Rule Of Law Ph Hanya Alat Untuk Lindung Orang Mereka Isma
Oleh Athirah Huda Zalhe  Anwar nak jumpa Tun M bincang hukuman penjara terhadap Wan Ji

BANGI– Tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikai hukuman  setahun penjara yang dijatuhkan ke atas aktivis Islam liberal, Wan Ji  Wan Hussin, menonjolkan sikap buruk pimpinan parti itu dan gabungan  Pakatan Harapan (PH) yang mencabuli konsep pemisahan kuasa.
Semalam,  Anwar dilaporkan akan bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir  Mohamad untuk membincangkan mengenai hukuman penjara setahun yang  dikenakan terhadap Wan Ji, mengikut Akta Hasutan kerana menghina Sultan  Selangor.
Ahli Parlimen Port  Dickson itu menyifatkan hukuman berkenaan sebagai kerangka pemikiran  usang, lapuk dan jumud yang masih wujud dalam pentadbiran.
Menyelar  sikap pemimpin parti kerajaan PH, Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma),  sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Ustaz Abdullah Zaik Abd  Rahman berkata, tindakan Anwar itu juga secara tidak langsung  menunjukkan pembohongan PH, yang kononnya, patuh kepada ‘rule of law’.
“Mereka bertindak masuk campur urusan kehakiman untuk puak PKR dan PH sahaja. 
“Jika  hukuman itu dikenakan ke atas orang lain, mereka tidak bersegera untuk  membela. Tetapi, oleh kerana Wan Ji adalah orang PKR yang buat salah,  undang-undang dan hakim dianggap tak betul dan jumud,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Mengulas  lanjut, beliau berkata, sikap yang ditonjolkan PH jelas tidak selari  dengan pendirian kerajaan yang kononnya menekankan kakitangan awam  supaya menjalankan tugas mengikut undang-undang.
“Sikap  PKR ini sama saja dengan rakan komponennya DAP. Mereka nak jadikan  instrumen kehakiman, penguatkuasaan sebagai alat untuk melindungi orang  mereka, bukan menjaga kepentingan awam,” katanya.
Wan  Ji, 37, ditahan di Penjara Kajang, sejak semalam selepas Mahkamah  Tinggi Shah Alam menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan  bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina  terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.
Bekas  Penasihat agama, Lim Guan Eng itu terpaksa meringkuk di penjara selepas  Hakim Datuk Abdul Halim Aman meminda hukuman berkenaan kepada setahun  penjara terhadap Wan Ji selepas mempertimbangkan rayuan silang pihak  pendakwaan.
Wan Ji didakwa  pada 10 September 2014, menerbitkan perkataan yang menghina Sultan  Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook  dengan nama wanji.attaaduddi.
Dia  dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha  Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul  Aziz Shah, Seksyen 5, Shah Alam, pada 10 pagi, 5 November 2012.
Jika  sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 4(1)(c)  Akta Hasutan 1948 iaitu denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih  tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Untuk kesalahan kedua dan seterusnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/07/rule-of-law-ph-hanya-alat-untuk-lindung.html