Ramadhan 2025 Paling Bermakna
Alhamdulillah rezeki untuk tahun ini bila dipertemukan dengan sahabat sahabat mengaji. Selepas saya berhenti mengaji dengan sahabat saya, Kak Kamariah di Kelana Jaya, saya tidak lagi bertemu dengan guru yang boleh mengajar saya di rumah. Saya terpaksa berhenti kerana masalah transport selepas sahabat saya berpindah balik ke Kota Bharu.
Satu hari saya menerima mesej dari jiran saya Hjh Azurah yang menanya kalau saya mahu join group mengaji. Dia minta saya hubungi seorang lagi jiran kami Hjh Saadiah. Ketika itu saya baru balik dari London. Masih jet lag. Saya menangguh nangguh untuk menghubungi kerana masih ada rasa liat liat nak mengaji. Tapi Hjh Azurah sangat persistent menghantar mesej pada saya.
Akhirnya saya menghubungi Hjh Saadiah dan hari pertama saya mengaji dengan guru selepas beberapa tahun. Malahan selepas bersara pun, saya masih belum mengaji secara beramai ramai.
Tidak lama kemudian masuk bulan Ramadhan di mana group mengaji kami ditangguhkan. Saat itu saya tengah seronok mengaji. Jadi saya minta untuk join kumpulan tadarus Hjh Saadiah walaupun takut takut kerana belum habis belajar lagi selepas berehat beberapa tahun.
Pengalaman pertama saya bertadarus secara beramai ramai dengan dibimbing oleh Ustazah Aidah menjadikan saya seronok untuk mengaji Al Quran. Lebih lebih lagi bulan Ramadhan ini. Setiap pagi memang teruja untuk bersiap ke majlis tadarus ini.
Ahli kumpulan tadarus ini pulak sporting semua. Jadi tak ada lah kekok. Mereka dah kenal sesama sendiri dan pernah join kumpulan tadarus sebelum ini. Hanya saya dan Hjh Azurah sahaja ahli baru dalam kumpulan ini.
Kemuncak kegembiraan pada saya ialah bila dapat join majlis khatam Al Quran yang diadakan pada 21 Mac 2025 dengan semua ahli berpakaian serba putih. Masya Allah terasa seolah kita sedang menunaikan fardhu Haji ketika itu. Kegembiraan berada dalam majlis itu, tidak dapat digambarkan dengan kata kata.
Seperti biasa, kami mengambil gambar kenang kenangan. Semua sporting termasuk Ustazah. Baru lah meriah suasana.
Saya baru pertama kali mendapat hadiah yang banyak dari kawan bila sesi bertukar tukar hadiah. Masya Allah semuanya sangat bermanafaat dan memberi kenangan khatam Al Quran Ramadhan tahun 2025.
Saya mendapat antara lain 2 naskhah Al Quran dari ustazah dan dari Hjh Saadiah yang diberikan sekali rehal. Dan banyak lagi hadiah hadiah lain seperti dalam gambar di bawah.
Selesai majlis khatam, Hjh Saadiah mencadangkan agar diadakan majlis selawat selama 3 hari. Hari pertama kami berselawat secara umum mengikut buku selawat. Kami memakai pakaian serba hitam.
Hari kedua program berselawat kami memakai pakaian bertona hijau. Hari kedua dan ketiga, kami berselawat Selawat Tafrijiyyah sebanyak 4444 kali secara berjemaah. Selawat ini disambung dan diselesaikan pada hari ketiga.
Hari terakhir program selawat kami memakai pakaian bertona dark blue. Kami menyelesaikan baki selawat bagi mencukupkan sebanyak 4444 kali. Fadhilat selawat ini sangat besar. Antaranya Kelebihan selawat tafrijiyah. Antaranya Allah melenyapkan segala kesusahan, kesedihan dan sebarang bahaya yang menimpa. Kedua, kita akan disukai dan disenangi oleh semua orang.
Ketiga, Allah akan memperkenankan apa jua yang dihajatkan. Keempat, dimurahkan rezeki, dijauhkan daripada kelaparan dan juga kemiskinan. Akhir sekali, dipermudahkan Allah segala urusan dalam hidup dia. Insya Allah.
Selepas selawat Tafrijiyyah, Ustazah mencadangkan agar group kami dikekalkan sebagai group selawat di mana selain selawat ke atas Nabi, kami di kehendaki membaca selawat tafrijiyyah secara bersendiri sebanyak 4444 Kali.
Saya juga pertama kali menyertainya. Jadi rasa sangat teruja. Yang lebih mengembirakan kerana dalam group ini kami dibimbing untuk melakukan amalan seperti selawat di mana setiap hari kita perlukan membaca selawat sebanyak 500 kali. Setelah cukup, perlu update. Jadi kita secara tidak langsung mendidik diri untuk beristiqomah dalam berselawat.
Sesungguhnya selawat adalah satu amalan mudah yang sangat besar pahalanya. Bayangkan tanpa wudhu pun kita boleh berselawat. Tanpa menutup aurat di rumah pun kita boleh berselawat. Sedang memasak atau buat apa sahaja, kita boleh berselawat. Betapa mudahnya.
Daripada Abu Hurairah radiallahu 'anhu, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: Sesiapa yang berselawat sekali kepada ku, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali.[Sahih Muslim, Kitab al-Solat].
Masya Allah, Allah akan berselawat kepada mereka yang berselawat. Jadi jangan lupa untuk mengamalkan berselawat setiap hari selagi nyawa masih di badan.
Di samping itu, kami juga akan mengadakan kunjungan ke rumah ahli ahli kumpulan setiap bulan dan memberi sumbangan kepada hos di mana sumbangan itu, akan digunakan oleh hos untuk berinfak di mana mana tempat pilihan beliau. Masya Allah.
Bila bersahabat dengan sahabat yang sama arah tujuan, terasa hidup lebih bermakna dan bererti. Setiap hari saya memang looking forward untuk mengaji dan berselawat.
Syukur ya Allah. Terima kasih ya Allah kerana memberi cahaya pada hidup saya. Saya kembali ceria. Insya Allah walaupun saya berada di London, saya akan terus menyertai program mengaji, selawat dan bersedekah dari sana. Insya Allah. Semoga dipermudahkan. Aamiin.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.aziekitchen.com/2025/03/ramadhan-paling-bermakna.html