Rehatkan Pemimpin Bermasalah Pastikan Umno Terus Relevan

UMNO menyambut ulang tahun ke-76 pada 2022 dalam suasana yang boleh  dianggap 'megah' apabila kembali meneraju kerajaan Persekutuan selepas  melalui pelbagai liku politik sukar pasca Pilihan Raya Umum Ke-14  (PRU-14).
 Ranjau politik dilalui UMNO dianggap pemerhati politik sebagai era  suram kepada UMNO kerana kali pertama gagal membentuk kerajaan  Persekutuan sejak penubuhannya. 
Nasib UMNO ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila bukan saja kalah  pada PRU-14, malah terpaksa mengharungi pergolakan dalaman paling sukar  ketika pemilihan parti pada 2018.
 Beberapa pemimpin tertinggi UMNO didakwa di mahkamah atas tuduhan  rasuah, manakala 16 Ahli Parlimennya bertindak meninggalkan parti. 
 Situasi ini memberi tamparan hebat kepada UMNO sehingga dilihat  tidak lagi relevan dalam politik semasa Malaysia dan disaingi rapat  seteru utamanya iaitu BERSATU yang secara terbuka menawarkan platform  menggantikan UMNO sebagai parti baharu untuk orang Melayu. 
 Namun, UMNO mula mengorak langkah kanan selepas itu apabila berjaya  mewujudkan kerjasama politik kali kedua dengan PAS untuk membentuk  Muafakat Nasional (MN). 
 Kerjasama politik ini membuahkan hasil bukan sekadar memulihkan  hubungan kedua-dua parti, tetapi calon yang mendukung kerjasama politik  itu berjaya memenangi kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di  Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Parlimen Cameron Highlands dan  Tanjung Piai. 
 Pembentukan MN ini membuktikan kerjasama politik sangat diperlukan  ketika UMNO berhadapan dengan suasana politik dinamik dan parti yang  tewas berusaha mencetuskan semula momentum pengaruhnya dalam kalangan  rakyat. 
 Ketika UMNO sedang memulihkan tenaga politiknya, kerajaan  Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tumbang akibat tindakan  BERSATU menarik diri daripada pembentukan kerajaan, beberapa Ahli  Parlimen PKR dipecat dan meninggalkan parti berkenaan.
 Susulan peristiwa itu, UMNO bersama PAS, BERSATU dan disokong  Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak melepaskan peluang merintis kerjasama  dengan membentuk gabungan politik baharu dinamakan Perikatan Nasional  (PN).
 Ini adalah kunci utama kepada UMNO untuk kembali sebagai kerajaan  Persekutuan dan di beberapa negeri yang sebelumnya dikuasai PH. 
 Pembentukan kerajaan PN ini juga sebenarnya berjaya memperkukuhkan  dominasi UMNO dalam kerajaan, malah kedudukan parti ini semakin kuat  apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipilih menerajui kerajaan  menggantikan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 Pelantikan Ismail Sabri dilihat sebagai nyawa kedua kepada UMNO  selepas PRU-14 dan mencatatkan sejarah tersendiri apabila untuk kali  pertama seorang Naib Presiden dilantik menjawat jawatan berkenaan. 
 Keadaan ini menuntut UMNO perlu menyesuaikan partinya berdasarkan  kedinamikan politik semasa negara kerana buat kali pertama Naib  Presidennya diangkat sebagai Perdana Menteri.
 Namun, jangkaan ini meleset apabila Ismail Sabri dilihat berhadapan  dengan tekanan secara tidak langsung dalam beberapa isu seperti  pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN),  pengeluaran KWSP kali kedua dan desakan pembubaran Parlimen ketika  Perhimpunan Agung UMNO 2021. 
 Tekanan secara tidak langsung ini merugikan UMNO yang sedang  menerajui kerajaan dan beberapa pemimpin parti sewajarnya memberi  dukungan penuh kepada pentadbiran Ahli Parlimen Bera ini. Hal ini  kerana, pelantikan beliau adalah peluang paling bernilai kepada UMNO  untuk memulihkan keyakinan, pengaruh dan imejnya dalam kalangan rakyat. 
 Berdasarkan perkembangan politik semasa, UMNO perlu bermuhasabah  dengan kekalahannya pada PRU-14 dan bersyukur menerima peluang untuk  kembali menerajui Persekutuan, meskipun perlu bekerjasama dengan parti  politik lain termasuk saingannya, BERSATU.
 UMNO perlu berwaspada dengan peluang kedua diperoleh mereka hari ini  dengan mengubah pendekatan politik dan bertindak menangani punca  masalah dalaman parti daripada terus menyekat pemulihan.
 Misalnya pemimpin yang masih dalam perbicaraan di mahkamah perlu  direhatkan daripada bertanding ataupun berkempen bagi memastikan imej  UMNO terus kekal bersih. 
 Jika keadaan ini dapat dilaksana ia dijangka mengembalikan keyakinan  ahli dan rakyat kepada UMNO, sekali gus memberi peluang lebih cerah  kepada parti untuk menang besar serta kembali menerajui kerajaan dengan  majoriti lebih dua pertiga di Parlimen. 
 Kemampuan UMNO untuk kembali menang dengan majoriti lebih dua  pertiga tanpa calon bermasalah dan muka baharu terbukti pada Pilihan  Raya Negeri (PRN) Melaka serta Johor yang lalu. 
 Formula ini wajar diguna pakai pada peringkat Persekutuan dan  kepemimpinan parti perlu berjiwa besar serta terbuka untuk memberikan  laluan kepada calon bersih salah laku untuk bertanding pada PRU-15 akan  datang. 
 Selain itu, UMNO perlu berani mengambil tindakan dan memecat  pemimpin parti yang bertindak sendirian serta mengingkari prinsip  ditetapkan.
 UMNO mengetahui ada pemimpinnya yang memberikan sokongan secara sulit dan bekerjasama dengan pemimpin pembangkang. 
Namun, ada antara mereka sehingga kini masih tidak dikenakan sebarang  tindakan antaranya Tengku Razaleigh Hamzah yang secara terang-terangan  melanggar disiplin parti membentuk gabungan politik baharu di Kelantan  dengan parti pembangkang. 
 Situasi ini menggambarkan UMNO tidak mampu mengawal masalah dalaman  parti, takut mengambil tindakan dan dipimpin oleh kepemimpinan lemah  dalam menyelesaikan pengkhianatan dalam parti. 
 Justeru, UMNO perlu bertindak berani sebelum PRU-15 supaya pemimpin  bermasalah tidak mengheret parti bersama mereka terjerumus ke dalam  kancah kekalahan sekali lagi seperti berlaku pada PRU sebelum ini.
 Kepemimpinan UMNO juga perlu berpegang kepada prinsip pemimpin  datang dan pergi, namun UMNO terus wujud serta diperjuangkan ahlinya  selagi masih ada orang Melayu di negara ini. 
 Justeru, sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-76 dan ketika UMNO  sedang menerajui kerajaan, parti ini perlu bermuhasabah, berubah dan  mengekalkan proses pemulihan parti secara konsisten.
 UMNO mungkin 'nazak' selepas PRU-14, tetapi keajaiban membolehkannya  kembali bangkit dalam arena politik negara selepas melalui pelbagai  'rawatan' politik yang mujarab untuk memastikan kelangsungan politiknya  berkekalan. 
 Jika UMNO kembali memberikan peluang kepada penyakit lamanya merebak  kepada seluruh organisasi, parti ini akan kembali mencipta laluan sukar  untuk menang PRU-15.
 Dr Mohammad Tawfik Yaakub
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran & Politik 
Universiti Malaya (UM)
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
 ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected]  
   
   
  


 
 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://www.mindarakyat.net/2022/05/rehatkan-pemimpin-bermasalah-pastikan.html