Sabah Tubuh Jawatankuasa Teknikal Tangani Isu Pendatang Tanpa Izin
Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing Di Sabah yang diadakan secara dalam talian di pejabatnya hari ini. (Gambar Kementerian Kerja Raya Sabah)KOTA KINABALU: Sabah akan menubuhkan satu jawatankuasa teknikal bagi menyelaras semua keperluan untuk menangani isu pendatang tanpa izin (PTI) di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin.Beliau berkata, dengan adanya jawatankuasa berkenaan, satu keputusan dapat dicapai bagi memastikan isu PTI di Sabah ditangani secara menyeluruh.
“Isu PTI, pekerja asing dan keselamatan sempadan di negeri ini adalah isu yang tertunggak sejak sekian lama dan sehingga kini belum ada penyelesaian sepenuhnya,” kata beliau yang juga pengerusi jawatankuasa teknikal berkenaan.
Bung berkata, bagi menyelesaikan secara menyeluruh masalah yang sudah lama berlarutan di Sabah itu, usaha bersepadu pemimpin persekutuan dan negeri, termasuk orang ramai, diperlukan.
“Kita menaruh harapan dengan adanya jawatankuasa teknikal di peringkat negeri dan jawatankuasa pengurusan warga asing di peringkat pusat, kolaborasi bersama ini dapat dicapai untuk mempercepatkan tindakan supaya isu ini ditangani segara,” kata beliau.
Bung yang juga menteri kerja raya berkata, tidak seharusnya berlaku saling menuding jari di antara satu sama lain dalam usaha menyelesaikan isu PTI.
Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak tanpa mengira sokongan politik, bangsa, agama dan status dalam masyarakat supaya bersatu bagi memastikan negeri itu bebas daripada pekerja asing dan pelawat tanpa dokumen.
“Sebelum ini kita mendengar pandangan dan cadangan bernas bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini dari kalangan pemimpin dan orang biasa.
“Tetapi jika kita tidak bertindak dalam satu suara, tiada kejayaan kita akan capai untuk menangani isu ini,” kata beliau.
Terdahulu, mesyuarat hari ini dipengerusikan Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Ismail Mohamad Said dan turut disertai pegawai-pegawai kanan jabatan serta agensi berkaitan. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2021/04/sabah-tubuh-jawatankuasa-teknikal.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+MalaysiansMustKnowTheTruth+%28Malaysians+Must+K