Razlan Jawab Kenapa Umno Perlu Gerak Solo Tanpa Pas
malaysiakini.com
Shakira Buang & Farah Ayuni Zulkiefli
Diterbitkan: Oct 17, 2022 10:00 AM
EKSKLUSIF | PAS telah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Umno kerana menganggapnya sebagai parti 'keruh' kerana kes-kes rasuah yang dikaitkan dengan pemimpinnya.
Namun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Razlan Rafii berkata parti itu juga ada sebab kenapa perlu bergerak solo tanpa PAS di sisi bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU15).
Menurut Razlan, untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil sesebuah pentadbiran tidak boleh dibina atas percaturan politik semata-mata.
Dakwanya, ada di kalangan pemimpin PN yang terpaksa diberikan jawatan dalam kerajaan gabungan sebelum ini meskipun tidak mampu menggalas amanah tersebut.
"Kamu bayangkan, seorang yang berjawatan presiden parti, tidak mampu bekerja untuk negara.
"Tetapi terpaksa diberi tempat disebabkan dia presiden parti. Seperti (Presiden PAS Abdul) Hadi Awang. Beliau terpaksa diberi tempat berjawatan bertaraf menteri disebabkan pencaturan politik.
"Disebabkan kita nak dia (PAS) punya sokongan, kita bagi dia tempat.
"Walaupun tidak ada kerja yang dia buat, tetapi terpaksa bagi. Sebab perlukan sokongan dia dan ada banyak juga perkara-perkara itu terjadi," katanya pada wawancara bersama Malaysiakini baru-baru ini di Kuala Lumpur.
Gambar fail, kabinet pentadbiran PH.Sementara itu, Razlan turut mendakwa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) ketika 22 bulan memerintah turut melakukan perkara yang sama dengan memberi jawatan kerajaan kepada pimpinan mereka.
"Dia bukan cerita pasal, saya ambil awak sebab awak sesuai untuk jawatan terbabit dan awak boleh kerja serta awak boleh beri apa yang syarikat mahukan dan apa rakyat nak. Dia tak macam itu dah.
"Sekarang ini kita nak sokongan ini bos. Apa kita nak buat. Kita lantik dia ke satu-satu jawatan yang penting," katanya.
Solo sebab tak nak dibelenggu
Untuk rekod, pada masa lalu dakwaan lantikan politik atas dasar kroni dalam jawatan kerajaan turut dilemparkan sesetengah pihak kepada Umno juga, malah ada yang mendakwa pentadbiran BN yang memulakan amalan sedemikian.
Bagaimanapun, dakwaan lantikan menerajui agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam kalangan wakil rakyat kerajaan atas dasar meraih sokongan politik adalah perkara biasa apabila berlakunya pertukaran kepimpinan negara, melibatkan parti atau individu yang menjadi perdana menteri.
Namun, Razlan menegaskan perkara ini tidak pernah berlaku ketika BN memerintah.
"Ini tak pernah berlaku dalam masa 60 tahun, 70 tahun kita merdeka. 60, 70 tahun kita (BN) memerintah tak pernah berlaku perkara ini. Jadi inilah yang kita cuba hentikan.
"Kenapa BN istiqamah dan dan fokus untuk pergi kepada solo.
“Sebab kita tak nak pentadbiran (kerajaan gabungan dengan PN) ini membelenggu kita untuk mentadbir negara," dakwanya.
Dalam pada itu, Razlan menjelaskan hubungan Umno dengan Bersatu sekarang tidak sama ketika menerima semula Tengku Razaleigh Hamzah selepas membubarkan parti Semangat 46 pada Mei 1996 susulan tewas PRU, 9 tahun sebelumnya.
"Masa kita ambil Tengku Razaleigh Hamzah itu semula, di dalam kepimpinan BN atau Umno, beliau tidak ada apa-apa.
"Beliau bukanlah seorang yang boleh mengugut Umno, ugut BN. Tidak. Tapi kita angkat dia sebab demi penyatuan," katanya.
Diminta mengulas jika Umno-BN sudi menerima PAS kembali atas dasar penyatuan ummah sebaik saja PRU15 berlangsung, Razlan berkata partinya terbuka untuk segala kemungkinan.
Namun, Razlan meramalkan percaturan politik selepas pilihan raya jelas akan sangat berbeza.
Pemerintahan menjerat
"Katakanlah, kita boleh masuk (sertai PAS) sini untuk kita dapat kuasa, lebih dua pertiga dan (PAS kata) kamu boleh buat apa sahaja tapi kita nak ini, ada demand dia.
"Kita tidak akan angkat (kerjasama). Sebab itu adalah pemerintahan yang akan menjerat, keutamaannya menjerat kepada kestabilan negara yang akhirnya rakyat akan menjadi sengsara," katanya.
Razlan juga berkata dia kesal tindakan PAS yang memutuskan untuk tidak meneruskan Muafakat Nasional dengan Umno sebaliknya memilih untuk mengukuhkan PN.
"Saya sebenarnya amat tergurislah. Apabila melihat kenyataan PAS (pada 14 Oktober), dia telah meletakkan satu sejarah kegagalan orang Melayu untuk bersatu lagi dan macam-macam permainan politik yang mereka lakukan ini menjurus kepada kepentingan sesebuah parti sahaja," katanya.
Gambar fail, pemeterian Piagam MN.Pada 14 Oktober lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan kuliah Dhuha di Marang, Terengganu berkata kerjasama yang dijalin PAS dengan Umno-BN sebelum ini ibarat "durian mentah" yang boleh menyebabkan seseorang mengalami perut kembung jika dimakan.
"...Keruhnya (Umno) masih ada penerima rasuah. Lepas tu rakus pula nak perintah lagi. (Padahal) kita baru tolong bantu jatuhkan PH,” kata ahli parlimen Marang ketika itu.
Kata Razlan, situasi Umno tidak dapat berkerjasama dengan parti serpihannya Bersatu sama dengan PAS yang tidak mahu menerima kembali parti serpihannya Amanah.
"Samalah juga dengan Bersatu dengan Umno. Bersatu ini parti kecil yang akan menjadikan perpecahan di dalam Umno.
"Sama juga dengan Amanah dan PAS, Amanah ini akan menjadikan perpecahan di dalam PAS," katanya.
Tambah Razlan, Umno dan PAS juga sudah pergi ke fasa penyatuan ummah yang tak pernah berlaku sepanjang 70 tahun laliu.
Katanya, dia hairan mengapa PAS masih tidak faham apa yang berlaku.
"Apa yang susah sangat kamu nak faham . Saya tak faham apakah niat PAS yang sebenarnya selain daripada mereka hanya nak mempergunakan Umno ketika (membantah) Icerd, nak mempergunakan Umno ketika (protes) Statut Rom (pada era kerajaan PH).
Gambar fail, demonstrasi anti-Icerd."Dia (PAS) nak mempergunakan semua pihak dan rupanya mereka nak jadi menteri," katanya.
Pentadbiran PH selepas menang PRU14 ditandai protes pembangkang ketika itu, Umno dan PAS yang membangkitkan isu-isu kaum dan agama.
Antaranya demonstrasi menentang konvensyen PBB mengenai antipenindasan kaum (Icerd) dan bantahan terhadap kerajaan menuntut Malaysia menarik diri daripada mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang ditubuhkan melalui statut Rom.
Kerajaan PH kemudian runtuh susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020, apabila Bersatu dan sekumpulan MP PKR yang memihak kepada bekas timbalan presidennya Azmin Ali keluar daripada PH.
Dengan Muhyiddin Yassin diangkat menjadi perdana menteri, kerajaan itu turut disokong ahli parlimen Umno, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain.
Gambar fail, Muhyiddin jadi PM.Namun, Muhyiddin hanya bertahan selama kira-kira 17 bulan apabila ahli parlimen Umno menarik balik sokongan terhadapnya.
Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri pada Ogos 2021 sebelum membubarkan parlimen pada 10 Oktober lalu.
Bagaimanapun, kata Razlan dia yakin Umno akan meraih mandat besar pada PRU15 ini bagi membolehkan parti itu menubuhkan kerajaan tanpa kerjasama dengan PAS.
"Tidak bersama dengan PAS, insya-Allah Umno-BN boleh menubuhkan kerajaan. Bersama dengan PAS, insya-Allah kita boleh mewujudkan 3/4 kemenangan kerusi, itu saja.
"Sebab itu kita buka kepada mereka untuk bersama dengan kita. Jadi, adakah salah Umno buat? Umno tak salah buat," tambahnya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2022/10/razlan-jawab-kenapa-umno-perlu-gerak.html