Ramai Melayu Minat Belajar Mandarin
Ramai Melayu minat belajar MandarinPosted By: Pentadbiron: June 04, 2019 Print EmailLebih ramai orang Melayu mahu belajar Bahasa Mandarin sekarang, kata tenaga pengajar bahasa itu, kerana mereka melihat penguasaannya sebagai satu kemahiran tambahan yang wajar dalam menghadapi cabaran semasa.Ibu bapa juga memberitahu The Malaysian Insight mereka tidak kekok menghantar anak ke sekolah jenis kebangsaan dan kelas persendirian kerana yakin kemampuan berbahasa Mandarin akan memberikan kelebihan masa depan, selain tanggapan mutu pendidikannya lebih baik berbanding sekolah kebangsaan.Guru persendirian Nurainn Azhar, yang mengajar Bahasa Mandarin sepenuh masa, berkata permintaan untuk belajar bahasa itu semakin meningkat tanpa mengira kaum.“Kalau hendak dibandingkan dengan dulu, permintaan semakin mendapat sambutan. Orang rasa bahasa ketiga ini patut dipelajari walaupun hanya belajar asas,” katanya dalam satu pertemuan di kelasnya, baru-baru ini.Nurainn, 35, mengajar sepenuh masa sejak lebih enam bulan lalu dan mempunyai pelajar dari yang semuda di peringkat tadika sampai warga emas berumur 70 tahun.“Semasa saya bersekolah dahulu keluarga Melayu tidak ramai yang menghantar anak ke sekolah Cina. Mungkin stigma masyarakat jadi kekangan tetapi sekarang pendedahannya berbeza, jauh lebih bagus.“Sekarang pun ada sekolah yang menawarkan subjek bahasa asing. Jadi ia satu usaha yang bagus,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Jalan Ipoh di Kuala Lumpur ini.Bermula dengan seorang dua pelajar, Nurainn sekarang membuka tiga kelas untuk murid sekolah rendah di Sentul dan pelajar berbilang usia di Shah Alam serta Sungai Buloh, Selangor.Kajian Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan pada 2016 dilaporkan mendapati pendaftaran pelajar bukan Melayu di sekolah kebangsaan meningkat hanya 4% berbanding 18% peningkatan pelajar bukan Cina di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).Akhir tahun lalu, media melaporkan sebuah SJKC di Melaka mempunyai hanya 9 murid kaum Cina daripada keseluruhan 55 murid yang menjalani sesi persekolahan tahun ini. Baki murid di SJKC Sin Min, Lubok Cina itu ialah 44 Melayu dan dua murid India.SJKC Yuk Chuen di Changkat Jering, Perak pula dilaporkan mempunyai 100% pelajar Melayu. Sekolah itu sekarang hanya ada 21 murid, dikategorikan sekolah kurang murid. Sejak 2008, ia menerima kemasukan murid Melayu lebih ramai berbanding murid Cina, lapor Sinar Harian pada Januari lalu.The Malaysian Insight juga difahamkan ada SJKC yang mempunyai bilangan murid bukan Cina melebihi murid Cina yang dipantau dan dijadikan kajian oleh Kementerian Pendidikan.The Malaysian Insight sudah menghubungi Kementerian Pendidikan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan data terkini, namun tidak ada sebarang maklum balas.Menurut Nurainn, sejak jadi guru persendirian Bahasa Mandarin, beliau melihat bagaimana ibu bapa berlumba-lumba memberikan pendidikan yang terbaik untuk anak mereka, termasuk kemahiran bahasa tambahan.“Kalau ada Bahasa Mandarin, ia jadi kelebihan untuk pelajar apabila masuk ke pasaran kerja.“Mengetahui bahasa tambahan juga satu kelebihan bagi kita di Malaysia yang rakyatnya majmuk, boleh rapatkan ukhwah sesama kita,” katanya, yang sebelum ini pernah jadi wartawan.Ibu bapa yang ditemui The Malaysian Insight melihat Bahasa Mandarin ada nilai ekonomi dan dan sanggup berhabisan untuk memastikan anak mereka menguasainya.“Pada saya, buat masa ini Bahasa Mandarin satu kepentingan di Malaysia. Salah satunya sebabnya kerana banyak ibu bapa tak mahu anak ketinggalan.“Kalau kita sendiri tidak kuasai (bahasa ketiga) sekurang-kurangnya anak kita boleh gunakan peluang ini,” kata Syely Amini Arsad, 40, yang menghantar anak perempuannya belajar Bahasa Mandarin.“Sekarang ini apa saja jenis sektor pekerjaan, kalau kamu ada kelebihan berbahasa lain, maka peluang kamu lebih cerah,” tambahnya.Seorang lagi ibu, Faizah Yusof, 45, melihat penguasaan Bahasa Mandarin mampu meluaskan ruang sosial pergaulan anaknya.“Mana-mana universiti akan belajar dua tiga bahasa, jadi jika dari kecil sudah tahu Bahasa Mandarin bila dah besar mudah untuk beliau. Lagipun, anak saya boleh banyak bergaul, tiada nak rasa perkauman dan boleh campur dengan semua orang,” katanya.Dalam pada itu, Zulaiha Abdul, 26, mengambil kelas Bahasa Mandarin untuk menambahkan kemahiran pekerjaannya.“Sebelum ini di universiti saya sudah belajar setahun. Sekarang hampir 6 bulan saya mendalami Bahasa Mandarin untuk tambah pengetahuan.“Saya mahu tingkatkan kemahiran supaya lebih maju dan bersaing secara sihat di tempat kerja,” kata gadis berasal dari Kuala Lumpur itu.Seorang lagi tutor persendirian, Roslinda Saharudin, 36, berpendapat pengetahuan Bahasa Mandarin ada manfaat dari satu sisi lain dalam sebuah masyarakat yang majmuk seperti di Malaysia.“Kita boleh elakkan berlaku salah faham, fitnah atau tohmahan yang sering jadi masalah interaksi berlainan kaum,” katanya, yang sudah empat tahun mengajar Bahasa Mandarin sepenuh masa.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wrlr.blogspot.com/2019/06/ramai-melayu-minat-belajar-mandarin.html