Sajat Tak Tahu Siapa Perlu Dirujuk Selesai Isu Identiti
MALAYSIAKINI 
Usahawan kosmetik Nur Sajat mengaku dia tidak tahu  siapa perlu dirujuk bagi menyelesaikan isu identitinya selepas tercetus  kontroversi ketika mengerjakan umrah.
Justeru, kata Nur Sajat, dia  sedia bertemu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) agar mudah diberi  panduan yang jelas lagi terperinci berhubung isu terbabit.
“Bukan  saya tak mahu buat laporan perubatan, sekarang mereka (Jakim) hanya  suruh saya pergi ke hospital tanpa sebarang surat sokongan.
“Kalau  betul mereka (Jakim) nak bantu, mereka sepatutnya keluarkan surat  rasmi. Saya tak tahu dengan siapa yang saya perlu rujuk. Kalau hendak  tolong, tolonglah betul-betul kalau tidak ia akan berpanjangan,” katanya  dipetik BH Online.
Terdahulu, tindakan Nur Sajat memakai  telekung ketika mengerjakan ibadah umrah dan berkongsi perkembangannya  di Tanah Suci melalui media sosial menimbulkan kegusaran dalam kalangan  umat Islam di negara ini.

Kontroversi  terbabit menarik perhatian pelbagai pihak termasuk mufti malah  mencetuskan kebimbangan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji  Malaysia (Papuh) jika Arab Saudi menarik balik penggunaan visa  pelancongan kepada jemaah Malaysia.
Namun, Nur Sajat mendakwa,  sebelum ini dia pernah cuba menyelesaikan masalah berhubung identiti  dirinya kepada pihak berkuasa, tetapi alasan diberikan adalah kesnya itu  berprofil tinggi.
“Saya pernah kena tipu, bukan saya tak cari  jalan penyelesaian. Kalau diikutkan, ibu bapa sudah memberi kerjasama  sebaik mungkin sejak saya dilahirkan.
“Namun, sekarang, saya yang perlu menanggung semua ini sendirian,” katanya.
Katanya, dia berharap isu mengenai identitinya itu dapat diselesaikan dengan kadar segera selagi kedua orang tuanya masih hidup.
“Ibu bapa Sajat boleh mengesahkan siapa saya... Tiada orang lain,” katanya.
Sementara  itu, mengenai dakwaan dia ditahan sewaktu berada di Tanah Suci, Nur  Sajat berkata, ibadahnya berjalan lancar selain dia tidak didatangi  mana-mana pihak berkuasa sepanjang tercetusnya kontroversi berkenaan.
“Di  sana, saya sangat tenang menunaikan umrah bersama ibu, ayah dan  anak-anak angkat. Malah, kehadiran saya disambut baik dan semua urusan  ibadat dipermudahkan.
“Saya berniat untuk menunaikan umrah setiap tahun selain ingin membawa stokis dan kakitangan pada masa depan,” katanya.
Bagaimanapun,  Nur Sajat mengaku dia kesal dengan tindakan segelintir individu yang  didakwa merakam imej dua anak angkatnya tanpa kebenaran dan kemudian  dimuat naik di media sosial. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/02/sajat-tak-tahu-siapa-perlu-dirujuk.html