Rumah Terbuka
Budaya unik rumah terbuka wajar diteruskan
Sudah menjadi amalan rakyat Malaysia, tradisi atau amalan rumah terbuka seakan-akan menjadi kemestian bagi setiap perayaan utama seperti Hari Raya, Deepavali dan Tahun Baharu Cina.Aidilfitri misalnya disambut meriah setiap tahun oleh semua kaum di negara ini tanpa mengira agama dan keturunan. Masyarakat Melayu rata-rata akan mengadakan rumah terbuka bagi meraikan tetamu dan jiran tetangga serta rakan taulan, jauh dan dekat. Pelbagai juadah disediakan bagi menjamu tetamu yang dinantikan kehadirannya
Pada asasnya, kita melihat amalan rumah terbuka sekadar untuk meraikan rakan taulan dengan hidangan disediakan, tetapi ada rahmat yang tersembunyi di sebalik amalan rumah terbuka. Antaranya ialah ia dapat memupuk semangat kekitaan dan kejiranan. Warga kota misalnya, mereka tidak punya banyak masa untuk berkenal kenalan dengan lebih rapat dengan jiran mereka disebabkan kesibukan mengejar masa dan kerjaya
Justeru, tradisi rumah terbuka secara tidak langsung merapatkan hubungan antara jiran tetangga. Inilah peluang untuk mereka mengambil tahu mengenai siapa dan apa pekerjaan jiran serta keluarga mereka. Era globalisasi kini sudah banyak menjarakkan hubungan antara manusia dengan kehadiran gajet yang canggih sehingga seorang manusia itu tidak bergaul lagi dengan orang di sekeliling. Situasi sebegini amat sukar untuk dibendung apatah lagi kesibukan dengan kerjaya masing-masing
Jadi, amalan rumah terbuka, sedikit sebanyak memberi ruang kepada ahli kejiranan untuk sekurang-kurangnya mengenali jiran mereka
Fahami budayaAmalan rumah terbuka juga sangat berperanan dalam memupuk semangat perpaduan antara kaum di Malaysia. Dengan menghadirkan diri ke rumah terbuka sesuatu kaum itu, dapat melihat dan menyaksikan budaya masyarakat lain. Sebagai contohnya ketika rumah terbuka Aidilfitri, kaum bukan Melayu akan mengetahui budaya makanan, hiasan serta hati budi masyarakat Melayu. Tidak dinafikan masyarakat bukan Melayu akan teruja dengan hidangan masakan Melayu seperti rendang, ketupat, soto, lemang dan sebagainya, yang tidak ada dalam menu rumah terbuka atau ketika perayaan agama lain
Bagi kaum bukan Melayu, mereka tidak akan dapat merasakan pelbagai makanan tradisi orang Melayu ini tanpa rumah terbuka. Walaupun pada masa kini, sudah wujud banyak gerai yang menjual makanan itu, ia tidak sama dengan hidangan ketika hari perayaan. Masyarakat Malaysia perlu tahu bahawa makanan adalah sebahagian daripada asas perpaduan kaum di negara ini. Begitu juga dengan orang Melayu, mereka tidak akan dapat merasai makanan tradisi orang Cina dan India kecuali ketika amalan rumah terbuka
Amalan muliaSelain itu, masyarakat bukan Melayu juga akan melihat budaya rumah orang Melayu serta amalan mulia orang Melayu yang bersalam salaman serta cara bagaimana orang Melayu melayan tetamu. Semua ini pengalaman berharga yang patut diamati bukan Melayu supaya mereka memahami budaya Melayu dengan lebih dekat lagi
Pemahaman yang mendalam terhadap budaya orang Melayu sebenarnya akan menjadikan seseorang bukan Melayu itu sentiasa diterima oleh orang Melayu. Hanya dengan pemahaman mendalam terhadap budaya bangsa lain saja yang boleh mewujudkan rasa hormat menghormati di antara satu sama lain
Situasi yang sama juga berlaku kepada orang Melayu. Jika mereka tahu adat dan budaya orang Cina atau India, mereka juga akan diterima baik oleh bukan Melayu
Budaya rumah terbuka akan mendidik sikap hormat menghormati terhadap amalan kaum lain. Dalam hal ini, orang bukan Melayu seperti Cina dan India akan melihat bagaimana budaya orang Melayu itu dipengaruhi agama mereka iaitu agama Islam. Tidak kira dalam apa juga aspek seperti bersalaman, pakaian serta makanan. Perkara sama juga akan dipraktikkan apabila orang Islam mengunjungi rumah terbuka bagi agama lain
Jadi, di sini, secara tidak langsung rumah terbuka akan mendidik jiwa masyarakat pelbagai kaum di negara ini untuk menerima kepelbagaian budaya yang wujud di negara ini. Sejak akhir-akhir ini dilihat begitu banyak individu tertentu yang sengaja menimbulkan isu sensitiviti keagamaan dengan menghina agama lain. Sikap sebegini tidak seharusnya timbul jika individu itu tahu ajaran agama lain seperti apa yang dilarang dan apa yang diwajibkan oleh ajaran Islam sebagai contohnya
Ada beberapa perkara yang orang Islam tidak boleh buat dan tidak boleh lakukan, perkara haram, perkara wajib, perkara harus serta makruh ada dalam ajaran Islam
Jadi jika perkara ini tidak diambil tahu oleh penganut agama lain, maka dengan mudahlah mereka menghina ajaran agama Islam dan masyarakat Melayu. Bagi masyarakat Melayu pula, mereka juga perlu tahu apakah taboo dan pantang larang masyarakat Cina dan India supaya lahir rasa hormat terhadap orang lain juga
Amalan rumah terbuka adalah keunikan yang hanya ada di Malaysia dan tidak ada di negara lain. Tradisi ini perlu diteruskan dan perlu menjadi contoh kepada generasi baharu bahawa negara ini mempunyai cara tersendiri untuk memupuk perpaduan dan keharmonian antara kaum
Ia adalah amalan nenek moyang orang Melayu, Cina dan India sejak turun temurun dan diharap ia terus kekal di tengah modenisasi dan globalisasi yang ada kalanya boleh menghakis jati diri dan sifat kemasyarakatan
sumber : https://www.bharian.com.my/node/70147
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://cuit-cuitbahasa.blogspot.com/2019/01/rumah-terbuka.html