakan air mani suami yang disimpan Bank Sperma kemudian digunakan oleh isteri selepas kematian suami untuk tujuan kehamilan.
Berkata Syeikh Prof. Dr. Ali al-Qurahdaghi dalam kitabnya Fiqh al-Qadhaya al-Fiqhiyyah al-Mu`asirah (hlm. 574):
“Seperti mana persenyawaan itu mungkin berlaku semasa suami masih hidup, persenyawaan juga mungkin berlaku setelah suami mati. Hal itu berlaku apabila sesuatu (kehamilan) itu terhasil selepas kematian suami dengan menggunakan nutfah (air mani lelaki atau peringkat awal janin) yang diambil sebelum kematian suami lalu disimpan dalam suatu tempat yang dinamakan “Bank Sperma”. Persenyawaan jenis ini adalah haram secara qat`I sama ada dilakukan secara in-vitro (luar rahim) atau in-vivo (dalam rahim). Ini kerana hubungan perkahwinan tamat dengan kematian, justeru apabila berlaku persenyawaan maka itu berlaku dengan benih bukan suami lalu jadilah ia nutfah yang diharamkan. Sekiranya lahir juga anak daripada hal itu, maka zahirnya anak itu tidak dinasabkan kepada si suami selama mana punca benih itu tidak kekal hidup.”
Berdasarkan kenyataan di atas, kami bersetuju dengan pendapat ini bahawa tabung uji yang berisi air mani suami yang sudah meninggal dunia tidak boleh lagi digunakan dan hendaklah dihapuskan.
Ini sesuai dengan pandangan hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-1 yang bersidang pada 28-29 Januari 1981 bahawa sekiranya bank air mani telah sedia wujud maka kerajaan hendaklah bertindak untuk menghapuskannya.
Wallahua’lam.
Semoga bermanfaat.
BACA: Hukum Wanita Bekukan Sel Telur Kerana Lambat Nikah – Mufti WP
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
The post Hukum Guna Tabung Sperma Suami Yang Sudah Meninggal Dunia – Mufti WP appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/23/hukum-guna-tabung-sperma-suami-yang-sudah-meninggal-dunia-mufti-wp/