Rakyat Kelantan Gembira Komitmen Kerajaan Siapkan Csr
 HARAKAH DAILY

Foto daripada Facebook Lebuh Raya Utama Tengah - CSR.             KOTA BHARU: Projek pembinaan Lebuh Raya Utama Tengah  (CSR) dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai yang dijangka siap pada  2025, merupakan berita gembira buat rakyat Kelantan.
Ahli  perniagaan, Mohd Amizul Fazly Muhamed Sudin, 42, berkata selain dapat  merancakkan ekonomi di negeri ini, usaha pembinaan lebuh raya itu secara  tidak langsung menggembirakan anak Kelantan terutama yang berada di  perantauan kerana kebiasaannya mereka terpaksa menempuh perjalanan  sehingga 20 jam ketika musim perayaan.
    “Insya-Allah pembinaan lebuh raya ini juga akan mempercepatkan masa  laluan Kelantan-Kuala Lumpur dan sudah pasti ia menggembirakan rakyat  Kelantan yang sudah lama mengimpikan pembangunan.
   “Tahun 2025 siap sepenuhnya, namun dalam masa yang sama, beberapa  peringkat lebuh raya itu akan dapat digunakan contohnya Bentong ke Raub  dan Merapoh-Kuala Lipis yang telah siap dan dibuka,” katanya kepada  Bernama, di sini hari ini.
   Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa  membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, berkata  beberapa perancangan dan sasaran digariskan dalam RMK12 yang akan  dilaksana dan dicapai dalam tempoh pelaksanaan pelan itu dari 2021  hingga 2025.
   Antaranya termasuklah Projek Central Spine Road dari Bentong, Pahang  ke Kuala Krai, Kelantan dijadualkan siap sepenuhnya pada 2025.
   Sementara itu, pekerja swasta, Afrizam Arif, 42, berkata struktur  projek itu sudah dapat dilihat pada masa ini dan telah memudahkan  perjalanan penduduk seperti dari Pasir Hor ke Ketereh.
   “Saya tidak sabar menunggu lebuh raya ini siap sepenuhnya hingga ke  Kuala Krai. Malah, sekarang pun penduduk lebih gemar memilih untuk  melalui lebuh raya ini bagi mengelak kesesakan di jalan raya biasa,”  katanya yang tinggal di Kampung Badol, dekat Bachok.
   Bagi suri rumah, Fatilah Hasni Ibrahim, 43, berkata pembinaan CSR  iaitu lebuh raya pertama di Kelantan itu sudah menampakkan potensi  terhadap pembangunan di negeri ini.
   “Saya percaya pembaikan yang dibuat kerajaan akan memberi manfaat  yang membolehkan masyarakat bergerak lebih maju di kawasan setempat  dengan negeri-negeri yang terlibat,” katanya. – BERNAMA
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/09/rakyat-kelantan-gembira-komitmen.html