Rokok Seludup Denda Rm100 000 Sebat
MyMetro
Skuad Khas Harian Metro
[email protected]INFO GRAFIK.
KUALA LUMPUR: Cadangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) supaya Akta Kastam 1967 dipinda bagi menaikkan denda, minimum RM100,000 dan sebatan terhadap mereka yang menjual arak dan rokok seludup disambut baik Ahli Parlimen.
Kegiatan menyeludup dan menjual rokok seludup ini membawa kehilangan hasil yang banyak kepada kerajaan sebanyak lebih RM4 bilion setahun dan pada masa sama kini kerajaan perlu menanggung hutang negara lebih RM1 trilion.
Mereka yang bergiat ini terus menikmati kehidupan mewah dan mengaut keuntungan lebih jutaan ringgit setiap tahun manakala negara dan rakyat sengsara.
Namun elemen korupsi yang menjadi punca kepada kegiatan tidak amanah ini perlu bernoktah. Kerajaan perlu lebih bertegas kerana di bahu mereka diletakkan kepercayaan untuk membawa kemakmuran dan manfaat kepada seluruh rakyat.
Beberapa Ahli Parlimen yang ditemui bersetuju dengan saranan KP JKDM itu dan mahu pindaan segera ke atas Akta Kastam 1967 dibuat dalam persidangan Parlimen yang sedang berlangsung sekarang yang mana jika undang-undang sedia ada dapat dipinda dan ditambahbaik, kegiatan penyeludupan rokok seludup dapat dibanteras. sekaligus berjaya mengembalikan pendapatan negara yang hilang.
Berikut adalah beberapa komen
•“JKDM akan meningkatkan penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan rokok serta menyasarkan kutipan semula cukai sekurang-kurangnya RM1 bilion” Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
•”Apa yang kita cadangkan kepada kerajaan adalah satu jumlah (penalti) yang berat iaitu minimum RM100,000, walaupun premis itu menjual hanya satu karton rokok atau sebotol arak seludup. Kita juga mengesyorkan supaya sebatan turut dikenakan kepada pesalah” Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri T Subromaniam.
•”Saya bersetuju dan menyokong saranan ini kerana penyeludupan dan penjualan arak serta rokok amat serius. Selain menyebabkan negara rugi, ia juga membabitkan barangan yang tidak diketahui latar belakang pengeluarnya serta bahan digunakan. Ada kemungkinan rokok atau arak tersebut menggunakan bahan yang boleh merosakkan kesihatan dan nyawa orang awam” Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye.
•”Undang-undang sedia ada sepatutnya sudah lama dipinda bagi membanteras kegiatan penyeludupan rokok yang merugikan negara. Benda ini sepatutnya sudah lama dibuat dan diperketatkan lagi kerana ia membawa kerugian kepada negara. Saya bersetuju saranan JKDM melakukan pindaan kepada undang-undang itu. Jika ia dilaksanakan saya yakin masalah ini dapat dibanteras kerana orang akan takut” Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
•”Saya setuju undang-undang ini dipinda. Saya juga mahu undang-undang khas diperkenalkan supaya peniaga yang menjual rokok kepada remaja bawah umur dikenakan tindakan lebih tegas. Perkara ini saya pernah cakap di parlimen dan meminta semua pihak meningkatkan penguatkuasa berpakaian preman dalam melakukan pemeriksaan di kedai yang mencurigakan termasuk menjual rokok seludup” Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
•”Pelaksanaan undang-undang yang ketat sebegini diyakini mampu membanteras kegiatan penyeludupan rokok seludup di seluruh negara. Namun, penguatkuasaan dan pegawai JKDM yang berintegriti diperlukan dalam menjayakannya” Pakar Kriminologi, Datuk Akhbar Sattar.
•”Cadangan supaya memperuntukkan denda lebih tinggi dan sebatan adalah wajar. Penjualan rokok seludup sudah ada di mana-mana termasuk di tempat saya sendiri kerana orang ramai terutama remaja boleh beli di kedai tertentu.” Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.
•”Undang-undang perlu diperketatkan lagi. Perlu pastikan undang-undang dikuatkuasa dengan telus dan berkesan untuk pastikan cukai dikutip dengan menyeluruh. Penyeludup (rokok) dapat keuntungan namun pada masa sama tidak bayar cukai jadi saya memang setuju jika undang-undang sedia ada diperketat dan dipinda bagi membanteras kegiatan haram ini” Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 11:04 AM
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2018/11/rokok-seludup-denda-rm100000-sebat.html