Rm100 Kami Bukan Budak Sekolah
Pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) bernilai RM100 disambut ‘sinis’ oleh golongan bujang yang menyifatkan mereka bukan budak sekolah.
Mengakui bersyukur sekurang-kurangnya kerajaan memberikan bantuan, namun jumlah tersebut seolah-olah menggambarkan golongan bujang yang kebanyakannya membantu memberi kemenangan kepada Pakatan Hadapan dalam pilihan raya lalu seperti tiada ‘nilai’.
Seorang juruteknik, Muhamad Fadzlul Hadi Ishak, 30, berkata, pertimbangan kerajaan memberikan bantuan RM100 ini disifatkan sebagai tidak munasabah di saat mereka terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi.
Kata Muhamad Fadzlul, kerajaan dilihat begitu kedekut dalam menyalurkan bantuan kepada golongan bujang yang rata-ratanya turut berdepan dengan kesempitan hidup.
“Bukan tidak bersyukur tetapi bantuan RM100 seolah-olah kami seperti budak sekolah yang turut mendapat bantuan dengan jumlah sama. Kalau kerajaan dulu boleh bagi RM450, mengapa sekarang semuanya mahu potong.
“Susah sangatkah kerajaan hendak keluar duit untuk rakyat. Berkaitan rakyat semuanya hendak dikaji. Tolanglah berikan perhatian sama kepada golongan bujang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Semalam Kementerian Kewangan mengumumkan akan membuat bayaran RM100 kepada setiap individu yang berdaftar di bawah kategori bujang dalam pangkalan data BSH 2018 pada hujung Mac ini.
Guan Eng dilaporkan berkata, bayaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank penerima pada hujung Mac ini dan bantuan berkenaan memberi manfaat kepada lebih tiga juta individu dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM300 juta.
Pereka grafik, Azizi Razali, 34, berkata, dia berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda selain meneruskan pemberian bantuan sara hidup dengan jumlah sama seperti kerajaan terdahulu.
Katanya, pemberian sesuatu bantuan itu bukan menunjukkan golongan bujang ini malas sebaliknya peruntukan itu sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban mereka.
“Jika dahulu bantuan RM450 lepaslah duit minyak atau perbelanjaan lain, sekarang RM100 tidak tahulah boleh buat apa, lepaslah makan dan minyak pada hari itu,” katanya.
Azizi Bakar,35, pula berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menambah pemberian bantuan berkenaan selaras dengan janji mereka untuk membela nasib rakyat apabila memang pilihan raya.- UTUSAN ONLINE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/02/20/rm100-kami-bukan-budak-sekolah/