Rm1 4 Bilion Untuk Pembangunan Kelantan Azmin
Muhafandi Muhamad, Astro Awani                                                                                                

                                Datuk  Seri Mohamed Azmin Ali (kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis  Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan sempena lawatan kerja di Pejabat Lembaga  Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tunjong, pada Khamis. - Foto  BERNAMA                                                                                                                           
KOTA BHARU: Kerajaan  Persekutuan memperuntukan sebanyak RM1.4 bilion untuk pembangunan di  Kelantan menerusi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11  (RMK-11).
 Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin  Ali berkata, peruntukan itu bertambah sebanyak RM200 juta berbanding  sebelum ini.
 Katanya, lima projek pembangunan yang akan diberi  keutamaan termasuk membesarkan dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan  Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa; Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3  (LPT3); Lebuhraya Central Spine Road (CSR); Jambatan Palekbang dan  jalan  raya Pasir P-Machang-Jeli.
 “Kelantan juga antara negeri yang diberi keutamaan untuk mendapat agihan peruntukan pembangunan dalam RMK-11.
 “Sejumlah RM1.4 bilion telah diperuntukkan untuk tujuan pembangunan di  Kelantan sebagai sumbangan Kerajaan Persekutuan dan kita harap ada  penyelarasan,” katanya selepas mesyuarat Majlis Tindakan Negeri dan  perjumpaan dengan penjawat awam di Tunjung, yang pertama kali diadakan  selepas menjawat jawatan pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negeri.
BACA: Azmin Ali menghadap Tengku Mahkota Kelantan mohon pedoman   
 Beliau menjelaskan keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Majlis  Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Isnin lalu yang  dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
  Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob;  Menteri Besar Terangganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar  Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Johor, Datuk  Osman Sapian.
 Jelas Mohamed Azmin, Perdana Menteri ingin melihat  pembangunan di semua wilayah di negara ini dan memberikan keutamaan  kepada enam negeri termasuk Kelantan, Sabah dan Sarawak.
 Katanya, peruntukan sebanyak RM450 juta bagi membesarkan dan menaik taraf LTSIP dijangka akan bermula akhir tahun ini.
 Ujarnya, pembesaran lapangan terbang itu perlu dilaksanakan  memandangkan berlaku kesesakan luar biasa pada masa ini apabila  penumpang melebihi kapasiti 1.5 juta orang.
 Pembesaran LTSIP dijangka akan dapat menampung lebih empat juta penumpang pada satu-satu masa.
 Beliau berkata, projek LPT3 dari Gemuruh, Terengganu hingga Tumpat  sejauh 150km diberi keutamaan bagi membangunkan ekonomi di kawasan  pesisiran pantai dan dapat memajukan Pelabuhan Tok Bali serta memastikan  industri di kawasan pembangunan dapat dikeluarkan dengan lebih efisyen.
 Tambahnya, projek itu adalah komitmen Kerajaan Persekutuan untuk  mewujudkan pembangunan komprehensif yang memberi impak yang besar kepada  rakyat Kelantan termasuk peluang pekerjaan.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/rm14-bilion-untuk-pembangunan-kelantan.html