Rashida Tlaib Dan Ilhan Omar Wanita Islam Pertama Menang Kerusi Kongres As
Rashida Tlaib dan Ilhan Omar akan menjadi dua wanita Islam pertama yang dilantik sebagai wakil rakyat di Amerika Syarikat (AS).
Sebelum ini, hanya dua Muslim sahaja yang pernah diundi ke Kongres, iaitu ahli Demokrat Keith Allison dan André Carson.
Rashida dan Ilhan telah memenangi kerusi masing-masing di kawasan mereka pada Pilihan Raya Separa Penggal yang berlangsung di Capitol Hill pada Selasa.
Rashida bertanding atas tiket Demokrat dan telah memenangi kerusi House of Representatives di negeri Michigan.
Ilhan pula telah memenangi kerusi House di Minnesota setelah bertanding, juga di atas tiket Demokrat. Ilhan sebelum ini merupakan ahli Parti Labor di AS.
Selain itu, dua calon wanita ‘orang asal’ atau ‘ native Americans’ juga memenangi kerusi mereka.
Sharice Davids dan Debra Haaland, kedua-duanya ahli Demokrat, telah memenangi kerusi masing-masing di Kansas dan New Mexico, menjadikan mereka wanita pertama dari suku kaum ‘native Americans’ yang berjaya diundi ke Kongres.
Kemenangan Rashida dan Ilhan, serta ramai lagi wanita yang lain, menggariskan kejayaan kaum wanita susulan pergerakan ‘Me Too’ di AS.
‘Me Too’ adalah sebuah agenda reformis yang menitikberatkan isu gangguan seksual terhadap wanita.
Keengganan ahli Kongres untuk menyiasat pelbagai tuduhan gangguan seksual terhadap wanita telah menyebabkan ramai pengundi wanita mahukan lebih ramai wakil rakyat wanita dipilih.
Situasi ini dikeruhkan lagi apabila presiden Donald Trump memperlekehkan pergerakan ini.
Trump dikatakan telah menempelak pergerakan ini dengan melantik Brett Kavanaugh sebagai Hakim Mahkamah Tertinggi AS, walaupun beliau telah dituduh melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita, sewaktu beliau menuntut di universiti beberapa dekad yang lalu.
Lantikan Kavanough telah disahkan oleh Dewan Senat beberapa minggu lalu.
Pilihan raya kali ini menyaksikan ramai wanita secara amnya, memenangi kerusi masing-masing di pelbagai peringkat di serata negara itu.
Kesemua 438 kerusi House of Representatives dipertandingkan dalam pilihan raya ini.
Sementara itu, hanya satu pertiga kerusi Senat dipertandingkan.
Ini bermakna, hanya 34 kerusi Senat sahaja dipertandingkan dalam sesi pemilihan ini, sementara 66 kerusi Senat yang lain tidak dipertandingkan.
Pemilihan separa penggal diadakan setiap empat tahun dan dilakukan di pertengahan pentadbiran mana-mana presiden yang mentadbir. -astroawani
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://mygosiphub.blogspot.com/2018/11/rashida-tlaib-dan-ilhan-omar-wanita.html