Rupanya Ini Sebab Sebenar Tayar Kenderaan Ada Rambut
Rupanya Ini Sebab Sebenar Tayar Kenderaan Ada ‘Rambut’
Jika anda perasan, hampir setiap tayar baru yang dipasang pada kereta ada kelihatan seperti ‘rambut’ halus keluar dari permukaannya.
Tidak dinafikan, ramai pemilik kenderaan yang tersilap anggap fungsi sebenar ‘rambut’ ini. Ada yang percaya ia membantu cengkaman, atau sebagai tanda tayar belum diuji.
Tapi, ‘rambut’ halus yang terkeluar daripada permukaan sisi tayar, terutamanya di bahagian tepi atau dikenali sebagai sidewall, dikenali sebagai “vent spews” atau “tire whiskers”.
Menurut Will Robbins, Pengarah Eksekutif Perancangan Strategik Produk Bridgestone Americas, ‘rambut’ ini terhasil secara automatik semasa proses pembuatan tayar.
Ini khususnya ketika proses vulkanisasi, iaitu apabila getah mentah dicetak dan dipanaskan dalam acuan berbentuk corak bunga tayar.
Tujuan utama vent spews ini adalah untuk menyempurnakan proses pembuatan tayar.
Semasa tayar dibentuk, lebihan getah dan udara yang terperangkap dalam acuan perlu dikeluarkan untuk memastikan tayar terbentuk dengan sempurna tanpa sebarang kecacatan.
Setiap acuan tayar mengandungi lubang-lubang halus kecil sebagai laluan keluar bagi udara dan getah berlebihan.
Apabila getah masuk ke dalam lubang-lubang ini, ia membentuk benang halus yang kelihatan seperti rambut di permukaan tayar.
Margarette Stine, pakar automotif dari 4WheelOnline menjelaskan, ‘rambut’ ini sebenarnya menjadi tanda visual bahawa tayar terbentuk dengan baik, tiada gelembung udara atau kecacatan dalaman yang boleh menjejaskan keselamatan.
Bagaimana jika tayar tiada ‘rambut’?
Jangan panik jika tayar anda sudah tidak ada ‘rambut’ ini. Ia normal untuk hilang sendiri apabila tayar digunakan. Geseran semasa pemanduan akan menyebabkan ‘rambut’ tersebut haus dan tanggal.
Namun, jika anda sedang membeli tayar baru, ketiadaan ‘rambut’ boleh menjadi tanda tayar sudah lama disimpan atau mungkin pernah digunakan.
Jadi, periksa tarikh pengeluaran dan pastikan tayar benar-benar baru sebelum membeli.
Adakah selamat untuk buang ‘rambut’ tayar?
Menurut Reader’s Digest, anda boleh membuangnya jika tidak suka dari segi penampilan, tetapi tidak wajib.
Gunakan gunting yang sangat tajam atau alat pengasah halus jika ingin membuangnya. Jangan sesekali potong terlalu dalam kerana ia boleh merosakkan permukaan tayar dan menjejaskan struktur dalaman.
Jika dilakukan secara cuai, ia boleh mengurangkan daya ketahanan tayar dan seterusnya membahayakan keselamatan anda di jalan raya.
Kenapa pengeluar tak buang ‘rambut’ ini?
Sebenarnya, tiada keperluan untuk membuangnya. Kehadiran ‘rambut’ ini menjadi penanda bahawa tayar itu adalah baru dan telah melalui proses pengacuan dengan sempurna.
Ia juga tidak memberi kesan terhadap prestasi atau keselamatan ketika memandu. Hakikatnya, ia hanyalah sisa dari proses pembuatan dan tidak berfungsi selepas tayar digunakan.
BACA: Ini Sebab Sebenar Kenapa Ada Cermin Dalam Lif
BACA: Ketahui Sebab Sebenar Ais Selalu Berbentuk Petak
BACA: Ketahui Sebab Otot Betis Dipanggil “Jantung Kedua” Manusia
Sumber: Reader’s Digest
The post Rupanya Ini Sebab Sebenar Tayar Kenderaan Ada ‘Rambut’ appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/08/03/rupanya-ini-sebab-sebenar-tayar-kenderaan-ada-rambut/