Salah Dr M Gelar Dong Zong Rasis Kata Kit Siang
MALAYAIAKINI
 
    Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata perdana menteri adalah salah  apabila menggelarkan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong sebagai  rasis.
Bagaimanapun katanya Dong Zong juga salah apabila mendakwa  pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi  tahun 4 di Sekolah Cina dan Tamil sebagai permulaan Islamisasi.
"Perdana  Menteri Dr Mahathir Mohammad salah menggelarkan Dong Zong sebagai  "rasis", tetapi Dong Zong juga tidak betul apabila mendakwa pembelajaran  tulisan khat bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia tahun 4 di Sekolah  Cina / Tamil bermula tahun 2020 sebagai permulaan Islamisasi," katanya  dalam satu kenyataan.
Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu juga  berkata terdapat 'teori konspirasi' bahawa isu yang menjadi kontroversi  itu dicipta oleh Menteri Pendidikan Maszlee Malik atau perdana menteri  bagi tujuan politik tertentu.
"Namun  sebenarnya, kontroversi subjek itu adalah warisan dari kerajaan lama  kerana keputusan muktamad mengenai buku teks baru untuk sekolah rendah  Cina / Tamil untuk memperkenalkan subjek khat untuk murid-murid Tahun  Empat pada tahun 2020 telah dibuat oleh Jawatankuasa Kurikulum  Kementerian Pendidikan yang dipengerusikan oleh menteri pendidikan dan  dua timbalan menteri pendidikan dalam satu mesyuarat pada 30 September  2015.
"Timbalan Menteri Pelajaran Teo hanya tahu tentang perkara itu ketika kontroversi itu meletup bulan lalu," tambahnya.
Semalam Dr Mahathir menyifatkan Dong Zong sebagai “rasis” kerana mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah sebagai satu bentuk "Islamisasi".

“Dong  Zong ini rasis. (Dahulu) kita buat sekolah satu kampus – Sekolah  Wawasan – sekolah Cina, sekolah Tamil, dan sekolah kebangsaan di dalam  satu kampus.
“Dia tak mahu (kerana) takut anak dia konon bercampur dengan orang Melayu. Jadi dia (Dong Zong) tak suka orang Melayu.
“Semua  dia bantah. Tak pernah setuju dia dengan apa-apa pun (keputusan  kerajaan),” kata Maahthir kepada media dalam satu majlis ramah mesra di  Langkawi.
Katanya sekiranya tiada perubahan kerajaan pada  9 Mei 2018, subjek itu mungkin diwajibkan dan dimasukkan dalam  peperiksaan di tiga jenis sekolah iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah  kebangsaan jenis Cina dan Tamil
"Akibat campur tangan DAP dalam  Kabinet, ketiga-tiga sekolah ini tidak diwajibkan, tidak ada paksaan,  tiada peperiksaan dan tidak ada pembelajaran / pengajaran tulisan khat,  tetapi hanya pengenalan.
"Terdapat cadangan bahawa subjek itu akan  dibatalkan di sekolah rendah Cina / Tamil, walaupun telah diajar selama  bertahun-tahun dalam buku teks murid tahun lima di sekolah rendah  berkenaan.
"Semasa saya berada di Salem, India pada  minggu lalu, saya perhatikan kenyataan Kementerian Pendidikan bahawa ia  masih "menerima pandangan pelbagai pihak untuk memastikan terdapat  pertimbangan yang wajar" sebagai menunjukkan Kementerian Pendidikan  masih terbuka untuk pandangan dan rundingan dari semua kumpulan dan  pihak yang berkenaan dengan subjek tersebut," katanya
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/08/salah-dr-m-gelar-dong-zong-rasis-kata.html