Reka Bentuk Ppr Pengaruhi Tekanan Mental Penghuni Semasa Pkp
   Shureen Faris Abd Shukor
 
 Menikmati pemandangan persekitaran hijau dari tingkap mungkin menjadi sebahagian daripada normal baru akibat pandemik Covid-19.
 Berdasarkan banyak kajian berkaitan reka bentuk landskap dan aspek  psikologi persekitaran, memandang persekitaran luaran hijau terbukti  mampu mengurangkan tekanan mental dan meningkatkan daya tumpuan  seseorang.
 Namun, realitinya tidak semua masyarakat bernasib baik mempunyai laman rumah yang terbentang luas untuk dinikmati.
     Satu kajian pada April 2020 mengenai kesan perintah kawalan  pergerakan (PKP) di Malaysia menunjukkan 25% sehingga 32% individu yang  menghadapi tekanan mental merupakan penghuni perumahan kos rendah  seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan mereka lebih terkesan dengan  isu kesihatan mental seperti kemurungan, keresahan dan kerisauan  melampau.
 Antara faktor menyumbang kepada tekanan mental ialah kesesakan ruang  dalam rumah yang dikongsi isi keluarga ramai. Keluasan 650 hingga 700  kaki persegi tidak dapat menampung isi rumah yang ada kalanya mencapai 3  generasi sejak berpindah ke PPR.
 Apakah perubahan yang boleh dilakukan untuk membolehkan penghuni  perumahan kos rendah, terutamanya di PPR menikmati keselesaan serta  memaksimakan manfaat kawasan hijau secara visual?
 Satu kajian telah dijalankan secara temubual telefon dengan penghuni PPR terpilih di sekitar Kuala Lumpur.
Kajian ini dijalankan dari 25 sehingga 29 April lalu bersama seorang  wakil penduduk dari 6 PPR dan satu perumahan awam, iaitu PPR Batu Muda  di Sentul, PPR Keramat, PPR Hiliran Ampang, PPR Sungai Bonus di Setapak,  PPR Seri Semarak, PPR Kampung Air Panas serta Perumahan Awam Desa  Rejang.
 Tujuan kajian ini adalah untuk mengetahui pendapat penghuni  tentang isu yang menyumbang kepada masalah tekanan mental serta  pengesahan mengenai kesan positif pandangan luaran hijau ke atas  penghuni.
 Rumusan daripada kajian itu mendapati hampir semua yang ditemubual  bersetuju salah satu cara mengurangkan tekanan mental jika PKP  dilanjutkan ialah peluang memandang ke luar secara terus seperti di  balkoni.
 Namun, situasi ketika ini ialah flat PPR dan perumahan awam tidak  mempunyai balkoni untuk penghuni berasa sedikit lega menikmati  pemandangan luar. Keadaan seolah-olah terperangkap dengan 4 dinding  menyebabkan penghuni berdepan tekanan mental.
 Saranan ini antara yang terpenting kerana terdapat teori mengatakan  pandangan luar dari tingkap dapat mengurangkan tekanan dengan satu  kajian yang dijalankan hampir 31 tahun lalu di hospital di Pennsylvania,  Amerika Syarikat yang sering menjadi tanda aras sebilangan besar  penyelidik tentang kesan pandangan hijau.
 Untuk kajian di PPR ini, 5 daripada 8 wakil yang ditemubual membuat  perbandingan dengan kediaman kos rendah sebelum dipindahkan ke PPR.  Mereka berpendapat kurang tekanan ketika berada di balkoni semasa  tinggal di flat lama seperti Flat Pekeliling dan Flat Seri Terengganu.
 Bagaimana pula dengan persekitaran hijau di kawasan PPR? Hasil  daripada temubual mendapati terdapat padang permainan serta padang yang  disediakan pihak berkuasa.
 Namun, sebahagian daripada penghuni PPR perlu memohon untuk  mendapatkan kemudahan rekreasi di tempat mereka. Dalam senario terburuk,  ada kawasan hijau dan padang permainan yang perlu dikorbankan di  kawasan PPR untuk memberi laluan kepada tempat letak kenderaan yang  jumlahnya di luar kawalan.
 Perubahan perlu dilakukan untuk pembinaan rumah kos rendah di  Malaysia. Spesifikasi yang diguna pakai untuk keluasan ruang, iaitu  Standard Perumahan Kebangsaan bagi Perumahan Kos Rendah Rumah Pangsa  tidak boleh digunakan lagi. Normal baru daripada pelaksanaan PKP perlu  diambil kira dalam pembinaan rumah.
 Mental kanak-kanak tidak dapat berkembang dan masalah sosial  bertambah kerana mereka perlu keluar dari ruang yang menyesakkan minda  serta fizikal.
 Seorang penghuni berkata, anaknya akan menggunakan koridor di depan  rumah apabila membuat kerja sekolah yang diberikan secara atas talian  ketika PKP. Laluan sama juga digunakan sebagai ruang untuk menjemur  pakaian.
 Peluang untuk menikmati pemandangan luar perlu diambil kira, di  samping aktiviti isi rumah yang lain. Aktiviti berkebun, pembelajaran  anak di rumah dan aktiviti sosial lain boleh dilakukan di balkoni yang  dijadikan ruang pelbagai guna.
 Tingkap lebih besar juga boleh disarankan untuk memaksimakan visual  ke luar. Contoh perumahan yang boleh dilihat adalah di Sao Paulo, Brazil  iaitu kediaman terbesar di Amerika Latin yang dinamakan “The Copan”.
 Kawasan hijau di persekitaran PPR perlu diberi penekanan oleh pihak  berkuasa terbabit. Reka bentuk landskap luaran hijau harus mengambil  kira bagaimana ia boleh dinikmati bukan saja secara fizikal, tetapi juga  secara visual.
 *Shureen Faris Abd Shukor ialah pensyarah Jabatan Senibina Landskap Universiti Putra Malaysia.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/05/reka-bentuk-ppr-pengaruhi-tekanan.html