Kerajaan Perkenal Pakej Peranti Data Lebih Mesra Rakyat
SUARA MERDEKA

 Kementerian Komunikasi memperkenalkan pakej data dan peranti yang  lebih mesra rakyat termasuk memperkenalkan Pakej peranti keluarga  Malaysia yang dikenakan bayaran serendah RM40 sebulan.
   Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata,
 Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM)  telah menerima maklum balas daripada orang ramai berhubung perkhidmatan  telekomunikasi.
Kata beliau, ramai inginkan kesalinghubungan lebih baik,  harga mampu milik dan memastikan penyampaian lebih berkualiti  lebih-lebih lagi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang  menyaksikan peningkatan mendadak penggunaan Internet untuk pelbagai  urusan seperti aktiviti pembelajaran, e-dagang dan juga hiburan.
“Kerajaan tanggungjawab memastikan bahawa setiap orang  mempunyai akses pada kos yang berpatutan untuk memanfaatkan Internet.  Baru-baru ini, saya telah bertemu dengan syarikat telekomunikasi untuk  berbincang mengenai cara-cara membantu rakyat dalam jangka masa pendek,”  katanya dalam kenyataan hari ini.
“Sukacitanya saya mengumumkan pakej baharu untuk membantu  golongan remaja dan pelajar memperoleh akses Internet dan bagi semua  terutamanya golongan yang kurang berkemampuan, peranti pintar yang mampu  milik,” jelas beliau.
   Di bawah Pakej Remaja Keluarga Malaysia, ianya  adalah pakej prabayar khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk  pelajar pascasiswazah. Dengan hanya RM10/sebulan (Dibayar untuk 3  bulan/RM30), mereka akan mendapat data 20GB untuk tiga (3) bulan. Selain  itu, turut diberikan data 1GB (Jumlah 90GB) percuma untuk aktiviti  produktiviti setiap hari serta Internet asas tanpa had. 
Dengan pakej  ini, pengguna boleh melakukan aktiviti seperti penghantaran mesej dan  melayari Internet. Manakala, bagi data produktiviti, pembelajaran dalam  talian serta aktiviti bekerja dari rumah boleh dilakukan tanpa kekangan  data.
Bagi data 20GB pula, ianya boleh digunakan untuk aktiviti  seperti penurunan video ataupun permainan dalam talian. Ia boleh  membantu pengguna untuk merehatkan diri dengan kebolehan untuk hiburan.
Pakej ini memudahkan pelanggan remaja dan pelajar, yang  kini tidak perlu lagi menambah nilai setiap bulan. Remaja dan pelajar di  bawah umur 21 tahun hanya perlu mendaftar dengan MyKad sementara  pelajar melebihi 21 tahun perlu mendaftar dengan kad pelajar. Kerajaan  berharap agar golongan ini dapat memanfaatkan kemudahan dan melancarkan  pembelajaran serta urusan seharian mereka.
Dalam pada itu, Kerajaan juga sedar bahawa setiap keluarga  memerlukan alat peranti pintar agar tidak ketinggalan dalam meneruskan  kelangsungan hidup. Oleh itu, turut disediakan adalah pakej baharu untuk  mampu milik peranti iaitu Pakej Peranti Keluarga Malaysia. Pakej  Peranti Keluarga Malaysia akan membolehkan rakyat Malaysia memiliki  atau menaik taraf kepada peranti mudah alih dan VoLTE secara percuma.  Peranti tersebut dapat dimiliki dengan langganan serendah RM40 sebulan  melalui kontrak selama 12 hingga 24 bulan tertakluk kepada jenis peranti  dan perkhidmatan yang dilanggan. 
Pakej ini termasuk 1GB data percuma  untuk aktiviti produktiviti. Setiap pengguna yang layak boleh melanggan  sehingga dua (2) pakej dengan mendaftar kad pengenalan yang sama. Adalah  diharapkan agar lebih ramai ahli keluarga mendapat manfaat sempurna  daripada pemilikan peranti mudah alih 4G dan VoLTE ini, untuk  melengkapkan pengalaman Internet mereka. Tempoh mendaftar untuk  kedua-dua pakej tersebut adalah mulai 15 Oktober 2021- 15 April 2022  selama enam (6) bulan.
   Kerajaan yakin dengan kedua-dua pakej ini, Keluarga  Malaysia bukan sahaja akan menikmati kesalinghubungan yang lebih baik  bahkan juga harga yang mampu milik dan tahap penyampaian yang lebih  berkualiti.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/09/kerajaan-perkenal-pakej-peranti-data.html